Wednesday, December 31, 2008

Selamat Tahun Baru

Assalamualaikum...... !
Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2009 M kepada seluruh warga dunia. Semoga pada tahun baru 2009 ini warga dunia, khususnya rakyat Malaysia saling menghormati dan berpegang teguh pada asas-asas pembinaan negara dan bangsa Malaysia.

Bagi umat Islam di seluruh dunia dan istimewanya di Malaysia juga diucapkan Selamat Tahun Baru 1430 H yang baru sahaja disambut pada 28 Disember 2008 bersamaan hari Ahad yang lalu. Semoga kita diarhmati dan diberkati oleh Allah S.W.T. Semoga tahun 1430 H dan 2009 M ini menjadikan kita sebagai umat Islam yang benar-benar dapat menunjukkan kesucian Islam pada ketaqwaan, shari'at dan akhlak. Sesungguhnya, pada diri umat Islam yang menjunjung Islam yang sebenar itu menjadikan orang lain lebih memahami Islam yang suci itu. Sebab itulah pada diri junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. itu menjadi sebaij-baik contoh dan untuk diikuti. Pada diri Muhammad S.A.W. itulah orang memahami dan mengenali serta jatuh cinta pada Islam.

Selamat Tahun Baru 1430 H dan 2008 M.

Friday, December 12, 2008

Bukit Runtuh..... Banjir...... ?

Assalamualaikum.
Pertama sekali diucapkan takziah kepada mangsa Tanah Runtuh yang mengorban 4 orang nyawa di Bukit Antarabangsa. Semoga mangsa-mangsa tanah runtuh Bukit Antarabangsa, Ulu Yam dan lain-lain tabah dan cekal menghadapi dugaan daripada Allah S.W.T.
Kejadian tanah runtuh ini telah membawa pelbagai pandangan daripada pelbagai tokoh dan agnesi masyarakat. Pun begitu, apa-apapun kejadian kejadian tanah runtuh dan memusnahkan rumah dan bangunan hanya boleh dihentikan apabila manusia dapat mengekang hawa nafsu sendiri.
Manusia hendaklah tidak membeli rumah-rumah yang dibina di lereng-lereng bukit walaupun nampak elit lokasinya dan ditawarkan oleh pemaju dengan pelbagai janji keselamatan dan pembelian yang hebat. Manusia mesti tahu lokasi yang sesuai untuk penempatan dan untuk bercucuk tanam. Jika kita meneliti sejarah tamadun manusia, manusia neolitik yang tidak bersekolah seperti manusia hari ini sudah tahu memilih lokasi untuk membuat petempatan dan bercucuk tanam. Orang neolitik tahu di tepi sungai bukan untuk petempatan tetapi untuk bersawah. Kawasan atas daripada sawah, mereka bina rumah. Lantaran itu, mereka terhindar daripada banjir besar. Kawasan yang lebih tinggi daripada kawasan pertempatan pula mereka jadikan sebagai dusun untuk mengutip buah-buahan dan memburu binatang. Mereka tidak menghadapi bahaya tanah runtuh.
Manusia hari ini terbalik, sawah dikambus dan sungai ditimbus untuk dijadikan petempatan. Lantaran itu, samapai ketika dan waktu, manusia menghadapi banjir kerana kontor muka bumi itu adalah untuk sawah dan sungai.
Memang boleh sawah dikambus dan bukit ditarah untuk membuat pertempatan. Itu adalah satu ikhtiar tetapi ikhtiar manusia bukanlah segala-galanya. Muka bumi ini telah dibentuk dengan fitrahnya. Muka bumi ini telah ada konturnya, iaitu mana tempat tadahan hujan, mana tempat sungai mengalir dan mana tempat untuk sawah bendang. Oleh itu, apabila kontur ini diubah menerusi ikhtiar, manusia mesti berhadapan dengan keadaan fitrah muka bumi itu mungkin sebulan, setahun atau sepuluh tahun.
Manusia perlu sedar bahawa bukit, sawah dan sungai bukan boleh dibuat-buat. Terangkanlah satu kawasan untuk dijadikan sawah, tentu tidak akan jadi sawah yang hebat. Tukarkanlah aliran sungai sungai, nescaya satu ketika air itu akan mengikut arah lairan yang asal. Inilah kontor muka bumi yang menjadi fitrah alam. Manusia tidak mampu mengubah kontor dan fitrah muka bumi ini untuk selama-lamanya

