Thursday, February 26, 2009

Celaka..... ?

Orang Melayu terperanjat, khususnya ahli-ahli Pemuda UMNO apabila ada orang yang berani dan angkuh mengungkapkan frasa 'celaka ' kepada Pemuda UMNO. Sebenarnya, frasa celaka itu boleh dilihat sebagai kesinambungan kebiadapan orang itu terhadap ketuanan Melayu. Bagaimanapun, sebagai orang yang waras, tentu sahaja mencari punca dan faktor yang membolehkan orang itu berani biadap.

Jawapan yang boleh diberikan kepada persoalan tersebut ialah kebodohan orang Melayu berpolitik. Hal ini kerana ramai orang Melayu hari ini berpolitik secara bodoh. Ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka tidak meletakkan kedudukan bangsa dan agamanya di kedudukan yang betul. Ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka sanggup berpatah arang dan berkerat rotan. Ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka gembira melihat bangsa mereka dipijak-pijak oleh kaum lain asalkan dendam kesumat dan keinginan nafsu mereka tertunai. Ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka sanggup menukar ketuanan Melayu kepada ketuanan Rakyat. Akhirnya, ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka tidak ada apa-apa kecuali mewujudkan keadaan dan suasana yang mengancam kedudukan dan ketuanan Melayu serta kedudukan agama Islam.

Sehubungan dengan ini, dalam usaha memberikan tekanan dan memperlihatkan keberanian orang Melayu dalam isu 'celaka' ini, eloklah pemimpim-pemimpin Melayu membetulkan diri masing-masing dan seterusnya membetulkan pengikut masing-masing. Matlamat pembetulan ini adalah untuk berpolitik tetapi pada masa yang sama apa-apa jua fahaman politik, politik itu tidak menghakis kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam di bumi tercinta.

Kesimpulannya, isu celaka, isu mencabar kontrak sosial, isu menyaman Seri Paduka Sultan Perak, isu penggunaan Nama Allah, isu hak milik pajakan 999 tahun, isu mengkaji ekuti dan kuota Bumiputera dalam beberapa sektor dan lain-lain adalah kerana kebodohan orang Melayu berpolitik. Memang diakui ramai orang Melayu pandai berpolitik tetapi juga disedari lebih ramai orang Melayu yang bodoh berpolitik.

Celaka itu memang biadap tetapi lebih biadap lagi apabila orang Melayu sendiri yang memberikan ruang dan peluang untuk kebiadapan itu berlaku!

Saturday, February 21, 2009

Pemilihan Agung UMNO

Assalamualaikum....
Sekalung tahniah dan syabas kepada ahli-ahli UMNO yang telah mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding dalam pemilihan yang akan diadakan pada Mac ini. Bagi yang tidak mendapat pencalonan yang cukup, tak usah kecewa. Ini kerana jodoh pertemuan, ajal maut, rezeki dan tanah perkuburan sudah ditentukan oleh Allah S.W.T. Memang kita juga sudah ditakdirkan boleh berusaha, jadi kita berusahalah dengan betul. Tetapi apabila sampai masanya kita tak berjaya seperti usaha yang dilakukan, itulah takdirnya. Berlapang dadalah kita.

Mereka yang bertanding, jagalah maruah diri. Berkempenlah secara berhemah. Apa yang lebih penting, dalam keghairahan berkempen, ingat Allah dan ingat parti kita. Kita berani lakukan yang salah, tunggulah azab Allah dan tunggulah rakyat menghukum kita.

Bertanding ini adalah sistem yang kita pilih. Pertandingan ini adalah sistem Barat. Sistem ini boleh membawa kegembiraan dan boleh membawa bencana. Ini pilihan kita. Jadi jika sudah memilih pertandingan sebagai satu sistem, usahlah buat yang bukan-bukan kerana takut kalah. Berilah peluang UMNO mempunyai kepimpinan yang baik.

Mereka yang menjadi perwakilan, pilihlah yang terbaik untuk UMNO. Usah membujur lalu, melintang patah. Tentunya kita tak mahu UMNO patah. Ingat pesanan nenek moyang kita; Pilih-Pilih Tempat Mandi, pertama telok, kedua pantai. Pilih-Pilih tempat menjadi; pertama elok, kedua pandai. Pilihlah pemimpin yang elok dan pandai untuk UMNO, elok dan pandai untuk Malaysia serta elok dan pandai untuk semua rakyat Malaysia.

Kepada semua mereka yang bertanding dan menjadi perwakilan, ingatlah Allah S.W.T. memerhati kita. Ingatlah apa-apa yang dilakukan di persidangan itu tidak berakhir selepas tamatnya persidangan. Sebaliknya, semua itu akan dihimpun di padang Mahsyar. Di sana tak mampu melobi, tak mampu menyogok dan tak mampu berkata-kata retorik. Di sana ada kebahagian dan ada azab. Pilihlah yang terbaik. Buatlah sehabis betul dan benar. Kita hidup tidak menongkat langit. Jadi ingatlah...! Ingat sebelum kena...! sebelum kena azab Allah S.W.T., sebelum rakyat menghukum UMNO. Allah S.W.T. maha adil. Ahli biasa UMNO dan rakyat sudah pandai.

