Friday, May 6, 2011

Kristian Sebagai Agama Rasmi?

Assalamulaikum w.b.r.

Saya sempat membaca berita Terkini menerusi Utusan Online bertarikh 7/5/2011 dan berita itu dicatatkan masanya pada pukul 2.52pm berkaitan ada usaha untuk menjadikan kristian sebagai agama Rasmi di negara ini. Berikutan itu, Dato Hishamuddin telah melahirkan rasa terkejut dan sedih.

Memang patut seluruh rakyat di negara ini berasa sedih kerana usaha tersebut semata-mata mengundang perbalahan sesama rakyat yang telah sekian lama hidup dalam keadaan harmoni dan selamat. Sepatutnya, rakyat berbilang bangsa hendaklah mencontohi mendiang Ong Kim Koon yang tiada buruk sangka dengan orang lain yang berlainan kaum dan agama. Mendiang sanggup membantu pasangan Melayu yang parah kemalangan tetapi akhirnya dia sendiri yang meninggal dunia akibat dirempuh oleh sebuah kenderaan lain. Inilah lambang rakyat yang memahami erti hidup harmoni di negara yang tercinta.

Apakah usaha yang dilakukan oleh segelintir rakyat untuk menjadikan kristian sebagai agama Rasmi di negara ini patut dan apa yang hendak dicari lagi? Usaha mereka ini tidak melihat sedikit pun erti hidup harmoni dan selamat. Sedangkan kehidupan harmoni dan selamat itu adalah harapan semua rakyat di negara ini.

Usaha segelintir rakyat ini sebenarnya bertitik tolak pada ketidakfahaman terhadap sejarah berkaitan asas pembinaan negara dan bangsa Malaysia. Misalan yang mudah ialah Kristian menjadi agama Rasmi di England kerana sejarah asas pembinaan negara dan bangsa England itu adalah daripada tradisi bangsa dan budaya kerajaan dan bangsanya yang beragama kristian. Begitulah halnya dengan negara-negara lain seperti Arab, Thailand, India, China dan lain-lain. Di negara tersebut, agama rasmi mahupun bahasanya dan budaya adalah berasaskan tradisi dan budaya yang mengakari pembinaan negara dan bangsa tersebut.

Oleh itu, sekira benar ada usaha telah dilakukan bagi menjadikan kristian sebagai agama Rasmi negara ini, usaha itu adalah berasaskan kedangkalan pemahaman terhadap pensejarahan pembinaan negara dan bangsa Malaysia. Usaha ini sebenarnya bukan mahu melihat negara dan rakyat melangkah maju tetapi usaha ini sebenarnya mahu melihat negara dan rakyat menderita. Sedangkan apa yang dikehendaki termasuk aspek agama Rasmi telahpun diselesaikan dengan baik oleh kepemimpinan dahulu termasuk pegawai-pegawai dalam kalangan penjajah Inggeris. Jelas di sini, penjajah Inggeris lebih memahami sejarah asas pembinaan negara dan bangsa Malaysia berbanding sebilangan rakyat Malaysia sendiri.

Apa-apapun, semua rakyat yang cinta akan keharmonian dan negara ini bertenang dan meninggalkan isu ini ditangani oleh kerajaan. Percayalah kerajaan bijak dan adil kepada semua rakyat berbilang bangsa, agama dan keturunan di negara ini.

Sekian.