Sejak dahulu lagi kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk menghalang banjir tetapi mengapa masih berlaku banjir? Sebabnya, kawasan itu memang laluan air pada fitrahnya. Pelbagai teknolgi digunakan dalam membina rumah di lereng bukit tetapi mengapa rumah boleh musnah akibat tanah runtuh? Sebabnya fitrah bukit sebagai pasak bumi telah dicacatkan dan pasak bumi itu pun tempang untuk menahan air lari bawah tanah.

Oleh demikian, pengguna hendaklah menjauhi minat membeli rumah dilereng bukit atas pengetahuan yang dipelajari dalam Sejarah dan Geografi di sekolah. Elakkan nafsu untuk kelihatan elit. Usah percaya pada janji dan ikhtiar manusia sepenuhnya. Nescaya, pemaju tidak akan menggesa kerajaan memberikan mereka kebenaran membina rumah yang hebat di lereng bukit manapun. Pemberhentian pembinaan rumah di lereng bukit bukan setakat undang-undang tetapi pengguna sendiri adalah kuasa yang hebat untuk menghentikan segala musibah yang meruntun hati kita semua.

Semoga mangsa tanah runtuh di lereng bukit cekal dan tabah menghadapi dugaan yang ada.

Waalaikumusalam.

Sunday, November 16, 2008

Rakyat Amerika Syarikat Matang Berpolitik !!!???

Kita baru sahaja mendengar khabar bahawa rakyat Amerika yang majoritinya berkulit putih telah memilih Barack Obama yang berkulit hitam sebagai presiden Amerika Syarikat. Justeru ramai yang takjub lantas mengatakan bahawa rakyat Amerika Syarikat mempunyai kematangan politik yang tinggi..... benar?

Pemilihan Barack Obama di Amerika Syarikat itu tidak boleh dilihat sebagai kematangan politik. Sebaliknya, itu adalah memang politik Amerika Syarikat kerana rakyat Amerika Syarikat dan pembentukan negara dan bangsanya tidak berlandaskan warisan bangsa. Hal ini berikutan semua rakyat Amerika Syarikat, iaitu tidak kira apa-apa pun warna kulit atau bangsa adalah pendatang. Oleh itu, pembinaan bangsa dan negara Amerika Syarikat adalah berdasarkan kerakyatan semata-mata. Orang putih tidak boleh mengatakan bahawa kaumnya sahaja yang boleh menjadi presiden Amerika Syarikat dan begitu juga kaum lain kerana semuanya pendatang. Hal ini berbeza dengan negara bangsa yang lain seperti India, China, Jepun, German, Perancis dan lain-lain kerana negara ini mempunyai ciri-ciri pembinaan negara dan bangsa yang tersendiri, iaitu selain daripada kerakyatan, pembinaan negara dan bangsanya juga tertakluk pada warisan ketuanan.

Untuk meniru Amerika Syarikat oleh rakyat negara lain pasti akan menimbulkan kecelaruan dan kecelaruan itu adalah kerana ketidakmatangan politik. Oleh hal demikian, setiap negara dan bangsa di dunia ini mempunyai ciri-ciri politik masing-masing dan itulah kematangan masing-masing. Lihat sahaja apabila Fujimori menjadi presiden di sebuah negara di Amerika Selatan, kecelaruan akhirnya berlaku. Begitu juga apabila bangsa yang asalnya adalah pendatang menjadi presiden di Fiji, akhirnya timbul kecelaruan.

Pada hemat saya, jelas bahawa setiap negara di dunia ini tidak boleh lepas daripada warisan ketuanan masing-masing kecuali negara-negara yang dibina oleh kaum pendatang seperti Amerika Syarikat dan Australia.

Wednesday, November 12, 2008

Sesiapa Sahaja Boleh Jadi Perdana Menteri Malaysia ?

