Sunday, November 27, 2011

UMNO di cawangan dan kampung?

Assalamualaikum WBR.
Nampaknya situasi sekarang lebih berpihak kepada UMNO. Hal ini berlaku berikutan tindakan dan dasar yang dilaksanakan oleh Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Malah, tindakan dan prinsip yang dikemukakan oleh kedua-dua pemimpin ini disokong oleh pemimpin UMNO dan dapat difahami oleh sebilangan besar rakyat.

Namun begitu, perlu juga diberikan perhatian tentang aktiviti dan program atas nama UMNO (termasuk WANITA, PEMUDA dan PUTERI)di cawangan, kampung dan kawasan pertempatan. Pada pemerhatian saya, didapati sebilangan besar UMNO di cawangan, kampung dan kawasan pertempatan lesu dengan sebarang aktiviti dan program. Pemimpin UMNO di peringkat ini hanya senyap, lesu dan tidak terkehadapan selepas mendapat jawatan dalam pemilihan lalu. Percayalah, banyak UMNO di peringkat ini tidak mengadakan mesyuarat jawatankuasa secara berkala. Kalau ada mesyuarat apabila sudah hampir dengan tarikh mesyuarat agong yang telah ditetapkan. Berikutan hal sebegini, ahli-ahli UMNO tidak dapat dididik menghayati prinsip-prinsip perjuangan UMNO menerusai aktiviti dan program. Justeru kesetiaan pada parti seperti yang dilaung-laungkan oleh Presiden UMNO tidaklah berlaku secara konkrit di peringkat ini.

Oleh hal demikian, Persidangan UMNO yang akan berlangsung pada minggu hadapan mesti membincangkan transformasi aktiviti dan program UMNO di cawangan, kampung dan kawasan pertempatan. Mungkin satu perancangan strategik mesti dirangka oleh pemimpin UMNO Pusat dan Perhubungan Negeri bagi menggerakkan UMNO di peringkat cawangan, kampung dan kawasan pertempatan. Malah, UMNO mesti menetapkan tarikh mesyuarat UMNO cawangan dan minitnya mesti dihantar ke UMNO Bahagian, Perhubungan Negeri dan Pusat. Kaedah ini akan membolehkan UMNO Bahagian, Perhubungan Negeri dan Pusat boleh menilai tahap-tahap UMNO di peringkat tersebut dan merangka pelan kontigensi bagi membantu UMNO di peringkat tersebut apabila agak kurang menyerlah atau aktif.

Hal yang dibincangkan ini penting supaya UMNO tidak gah hanya di peringkat atas, sedangkan di peringkat cawangan, kampung dan kawasan pertempatan sebenarnya lesu dan tidak terasa kewujudannya. Secara relatifnya, keyakinan masyarakat pada UMNO pada hari ini sebenarnya hasil usaha UMNO Pusat menerusi dasar dan prinsip yang dikemukakan oleh Presiden, Timbalan Presiden dan beberapa orang pemimpin UMNO yang lain. Bagaimanapun, dasar dan prinsip yang dikemukakan itu juga adalah keputusan kerajaan. Keadaan ini tidak cukup sebagai usaha mengukuhkan kesetiaan masyarakat pada UMNO. Oleh itu, sebelum sejarah PRU 12 berulang kembali, Persidangan UMNO pada minggu hadapan mesti menilai kekuatan UMNO di peringkat cawangan, kampung dan kawasan pertempatan.

Sekian dan terima kasih.

Sekian dan terima kasih.