Sunday, February 27, 2011

Calon-Calon ADUN Merlimau ialah ....!

Assalamualaikum w.b.r.

Saya belum sempat menjengah-jengah ke Merlimau bagi melihat secara dekat bagaimana orang Merlimau menghadapi PRK DUN Merlimau. Sebaliknya, rakan-rakan saya dari Dr. yang membuat survey telahpun turun ke Merlimau dan sempat juga saya bertemu dengan mereka. Tapi saya dengar ada yang merajuk hati kerana dikatakan namanya tak dicalonkan. Saya tak tahu, sama ada benar atau salah berita yang didengar daripada rakan-rakan.

Saya hanya ingin menasihati bahawa rezeki kita adalah ditentukan oleh Allah S.W.T. Oleh itu, jangan sebab tak dapat sesuatu, kita berasa amat sedih sehingga membawa diri sebagai manifestasi merajuk hati. Percayalah bahawa sekira sesuatu yang diharapkan tidak dapat, itu bukan rezeki kita tetapi sebenarnya kita telah diberikan banyak rezeki lain. Jadi yang tak dapat itu, janganlah diheboh-hebohkan sangat. Sebaliknya, banyak sudah yang lain kita telah dapat tapi kita senyap sahaja dan tak diheboh-hebohkan. Marilah bersikap adil dengan kurniaan Allah S.W.T.

Allahyarham Datuk Haji Dolah Atan bekas ADUN Rim dulu lagi hebat dugaannya. Nama beliau telahpun diumumkan oleh pucuk pimpinan sebagai calon ADUN Rim untuk penggal kedua dalam PRU. Tiba-tiba namanya digantikan dengan nama lain. Saudara-maranya begitu marah. Sebaliknya, beliau tampil menasihati saudaranya supaya menerima ketentuan Allah S.W.T. bahawa rezeki beliau hanya setakat itu sahaja. Beliau sendiri telah keluar berkempen untuk calon yang menggantikannya. Hebatnya perwatakan yang bernama Dolah Bin Atan yang pernah menjadi Setiausaha Agong UMNO bahagian Jasin selama lebih daripada 20 tahun tetapi hanya menjadi wakil rakyat biasa dan hanya sepenggal cuma.

Pengajarannya, tak usahlah di Merlimau ini ada yang merajuk hati kerana nama tidak diumumkan sebagai calon kerana nama kita bukan telah diumumkan sebagai calon dan kemudiannya diganti. Sedarlah bahawa hakikatnya ialah nama kita hanya dalam senarai pencarian dan pemilihan calon sahaja.

Saya yakin semua nama dalam senarai calon sudah matang dalam politik. Jadi saya turut yakin nama yang tidak dicalon tidak merajuk seperti yang diberitakan. Sebaliknya, nama yang tidak dicalon gagah untuk berkempen demi kejayaan calon yang diumumkan, iaitu rakan seperjuangan dalam parti.

Apa-apapun, Selamat mengundi pemilih-pemilih di DUN Merlimau!

Sekian dan terima kasih.

Friday, February 4, 2011

Dahku cakap !

Assalamualaikum w.b.r.
Dulu sudah saya cakap bahawa setiap cawangan UMNO mesti berani melaksanakan sesuatu aktiviti atau program di kawasan masing-masing supaya masyarakat mengerti bahawa aktiviti atau program yang berlangsung itu adalah atas inisiatif UMNO. Sebaliknya, banyak program dan aktiviti yang dilaksanakan atas nama JKKK, Lembaga Masjid atau Gerakan 4B, Persatuan Kendarat dan lain-lain. Nama UMNO amat ditakuti untuk diselitkan dalam penganjuran aktiviti atau program. Sedangkan semua badan itu dikepalai oleh UMNO atau Pengerusi UMNO sendiri adalah juga pengerusi badan-badan tersebut. UMNO disedari hanya apabila tiba masa pemilihan atau dekat pilihanraya. Selepas pemilihan atau plihanraya, nama UMNO lenyap.

Kalau setiap aktiviti atau program yang dilaksanakan ada nama UMNO diselitkan di samping nama badan-badan lain, sudah tentu nama UMNO dan perjuangan UMNO sentiasa difahami dan dihayati. Oleh itu, tak perlu adanya usaha seperti orang terdesak bagi mempromosi UMNO apabila tibanya pilihanraya.

Sebenarnya, jawatankuasa UMNO di cawangan atau bahagian mesti lebih ikhlas dan jujur dengan UMNO. UMNO perlu sentiasa bersemarak pada setiap masa. Barulah proses mendoktrinisasi UMNO pada masyarakat dan generasi muda berjalan dengan berkesan dan cekap. Oleh itu, dahku cakap dudlu lagi ini perlu diberikan perhatian. Janganlah apabila hampir tiba pilihanraya, UMNO yang menunjangi kepimpinan negara seperti orang terdesak melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi mempromosi UMNO.

Percayalah proses doktrinisasi tidak boleh berjalan dalam kadar segera atau cepat.

Sekian dan terima kasih.