Kita baru mendengar kata-kata mantan Perdana Menteri Malaysia, iaitu Y.BHG. Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang jawatan Perdana Menteri Malaysia boleh daripada sesiapa sahaja asalkan rakyat Malaysia tidak kira kaum. Kata beliau ini ditambah dengan kenyataan bahawa sesorang itu mesti dapat diterima oleh semua dan daripada parti yang mendapat sokongan majoriti. Kata-kata Tun Dr. Mahathir ini memang tidak ada salahnya dari aspek prinsip perlembagaan kerana perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan kaum dan agama bagi seseorang Perdana Menteri Malaysia. Hal ini berbeza dengan perlembagaan England yang walaupun perlembagaannya secara statut tetapi diterima secara konvensional sejak dahulu menetapkan bangsa, agama dan mazhab bagi seseorang Perdana Menteri England.
Sebenarnya, soal kaum dan agama bagi seseorang Perdana Menteri Malaysia pernah diutarakan oleh saya dalam persidangan UMNO Kg. Rim (Bahagian Jasin) lima-enam tahun dahulu. Saya turut mengusulkan agar UMNO menggesa kerajaan membuat pindaan perlembagaan agar memasukkan Melayu dan Islam sebagai syarat untuk seseorang menjadi Perdana Menteri Malaysia. Namun begitu, maklumlah saranan ini datang daripada saya yang hanya ahli UMNO biasa dan tidak boleh memegang jawatan, usul ini dibangkulsampahkan sahaja.
Sebenarnya, Perdana Menteri Malaysia mesti secara statut atau bertulis adalah daripada kaum Melayu dan beragama Islam. Hal ini bukan sahaja kerana Persekutuan Malaysia ini wujud atas warisan negeri Melayu tetapi dengan Perdana Menteri Malaysia daripada kaum Melayu dan beragama Islam maka ketetapan perlembagaan seperti agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai agama rasmi, kedudukan keistiemewaan Melayu dan Bumiputera, Institusi Raja-Raja dan mahkamah syariah akan dapat dipelihara.
Saya percaya kata-kata Tun Dr. Mahathir ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengajak orang Melayu berfikir dan menginsafi nasib bangsa Melayu pada waktu-waktu mendatang.

Persoalannya, adakah usul yang pernah diutarakan dahulu oleh saya sebagai ahli UMNO golongan marhain ini boleh diusahakan dalam waktu-waktu dan keadaan UMNO dan Melayu semakin longlai !!!!!!!????

