Saturday, August 1, 2009

ISA !!!!?????

Hari ini 01 Ogos 2009 berlaku lagi satu demontrasi jalanan yang pada awalnya direncanakan oleh puak GMI bagi memansuhkan ISA atau AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI. Kemudian, puak PERKASA telah memberikan respon dengan menganjurkan demontrasi juga tetapi bertujuan mempertahankan ISA. Oleh hal demikian, berlakulah suasana kelam kabut di ibu kota.
Apakah ISA? Sekira semua rakyat memahami sejarah negeri-negeri Melayu yang membentuk persekutuan Malaysia, tidak timbul soal memansuhkan ISA ini. Antara ciri negeri-negeri Melayu (yang dahulunya adalah negara Melayu yang merdeka) ialah Sultan berkuasa mutlak. Kuasa mutlak sultan ini adalah untuk memastikan suasana dalam negerinya aman dan harmoni. Lantaran itu, sekira ada puak yang didapati merencana, mencanang atau menggerakkan tindakan yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negeri, sultan dengan segera akan mengarahkan mereka itu ditangkap dan dihukum.
Hakikat kuasa mutlak sultan ini terjelma pada ISA apabila wujudnya persekutuan Malaysia. Apabila Malaysia mengamalkan Raja berpelembagaan, kuasa mutlak sultan ini dijelmakan dalam Akta ISA. Tujuannya sama sahaja, iaiatu kerajaan menggunakan kuasa yang ada semata-mata untuk menahan mereka yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.
Memang diakui ISA telah memperlihatakan kerajaan menahan ramai orang. Tetapi fikirkan dengan hati yang terbuka tentang siapakah yang telah ditahan? Mereka yang ditahan hanya mereka yang merangsang ketidakharmonian dalam kalangan rakyat jelata sehingga mencabar kedaulatan negara. Jika ditanya siapa mereka? Jawabnya ada pemimpin pembangkang, ada pemimpin parti kerajaan, ada pengganas yang datang dari negara luar, ada pemimpin ajaran sesat dan lain-lain. Jadi ISA tidak pernah terkena pada rakyat atau sesiapa sahaja yang tidak terlibat mencabar kedaulatan negara atau keharmonian negara.
Kesimpulannya, ISA ini adalah salah satu ciri warisan negeri-negeri Melayu yang membentuk ciri-ciri pembinaan negara dan bangsa Malaysia. Malah, Singapura pun masih mengekalkan ciri-ciri ini walaupun telah keluar daripada Malaysia.
Sehubungan dengan ini, usahlah terpedaya dengan mereka yang gelojoh dan buta sejarah. Hakikatnya, sama ada ISA perlu dimansuh, disemak atau dikekalkan bergantung kepada Raja-Raja Melayu kerana ISA bersabit dengan kuasa mutlak baginda, iaitu setelah baginda rela kuasa ini dipindahkan di bawah prinsip Raja Berpelembagaan.
Justeru berhubung dengan ISA ini usahlah tunjukkan pandai kita sahaja, sedangkan kita lebih banyak memandai-mandai.
Kalangan orang ramai yang sanggup beramai-ramai berdemontrasi bagi menyokong dakyah si anu-anu memansuhkan ISA hendaklah berhenti. Suruhlah si anu-anu itu berdebat di Parlimen. Bukankah kita sudah memberikan si anu-anu itu mandat dan kuasa menerusi pilihanraya. Jadi jika isu ISA ini pun mereka tak mampu kemukakan di parlimen dan terpaksa mengajak kita beramai-ramai untuk bersusah payah berdemontrasi di jalanan, apakah kualiti mereka sebagai wakil rakyat? Baik kita sahaja yang menjadi wakil rakyat dan si anu-anu ikut sahaja kita.
Sekian.