Friday, July 8, 2011

Jom Solat Hajat!

Assalamualaikum w.b.r. dan salam 1Malaysia,

Konflik yang melibatkan masyarakat, khususnya umat Melayu di negara kita semakin tak keruan sehingga kita keliru yang mana satu benar dan yang mana satu yang salah. Keadaan ini tentu sahaja menggugat martabat, kedudukan dan keharmonian negara, umat Melayu dan agama Islam di negara tercinta ini. Lantaran konflik yang berlaku dan dilihat tiada usaha bersama yang mahu menyelesaikannya dengan jalan yang baik, sudah sampai masanya kita umat Melayu yang beragama Islam kembalikan semua konflik yang ada kepada Allah S.W.T. Lantaran itu, tanpa prejudis kepada sesiapa, marilah kita umat Melayu yang beragama Islam kembali kepada Allah S.W.T. dengan kita melakukan solat hajat. Marilah kita pohon kepada Allah S.W.T. agar memberikan petunjuk dan menyelesaikan segala permasalahan dan konflik ini demi martabat, keharmonian, perpaduan dan kemakmuran negara, umat Melayu dan agama Islam di negara tercinta ini.

Marilah kita dirikan solat hajat dan bermunajat kepada Allah S.W.T. Usahlah dan tidak perlulah kita dirikan solat hajat beramai-ramai di jalanraya. Dirikan solat hajat ini di rumah masing-masing dan bersama-sama ahli keluarga kita sendiri. Tak perlu kita heboh-heboh solat hajat ini. Yang penting solat hajat ini adalah permohonan ikhlas kita kepada Allah S.W.T. demi negara, umat Melayu dan agama Islam agar tidak terggugat, terancam dan terhakis di negara tercinta ini.

Yakinlah Allah S.W.T. maha mengetahui dan maha adil kepada semua.

Sekian.