Friday, October 24, 2008

Kemelut Pemilihan UMNO

Kini orang-orang UMNO sibuk dengan pemilihan UMNO di peringkat Bahagian dan kesibukan ini akan membawa pada pemilihan di peringkat pusat pula. Namun begitu, cerita lama yang serupa kedengaran kembali, iaitu kemelut pencalonan dan politik wang.................. Bilakah sudah?
Masalah Pencalonan dan Pemilihan
Sebenarnya, kaedah pemilihan calon mesti dinilai semula. Pada hemat saya, kaedah kuota yang diguna pakai hendaklah diubah kepada HAD CALON BERTANDING sahaja. Misalnya, bagi jawatan presiden, Had Calon Bertanding 2 orang sahaja. Jadi biarkan mana-mana ahli ingin bertanding mengumumkan niat suci masing-masing dan Bahagian UMNO buat pencalonan. Oleh itu, selepas habis semua Bahagian UMNO bermesyuarat dan membuat pencalonan, barulah dikira 2 orang yang mendapat pencalonan tertinggi dan tergolong dalam Had Calon Bertanding. Dengan ini, yang lain akan terkeluar daripada senarai Had Calon Bertanding. Kesan daripada kaedah ini, setiap calon tak berani menabur duit kerana masing-masing tidak tahu jumlah pencalonan yang membolehkan mereka tersenarai dalam Had Calon Bertanding. Kalau tabur juga duit, alangkah bodohnya kerana duit yang banyak ditabur untuk dapat pencalonan banyak tetapi orang yang tak tabur duit dan dapat 10 pencalonan misalnya juga tersenarai dalam Had Calon Bertanding, Jadi di sini adakah nak tabur duit lagi untuk menang pula. Kalau dilakukan juga pasti musflis dia akhirnya. Kaedah ini perlu dilaksanakan pada jawatan lain dengan Had Calon Bertanding hanya dilebihkan dua atau tiga sahaja daripada kuota kerusi bagi setiap jawatan. Dengan ini, perwakilan juga akan dapat membuat pemilihan dengan lebih tepat dan tidak bercelaru. Hal ini boleh dilihat kesannya pada jawatan Majlis Tertinggi atau Jawatankuasa Bahagian. Jumlah yang banyak sebenarnya menjadikan pemilihan oleh perwakilan kurang tepat dan tidak rasional.
Masalah Politik Wang
Memang masa pemilihan ini, kata orang masa perwakilan buat duit. Kalau benar, takkan kita nak biarkan rakan-rakan kita bergelumang dengan dosa, apalagi boleh menjahanamkan bangsa, agama dan negara. Oleh itu, pada fikiran saya, Had Calon Bertanding ini boleh membantu menyelesaikan masalah politik wang ini.
Memang diakui setiap perwakilan perlu duit, untuk ke persidangan seperti duit minyak, hotel, makan dan belanja orang rumah dan anak-anak yang ditinggalkan tiga atau empat hari itu. Jadi UMNO kena bantu mereka untuk pengorbanan mereka ke persidangan tetapi bukan dengan cara yang berlaku hari ini.
Mereka yang tersenarai dalam Had Calon Bertanding, dikehendaki menyumbang sejumlah wang dalam Tabung Persidangan dan jumlah itu ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan UMNO. Misalnya, jawatan presiden mesti menyumbang RM 20, 000.00, Timbalan Presiden RM 17,000.00 dan lain-lain. Jumlah wang yang terkumpul dalam Tabung Persidangan diumumkan dan diagihkan kepada Bahagian UMNO sama rata. Duit yang diagih kepada Bahagian UMNO akan disumbang kepada setiap perwakilan sama rata untuk ke persidangan.
Kesannya, mereka yang melakukan politik wang akan terbeban dengan kaedah ini kerana setelah tabur duit untuk mendapat pencalonan, kena lagi beri sumbangan. Tentu mereka menghadapi implikasi kewangan yang serius. Selain itu, tidak akan timbul isu membeli perwakilan kerana mereka yang tersenarai dalam Had Calon Bertanding sama-sama memberi sumbangan yang sama rata. Seterusnya, perwakilan juga tak perlu mengugut calon untuk mendapatkan wang untuk duit saku ke persidangan.
Kedua-dua kaedah ini, iaitu Had Calon Bertanding dan Sumbangan Tabung Persidangan hendaklah dilaksanakan di peringkat Bahagian UMNO juga tetapi bukan di peringkat cawangan kerana di peringkat cawangan ini politik wang kurang ketara.
Apa-apapun kaedah sumbangan Tabung Persidangan ini mesti dibincang dahulu dengan Majlis Fatwa dan Badan Pencegah Rasuah sama ada boleh atau tidak boleh. Jika tidak boleh, jangan wujudkan Tabung Persidangan ini. Gunakan sahaja kaedah Had Calon Bertanding tersebut.
Jika nak mantap lagi, pengundian diadakan dua kali, iaitu kali pertama diundi oleh kumpulan perwakilan pertama dan pengundian kedua dilakukan oleh kumpulan perwakilan kedua pula. Kedua-dua kumpulan perwakilan ini mesti terdiri daripada orang yang berbeza. Penentuan perwakilan boleh ditetapkan dalam mesyuarat cawangan untuk pemilihan Bahagian UMNO atau mesyuarat Bahagian UMNO untuk pemilihan di peringkat pusat. Kaedah ini tentu memeritkan mereka yang ingin melakukan politik wang dan juga pemilihan bakal pemimpin dilihat lebih teliti dan lebih meluas daripada kalangan ahli UMNO.
Mari kita cuba cadangan ini........! Ada berani......... ?

Orang Melayu Pendatang?

