Sunday, November 16, 2008

Rakyat Amerika Syarikat Matang Berpolitik !!!???

Kita baru sahaja mendengar khabar bahawa rakyat Amerika yang majoritinya berkulit putih telah memilih Barack Obama yang berkulit hitam sebagai presiden Amerika Syarikat. Justeru ramai yang takjub lantas mengatakan bahawa rakyat Amerika Syarikat mempunyai kematangan politik yang tinggi..... benar?

Pemilihan Barack Obama di Amerika Syarikat itu tidak boleh dilihat sebagai kematangan politik. Sebaliknya, itu adalah memang politik Amerika Syarikat kerana rakyat Amerika Syarikat dan pembentukan negara dan bangsanya tidak berlandaskan warisan bangsa. Hal ini berikutan semua rakyat Amerika Syarikat, iaitu tidak kira apa-apa pun warna kulit atau bangsa adalah pendatang. Oleh itu, pembinaan bangsa dan negara Amerika Syarikat adalah berdasarkan kerakyatan semata-mata. Orang putih tidak boleh mengatakan bahawa kaumnya sahaja yang boleh menjadi presiden Amerika Syarikat dan begitu juga kaum lain kerana semuanya pendatang. Hal ini berbeza dengan negara bangsa yang lain seperti India, China, Jepun, German, Perancis dan lain-lain kerana negara ini mempunyai ciri-ciri pembinaan negara dan bangsa yang tersendiri, iaitu selain daripada kerakyatan, pembinaan negara dan bangsanya juga tertakluk pada warisan ketuanan.

Untuk meniru Amerika Syarikat oleh rakyat negara lain pasti akan menimbulkan kecelaruan dan kecelaruan itu adalah kerana ketidakmatangan politik. Oleh hal demikian, setiap negara dan bangsa di dunia ini mempunyai ciri-ciri politik masing-masing dan itulah kematangan masing-masing. Lihat sahaja apabila Fujimori menjadi presiden di sebuah negara di Amerika Selatan, kecelaruan akhirnya berlaku. Begitu juga apabila bangsa yang asalnya adalah pendatang menjadi presiden di Fiji, akhirnya timbul kecelaruan.

Pada hemat saya, jelas bahawa setiap negara di dunia ini tidak boleh lepas daripada warisan ketuanan masing-masing kecuali negara-negara yang dibina oleh kaum pendatang seperti Amerika Syarikat dan Australia.

Wednesday, November 12, 2008

Sesiapa Sahaja Boleh Jadi Perdana Menteri Malaysia ?

Kita baru mendengar kata-kata mantan Perdana Menteri Malaysia, iaitu Y.BHG. Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang jawatan Perdana Menteri Malaysia boleh daripada sesiapa sahaja asalkan rakyat Malaysia tidak kira kaum. Kata beliau ini ditambah dengan kenyataan bahawa sesorang itu mesti dapat diterima oleh semua dan daripada parti yang mendapat sokongan majoriti. Kata-kata Tun Dr. Mahathir ini memang tidak ada salahnya dari aspek prinsip perlembagaan kerana perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan kaum dan agama bagi seseorang Perdana Menteri Malaysia. Hal ini berbeza dengan perlembagaan England yang walaupun perlembagaannya secara statut tetapi diterima secara konvensional sejak dahulu menetapkan bangsa, agama dan mazhab bagi seseorang Perdana Menteri England.
Sebenarnya, soal kaum dan agama bagi seseorang Perdana Menteri Malaysia pernah diutarakan oleh saya dalam persidangan UMNO Kg. Rim (Bahagian Jasin) lima-enam tahun dahulu. Saya turut mengusulkan agar UMNO menggesa kerajaan membuat pindaan perlembagaan agar memasukkan Melayu dan Islam sebagai syarat untuk seseorang menjadi Perdana Menteri Malaysia. Namun begitu, maklumlah saranan ini datang daripada saya yang hanya ahli UMNO biasa dan tidak boleh memegang jawatan, usul ini dibangkulsampahkan sahaja.
Sebenarnya, Perdana Menteri Malaysia mesti secara statut atau bertulis adalah daripada kaum Melayu dan beragama Islam. Hal ini bukan sahaja kerana Persekutuan Malaysia ini wujud atas warisan negeri Melayu tetapi dengan Perdana Menteri Malaysia daripada kaum Melayu dan beragama Islam maka ketetapan perlembagaan seperti agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai agama rasmi, kedudukan keistiemewaan Melayu dan Bumiputera, Institusi Raja-Raja dan mahkamah syariah akan dapat dipelihara.
Saya percaya kata-kata Tun Dr. Mahathir ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengajak orang Melayu berfikir dan menginsafi nasib bangsa Melayu pada waktu-waktu mendatang.

Persoalannya, adakah usul yang pernah diutarakan dahulu oleh saya sebagai ahli UMNO golongan marhain ini boleh diusahakan dalam waktu-waktu dan keadaan UMNO dan Melayu semakin longlai !!!!!!!????