Thursday, April 16, 2009

Jangan biarkan seperti yang sudah-sudah

Assalamualaikum.

Sebenarnya perkara yang ingin ditulis ini sudah lama ingin disampaikan. Tapi masa itu tak pandai main blog lagi. Jadi apabila sudah pandai sikit-sikit, teringat nak tulis perkara yang dahulu itu. Jadi saya tulislah di bawah tajuk Jangan biarkan seperti yang sudah-sudah.

Yang sudah-sudah rakyat dengan mudah melihat menerusi kaca televisyen tentang beberapa Ahli Parlimen UMNO/ BN dengan bebas menghentam kementerian dan jabatan kerajaan yang mereka sendiri dukung. Perbuatan menghentam kementerian dan jabatan yang mereka sendiri dukung seolah-olah untuk menunjukkan ketelusan dan kebebasan. Sebaliknya, menerusi perbuatan menghentam kementerian dan jabatan kerajaan secara terbuka dan meluas itu membolehkan rakyat mengetahui dan melihat banyak kesalahan dan kelemahan kerajaan. Contoh yang masih diingati ialah isu kastam diraja dan isu AP. Tanpa disedari, perbuatan menghentam kementerian dan jabatan kerajaan itu oleh ahli parlimen kerajaan secara perlahan-lahan telah :
a. menjauhkan rakyat pada kerajaan,
b. memberikan satu contoh terbaik pada pembangkang untuk membantai kerajaan cukup-cukup.

Pada hemat saya, ahli parlimen kerajaan hendaklah menyatakan rasa tidak puas hati masing-masing pada Perdana Menteri secara terus dan bukannya main suka dan di mana-mana sahaja. Mungkin pada satu aspek ia dilihat amat baik kerana bebas. Tapi apa kesannya daripada kebebasan tersebut. Adakah dengan memberikan maklumat atau menyatakan rasa tidak puas hati terus kepada Perdana Menteri itu bukan juga satu kebebasan?

Seharusnya ahli parlimen kerajaan hendaklah selektif dalam menyampaikan rasa tak puas hati masing-masing. Dalam mana-mana komunikasi pun, ada perkara yang boleh dibincang secara terbuka tapi ada perkara yang mesti dibincang secara tertutup. Pada pihak pembangkang memanglah semua perkara akan dibuka seluas-luasnya.

Sekarang apa sudah jadi? Rakyat meluat dengan kerajaan? Buktinya, tsunami PRU 12 dan kalah 3-1 dalam empat pilihanraya kecil. Apakah pula tindakan yang boleh dilakukan oleh ahli parlimen kerajaan yang dahulunya menghentam kementerian dan jabatan kerajaan yang mereka sendiri dukung?

Satu sahaja pesanan, iaitu PM baru jangan biarkan seperti yang sudah-sudah. Nasihatkan mereka agar terus sampaikan segala rasa tak puas hati kepada PM dan TPM.

Untuk konteks secara terbuka, lebih elok ahli parlimen kerajaan mengambil tindakan menyatakan pandangan dan cadangan tentang kaedah, cara dan pendekatan yang terbaik untuk menteri dan pegawai-pegawai kerajaan jayakan peruntukan atau rancangan kerajaan sehingga penduduk di kawasan yang diwakili mendapat manfaat. Tanyalah menteri dan kementerian tentang cara peruntukan yang ada disalurkan. Jika peruntukan tak sampai ke kawasan masing-masing, sarankan kaedah terbaik pada menteri dan kementerian.

Kerajaan yang ada, ahli parlimen kerajaanlah orang di barisan hadapan yang akan menjaganya. Tapi kalau ahli parlimen kerajaan pun dah macam pembangkang, sudah patutlah kerajaan menghadapi tsunami PRU 12 itu.

Wednesday, April 8, 2009

Keputusan Pilihanraya & Hati Perasaan

Assalamualaikum.

Keputusan pilihanraya Bukit Selambau dan Bukit Gantang sudahpun diumumkan. Kepada yang menang sekalung tahniah dan yang kalah terimalah keputusan rakyat itu sebagai suatu pengajaran. Begitu juga diucapkan jutaan tahniah kepada kerajaan kerana telah menyokong pemilihan secara berhemah, adil dan saksama. Jika ada yang mengatakan kerajaan tidak adil dalam pilihanraya, inilah buktinya keadilan kerajaan BN dalam pilihanraya.