Baru-baru ini kedengaran suara yang mengatakan orang Melayu adalah juga pendatang di Malaysia ini.... penduduk asal adalah orang asli ........ benarkah tanggapan itu?
Kenyataan demikian harus diperjelas dengan fakta sejarah oleh orang Melayu sendiri tanpa dipengaruhi emosi, apalagi untuk berkonfrantasi. Anggaplah orang yang mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai kurang pengetahuan sejarahnya. Kenyataan tersebut boleh dijawab dengan mudah sahaja, iaitu:

Semua negara di dunia ini mempunyai orang asli sama ada di England, Australia, India, Indonesia, China, Amerika Syarikat dan lain-lain. Jika benar argumen yang mengatakan bahawa orang asli adalah penduduk asal Malaysia, tentulah orang asli di England, Australia, India, China, Amerika Syarikat dan lain-lain itu penduduk asal negara tersebut. Memang benar bagi Amerika Syarikat dan Australia kerana yang ada di negara tersebut selain orang asli itu datang dari England dan negara-negara lain di dunia ini. Bagaimanapun, tidak benar bagi China dan India kerana jika orang asli adalah penduduk asal bagi kedua-dua negara tersebut, jadi orang Cina dan India di negara tersebut datang dari mana..... adakah dari Malaysia, Arab Saudi, England atau lain-lain negara?
Memang orang Melayu adalah penduduk asal Malaysia dan begitu juga orang asli yang mendiami Malaysia. Sebenarnya dalam perkembangan manusia, ada manusia yang hidup dengan ciri-ciri paleolitik, iaitu hidup secara berpindah - randah dan mengutip hasil hutan. Mereka ini begitu isolated dan kekal dengan ciri-ciri tersebut sehingga kawasan sekeliling mereka maju. Lantaran itu, mereka dikenali sebagai orang asli.
Sementara itu, ada dalam kalangan mereka ini telah berubah dan mendiami kawasan-kawasan yang subur seperti di kawasan lembah sungai dan ada pula mendiami kawasan persisiran pantai. Mereka yang mendiami kawasan lembah sungai dan persisiran pantai ini meninggalkan ciri-ciri kehidupan paleolitik. Sebaliknya, kumpulan ini menempa kemajuan dengan mengusahakan kawasan pertanian, penternakan dan penangkapan ikan. Akhirnya, kawasan yang didiami itu menjadi perkampungan dan seterusnya maju menjadi kerajaan yang dikenali sebagai kerajaan agraria dan maritim. Dengan menjadi kerajaan agraria dan maritim itu, penduduk di kedua-dua kerajaan tersebut berkembang akibat interaksi dengan kawasan lain atau dunia luar. Oleh itu, perubahan-perubahan berlaku dalam ciri-ciri kehidupan mereka akibat proses asimilasi dengan nilai-nilai luar. Oleh itu, mereka berbeza amat dengan kumpulan yang dikenali sebagai orang asli.
Berdasarkan dengan penjelasan ini, jelas bahawa orang Cina dan orang asli yang ada di negara Cina memang penduduk asal negara China. Begitu juga orang India dan orang asli di negara India itu memanglah penduduk asal negara India tersebut. Demikianlah juga, orang Melayu dan orang asli yang ada di Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai negeri Melayu adalah penduduk asal Malaysia.
Walaupun penjelasan ini menjelaskan bahawa orang Melayu dan orang asli yang ada di Malaysia adalah penduduk asal Malaysia, bukan bermakna menafikan orang Cina dan India yang telah menjadi rakyat Malaysia. Orang Cina dan India memang rakyat Malaysia yang mempunyai hak dan dijamin oleh perlembagaan Malaysia. Pada masa yang sama, orang Cina dan India juga harus mengakui hakikat bahawa Malaysia ini adalah kesinambungan negeri-negeri Melayu yang penduduk asalnya adalah orang Melayu dan orang asli yang mendiami kawasan di negeri-negeri Melayu. Sebagai penduduk asal, tentulah orang Melayu mempunyai hak-hak istimewa kerana Malaysia ini adalah warisan bangsanya. Ini tak perlu dipolemik