Dalam keadaan Melayu kini sanggup berpatah arang arang dan berkerat rotan, semua pemimpin dan perwakilan di persidangan UMNO Mac ini mesti bermuhasabah diri. Jangan gah menyanyikan lagu UMNO tapi akhirnya menjadi pengkhianat UMNO dan bangsa Melayu.

Selamat Bertanding! Selamat Menjadi Perwakilan!

Sekian.

Thursday, February 5, 2009

Lu Cilok Gua, Gua Cilok Lu......Perak Oh Perak !

Suasana dikatakan tidak menentu di Perak. Satu pihak mengatakan mereka telah memperoleh majoriti dan layak menjadi kerajaan di Perak. Sementara itu, pada satu pihak lagi mengatakan perlu pulangkan pada rakyat untuk tentukan siapa layak jadi kerajaan di Perak.

Tanggal 8 Mac 2008 lalu, kita dapati BN telah bersaing dengan PAS, PKR dan DAP dalam pilihanraya. Keputusan pilihanraya itu menunjukkan bahawa UMNO / BN mendapat 28 kerusi, DAP 18 kerusi,PAS 5 kerusi dan PKR 8 kerusi (Kalau tak silap bilangan ini). Berdasarkan keputusan ini, UMNO /BN layak menjadi kerajaan tetapi oleh sebab angka kerusi parti yang bersaing dengan UMNO/BN boleh mengatasi kerusi UMNO/BN, mereka bergabung secara tiba-tiba. Dengan itu, UMNO/BN pun gagal menjadi kerajaan angkara perbuatan parti pembangkang yang sebelum pilihanraya tidak pernah menyatakan hasrat bersekutu telah bersekutu selepas pilihanraya. Jadi UMNO/BN telah dicilok di Perak dek tindakan membujur lalu, melintang patah parti-parti yang bersaing dengan UMNO/BN itu. Isunya, adakah jika sebelum pilihanraya, parti-parti pembangkang bersekutu dan bertanding atas nama Pakatan Rakyat, mereka boleh mendapat kerusi majoriti di Perak?

Oleh itu, kini tiba masanya UMNO /BN cilok PAS,PKR dan DAP pulak dengan keputusan membujur lalu, melintang patah juga. Alasannya, mudah, iaitu UMNO/BN memang memenangi kerusi majoriti di Perak dalam PRU 12 akan mencari jalan untuk menubuhkan kerajaan. Jadi, cerita yang sama juga UMNO/BN lakukan (walau dikatakan telah memancing wakil rakyat PAS, PKR dan DAP)untuk memastikan kerusi majoriti yang diperolehnya itu tidak disia-siakan.

Jadi apabila tiba situasi begini berlaku, tak payahlah susah-susah nak adakan pilihanraya negeri kerana sudah memang ada pihak yang mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan di Perak.

Kesimpulannya, sejarah pasti berulang kembali tetapi hanya peristiwa sejarah itu dan tarikhnya sahaja yang berbeza. Setidak-tidaknya, Perak Oh Perak! sejarah Lu Cilok Gua, Gua Cilok Lu telah berulang di Perak tidak sampai setahun.

Wednesday, February 4, 2009

Lompat... Lompat !

Lompat...., apek lompat! Lompat, lompat!
Itulah lirik dalam salah satu lagu hasil nukilan Seniman Agung P. Ramlee. Bagaimanapun, pada hari ini, memang kita dapat melihat situasi orang yang mempunyai pangkat dan gelaran melompat. Kalau dalam cerita P. Ramlee itu, apek yang melompat adalah untuk membantu dan menyelamat, iaitu menjahit kepala tuan cik Siti yang telah dipancung. Jadi adakah hari ini jika orang yang bergelar dan berpangkat melompat untuk membantu dan menyelamat?

Hairan juga apabila cerita lompat-melompat ini pada satu ketika dikatakan sebagai satu tindakan bijak oleh seorang yang dikatakan tokoh oleh penyokongnya. Malah orang yang dikatakan tokoh ini juga tanpa segan silu memjelaskan bahawa kumpulan yang ditinggalkan oleh orang yang melompat itu sebagai pokok yang hampir mati. Sebaliknya, apabila gengnya melompat dikatakan sebagai pengkhianat pulak. Jadi orang yang dikatakan tokoh ini juga melompat-lompat pegangan dan idealoginya. Malah terasa bagai nak mati pulak berikutan gengnya melompat.

Jadi, lompat...., apek lompat....! aiya...! lompat.........!lompat! aiya!