Apa-apapun, apabila BN kalah dalam pilihanraya di Bukit Selambau dan Bukit Gantang mengundang pelbagai andaian. Kadang kala andaian itu berdasarkan data kaji selidik. Sejauh mana kebenarannya, Allah S.W.T. sahaja yang maha mengetahui.

Saya telah memberikan suatu andaian berkaitan peluang BN/UMNO dalam pilihanraya. Andaian saya ini juga telah dikemukakan dalam blog ini lama dulu. Pada saya, isu PPSMI dan PTK adalah isu yang merobek peluang BN/UMNO untuk menang dalam pilihanraya. Hal ini jelas apabila keadaan BN/UMNO tidak kukuh dengan nisbah kekuatan 55%-60% ( BN/UMNO) dan 45%-40% ( Pembangkang), BN/UMNO kalah kerana isu PPSMI dan PTK ini. Jika isu PPSMI dan PTK ini menyumbang sebanyak 5 % sebagai faktor menolak BN/UMNO, peluang BN/UMNO dalam mana-mana pilihanraya akan tipis kerana faktor-faktor local yang hanya 3-5% sahaja sebagai faktor menolak BN/UMNO akan meningkatkan undian pembangkang.

Dua faktor, iaitu PPSMI dan PTK sebenarnya dua faktor yang menyeluruh dan bersangkutan dengan hati dan perasaan. Justeru kerajaan yang dipimpin oleh PM baru ini mesti segera menangani dua isu atau faktor ini. Penat blok kerajaan berkempen dan menunjukkan komitmen bagi membantu rakyat tetapi hati dan perasaan rakyat berkaitan dua faktor ini dengan mudah menidakkan usaha kerajaan itu. Lihatlah keadaan di Kuala Terengganu dahulu. Dua faktor ini secara senyap menyokong faktor local dalam memusnahkan harapan BN/UMNO dalam pilihanraya.

Dua faktor ini jugalah menjadi pegangan pengundi atas pagar. Oleh itu, apabila dua faktor ini menjadi isu hati dan perasaan pengundi atas pagar, pengundi yang tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap BN/UMNO lebih mudah menunjukkan ketidakpuasan hati dengan mengundi pembangkang.

PM baru harus mengambil keputusan tegas berkaitan dua faktor ini. Malah PM baru juga harus konsisten dan tegas dalam membuat apa-apapun keputusan kerajaan. Dengan memperlihatkan ketegasan, kerajaan yang dipimpin akan dilihat sebagai sebuah kerajaan yang ampuh / firm. Tentu sahaja ini akan menarik keyakinan rakyat, terutama rakyat yang tidak menganggotai mana-mana parti.

Tahniah kepada Y.A.B. Dato Seri Mohd Najib atas pelantikan sebagai PM Malaysia. Dato Seri dilihat sebagai tempat orang Melayu dan rakyat sandarkan harapan. Jangan musnahkan peluang ini. Inilah aset Dato Seri untuk mengangkat semula martabat UMNO, BN, dan kerajaan. Semoga maju jaya.

Sekian.

Tuesday, April 7, 2009

Cikgu Boleh Pegang Jawatan Politik

Assalamualaikum.

Baru-baru ini, iaitu dalam Perhimpunan Agung UMNO, Y.B. Menteri Pelajaran Malaysia telah melontarkan idea agar golongan cikgu / guru boleh memegang jawatan politik atau aktif dalam politik. Pada dasarnya, saya mengucapkan terima kasih atas cadangan tersebut kerana mengokhtiraf peranan guru. Sebenarnya, cadangan ini telah lama saya bawa dalam persidangan UMNO cawangan, iaitu sejak 1999 lagi. Tapi siapa mahu mendengar cadangan ini kerana ia lahir daripada ahli UMNO yang biasa.

Namun begitu, pada hari ini dan melihat keadaan politik di negara ini yang agak berbeza dengan tahun-tahun sebelum 2004, amat baik cadangan untuk membenarkan guru aktif dan memegang jawatan politik tidak diterima. Hal ini kerana politik di negara kita telah memperlihatkan dua institusi politik yang besar, iaiatu BN dan PR. Oleh hal demikian, jika cadangan ini diterima, tentu perbahasan politik juga besar di sekolah-sekolah.