kerana sama sahaja di mana-mana negara di dunia. Misalnya, berpuluh ribu orang Cina menjadi rakyat England dan mereka boleh mencari kekayaan di sana seperti dijamin oleh perlembagaan England. Bagaimanapun, orang Cina rakyat England itu tidak boleh menjadi Perdana Menteri England kerana England itu adalah warisan bangsa Inggeris. Demikian juga, sekiranya ada berpuluh ribu orang India yang menjadi rakyat China dan mereka dijamin oleh perlembagaan China untuk hidup makmur serta mengumpul kekayaan tetapi mereka pasti tidak boleh menjadi presiden China. Ini mesti diakui oleh rakyat China berketurunan India bahawa China itu adalah warisan bangsa Cina.
Fakta sejarah dan nilai warisan yang dijelaskan di atas berlaku dan terus berlaku dalam mana-mana negara di dunia ini dan kerana itu wujud konsep negara bangsa. Namun begitu, rakyat Malaysia walau apapun bangsa tidak perlu berkonflik akan hal ini kerana semuanya dijamin oleh perlembagaan Malaysia untuk hidup makmur, mengumpul kekayaan dan sebagainya. Yang perlu dilakukan ialah menghormati keluhuran perlembagaan yang dibentuk berdasarkan sejarah. Jika sama-sama dapat mengakui hakikat sejarah, tiada konflik antara rakyat berbilang kaum dan masing-masing boleh hidup makmur. Hakikat sejarah ini yang akhirnya mewujudkan kontrak sosial tidak pernah menjadi halangan kepada rakyat Malaysia dari keturuan Cina, Portugis, Inggeris, Arab, India dan lain-lain untuk memakai kereta macerdes atau memilki banglo serta memiliki firma perniagaan. Hakikat sejarah dan kontrak sosial yang wujud daripada sejarah itu hanya tercatat atas kertas sahaja. Sebaliknya, jika wujud konflik barulah hakikat sejarah dan kontrak sosial itu durujuk bagi memahami hakikat kewujudan konsep bangsa dan negara Malaysia. Demikianlah hal juga serupa di Jepun, Arab Saudi, German, Perancis, China, Sepanyol, India dan lain-lain dalam konteks penduduk asal dengan rakyat negara tersebut daripada keturunan lain.
Penjelasan ini tidak boleh disamakan dengan Amerika Syarikat atau Australia kerana lain daripada orang asli di negara tersebut semuanya pendatang dari England atau negara-negara lain. Oleh itu, memanglah apapun keturunan sama ada Negro, Inggeris atau lain-lain, mereka boleh memperoleh sama rata tanpa terikat dengan nilai sejarah dan warisan yang diperkata di atas. Mereka tidak boleh mengatakan bahawa keturunan atau kaum mereka adalah penduduk asal dan pewaris Amerika Syarikat atau Australia untuk memiliki keistimewaan.
Kesimpulannya, seluruh rakyat Malaysia marilah ikhlas untuk bersatu padu walaupun berlainan keturunan atau kaum kerana kita semua boleh hidup makmur dan sama-sama menjadi kaya-raya. Lihat sahaja, kalau pergi di suatu bandar di Malaysia, ada Klinik Wong, Klinik Naharajen dan Klinik Yakin. Semua klinik ini didatangi oleh rakyat Malaysia yang pelbagai kaum tanpa ada halangan dan sekatan. Jadi mengapakah isu-isu yang dicanang oleh orang yang tiada kewibawaan tapi nak jadi pemimpin atau popular tak tentu pasal itu nak kita hiraukan kerana akhirnya rakyat juga yang tergugat. Marilah kita pertahankan struktur yang ada sejak 51 tahun dipegang. Sebaliknya, jika ada yang mahu atau cuba-cuba mengubah struktur yang ada yang dibentuk atas nilai sejarah, pasti akan wujud kecelaruan sahaja. Jika dipertahankan struktur ini pula, kecelaruan terhindar dan semuanya akan menikmati hidup yang aman, makmur dan cemerlang. Jika mahu cuba mengubah struktur atas niat ingin memiliki sesuatu kekayaan, banyak mana kekayaan yang mahu dimonopoli. Malah mungkin yang telah dimiliki selama ini akan musnah. Jadi tanya diri sendiri dengan fikiran matang dan terbuka.
Dirgahayu Malaysia....... !