Friday, January 15, 2010

Jangan Ulang Kebodohan Manusia Kali Kedua- Satu Renungan

Apabila Allah S.W.T. menawarkan jawatan khalifah di muka bumi, semua makhluknya tidak sanggup menerima. Bagaimanapun tawaran tersebut telah dikejar oleh manusia dengan kesanggupan menjadi khalifah di dunia. Lantaran itu, manusia pun dijadikan khalifah di muka dunia.....

Sejarah tersebut menunjukkan bahawa manusia yang mengejar jawatan khalifah di dunia telah menyebabkan timbulnya pelbagai konflik. Malah ada kalangan manusia tidak dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Begitu juga tidak kurang tersasar daripada maksud jawatan tersebut.

Hakikat ini masih terus berlaku pada kehidupan manusia. Manusia sentiasa mengejar jawatan sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja. Sedangkan, apabila jawatan itu dikejar, manusia akan berhadapan dengan pelbagai konflik sehingga menyebabkan kegagalan dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan sempurna.

Imbas kembali akan kaedah pelantikan rasulullah. Rasulullah S.A.W. dilantik oleh Allah S.W.T. tanpa ada kejar-mengejar.Lantaran itu, semua rasul Allah telah dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan baik walaupun adanya pelbagai rintangan.

Begitu juga dengan pelantikan Khalifah Abu Bakar, Umar al Khattab, Uthman Affan dan Saidina Ali yang telah berjalan atas keikhlasan dan kejujuran tanpa ada persaingan dan kejar-mengejar akan jawatan tersebut. Lantaran itu, mereka telah berjaya sebagai pemimpin yang berkesan. Mereka yang mengejar jawatan pada Uthman dan Ali pula telah menghadapi pelbagai konflik dan mengganggu tugas melaksanakan tanggungjawab dan amanah.

Hakikat ini mesti difahami dengan rapi dalam memperoleh jawatan dalam politik dan kerajaan. Usah kita mengejar jawatan kerana pada setiap jawatan itu ada suatu amanah yang besar. Usaha mengejar jawatan bermakna kita mengulangi kebodohan manusia kali kedua. Kebodohan itu akan membawa kecelakaan pada diri di dunia atau akhirat kerana jawatan yang diperoleh daripada suatu kejar- mengejar dan perebutan rakus akan menyebabkan kegagalan dalam menunaikan amanah yang besar.

Wallahu'alam.