Selain itu, politik pada hari juga telah memperlihatkan orang politik sanggup mencabar kedudukan dan martabat sultan dan ketetapan perlembagaan. Justeru jika guru-guru dibenarkan aktif dan memegang jawatan dalam parti, tentu semua ini juga akan menjadi isu dalam perbahasan di bilik guru atau di sekolah. Bayangkan keadaan yang akan dan boleh berlaku pada guru, murid dan sekolah apabila isu-isu dalam kontrak sosial menjadi perbahasan hangat dalam kalangan guru. Tentu sahaja keadaan yang tidak kondusif pada persekitaran sekolah.

Memandangkan dua keadaan tersebut, saya tidak bersetuju guru dibenarkan memegang jawatan dalam politik dan aktif dalam politik. Hal ini kerana apabila hati guru sentiasa panas, tentu sahaja kesan negatif akan diterima oleh murid-murid. Keadaan ini tidak membawa apa-apa manfaat kepada modal insan yang sedang dibentuk di bilik darjah.

Bagaimanapun, guru-guru boleh diberikan tempat dan ruang yang lebih luas dalam JKKK dan Lembaga Masjid. Menerusi dua institusi ini, peranan guru sebagai agen perubahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan baik.

Sekian.

Monday, April 6, 2009

TADIKA UMNO

Assalamualaikum.
Baru-baru ini terfikir akan perkara yang rasanya tak penting. Bagaimanapun, selepas diamati-amati perkara tersebut, akhirnya saya fikir perkara tersebut penting. Perkara penting yang dimaksudkan ialah TADIKA UMNO.

Memang pusat didikan dan bimbingan di negara ini agak banyak. Apabila dicampur dengan pusat asuhan swasta, lagilah banyak jumlahnya. Isteri kepada Y.A.B. Perdana Menteri kita juga nampak aktif dalam program permata negara, iaitu salah satu program pendidikan asas anak-anak kecil.

Melihat akan keadaan ini, tertanya di hati kecil, iaitu kenapa UMNO tidak mempunyai TADIKA UMNO?

Jika ada TADIKA UMNO, bolehlah aspek pendidikan agama Islam yang menurut ajaran Islam sebenar-benarnya ditanam pada diri anak kecil kita. Justeru dengan cara ini, UMNO dapatlah melawan dakyah songsang yang bertopengkan Islam. Dengan ini juga UMNO dapat membantu membanteras gejala sosial dalam kalangan anak muda nanti.

Jika ada TADIKA UMNO, bolehlah UMNO memperkenalkan pejuang-pejuang UMNO dan bagaimana pejuangan UMNO dalam memerdekakan negara dan memajukan Melayu. Dengan cara ini, dapatlah jiwa anak-anak kecil ini ditanam dengan pemahaman tentang perjuangan UMNO. Justeru dengan cara ini juga dapatlah UMNO menangani isu remaja atau anak orang UMNO tidak menyokong UMNO nanti.

Pentingnya TADIKA UMNO ini kerana perjuangan dan semangat UMNO tidak boleh ditanam dalam jiwa anak Melayu di bangku sekolah sama ada di Tadika Perpaduan, Tadika KEMAS, Prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah. Hal ini kerana semua guru di institusi itu adalah kaki tangan awam yang dilarang bercerita tentang politik dalam kelas. Oleh itu, cukuplah tadika Pepraduan dan Tadika KEMAS dalam menjadi saluran pendidikan formal untuk semua kaum.

Sebaliknya, isteri pak-pak menteri boleh membantu mewujudkan TADIKA UMNO. Dalam TADIKA UMNO diisikan denganpendidikan agama Islam dan sejarah perjuangan UMNO dan negara, di samping asas-asas ilmu pengetahuan yang lain.

Dengan adanya TADIKA UMNO ini, bolehlah kita melihat adakah ahli UMNO bersedia menghantar anak-anak kecil mereka. Kalau sanggup, berapakah jumlahnya? Ini boleh digunakan sebagai alat untuk melihat kejujuran ahli UMNO pada partinya sendiri.

Justeru UMNO mesti fikir TADIKA UMNO ini baik-baik.