Saturday, December 3, 2011

Calon Orang Muda... Apakah Panduannya?

Assalamualaikum w.b.r.

Tahinah kepada UMNO atas kejayaan Perhimpunan Agong UMNO yang telah berlangsung dengan jayanya... Alhamdulillah!

Dalam perhimpunan tersebut, Ketua Pemuda UMNO telah meminta pucuk pimpinan melihat-lihat calon pilihanraya dalam kalangan PEMUDA UMNO. Tahniah diucapkan kerana beliau jujur dalam mengemukakan permohonan dan permohonan itu juga tidak ada apa-apa yang salah. Bagaimanapun, sejarah pelantikan Muhammad S.A.W. sebagai rasul boleh dijadikan panduan dan ikhtibar.

Hakikatnya, sebelum Adam A.S. dicipta, nama Muhammad S.A.W. telah pun tertulis di Luh Mahfuz. Muhammad S.A.W. akan menjadi manusia agong di muka bumi. Namun begitu, apabila Muhammad S.A.W. dilahirkan ke dunia dan membesar, Muhammad S.A.W. tidak terus dilantik sebagai rasul. Sebaliknya, Muhammad S.A.W. melalui pelbagai pengalaman hidup. Muhammad S.A.W. melalui pengalaman sebagai penggembala kambing, peniaga, menyelesaikan konflik masyarakat, ketua mentadbir rumah tangga dan sebagainya. Malah, sikap dan akhlak Muhammad S.A.W. juga menjadikan Muhammad S.A.W. amat dihormati dan disegani oleh masyarakat sama ada pemimpin atau orang biasa. Namun begitu, Muhammad S.A.W. hanya dilantik oleh Allah S.W.T. sebagai rasul-Nya pada usia 40 tahun. Kalau menurut fikiran kita, dengan kredibaliti Muhammad S.A.W., baginda telah boleh dilantik sebagai rasul pada usia lebih muda daripada 40 tahun. Sebaliknya, Allah S.W.T. maha mengetahui dan maha bijaksana dalam melantik makhluknya yang agong itu pada usia 40 tahun sebagai rasul-Nya. Begitu juga dengan nabi Nuh A.S. Baginda telah hidup selama 1000 tahun. Semasa baginda dilantik menjadi rasul, baginda berusia 450 tahun.

Kedua-dua peristiwa ini singnifikan untuk kita mencari panduan dan ikhtibar dalam memilih calon-calon pilihanraya nanti, khususnya dalam kalangan orang muda.

Sebenarnya, UMNO ada beberapa pengalaman yang sedih dan tragis berhubung pemimpin yang telah dilantik dalam usia muda dan sebelum mereka itu berusia 40 tahun lagi. Ramai pemimpin yang dilantik sebelum berusia 40 tahun itu telah mencetuskan dan terlibat dengan pelbagai isu pada akhirnya. Isu yang dicetuskan oleh pemimpin yang dilantik ketika sebelum berusia 40 tahun itu, kadang-kala telah membawa konflik pada UMNO dan kerajaan. Akhirnya, pemimpin itu juga tidak ke mana-mana. Malah, ada kalangan mereka terpinggir dan dipandang sinis oleh masyarakat. Oleh itu, ambillah iktibar akan pengalaman ini dan pentingnya faktor umur tersebut. Pujangga juga ada menyebutkan bahawa kehidupan bermula usia 40 tahun .

Sebaliknya, orang muda yang belum berusia 40 tahun dan mempunyai bakat kepimpinan, elok menimba pengalaman dalam pelbagai bidang kehidupan seperti agama, persatuan, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Bukan bermakna orang muda tidak diiktiraf tetapi pengalaman dan pengetahuan yang mesti dicari dan ditimba pada usia sebelum berusia 40tahun itu amat berguna untuk menjadikan mereka sebagai pemimpin yang benar-benar matang dan berwibawa.

Pun begitu, pemimpin yang telah dilantik sebelum mereka berusia 40 tahun lagi, teruskanlah perjuangan. Namun begitu, ambillah pengalaman lalu sebagai ikhtibar. Memang sejarah itu berulang kembali tetapi andai diri sentiasa berhati-hati dan ingat pada Allah S.W.T., alam terbentang dijadikan guru, sekali mendongak ke langit memandang bintang, rumput di bumi tidak dilupakan, insya-Allah selamat di dunia dan akhirat.

Sekian dan terima kasih.

Sunday, November 27, 2011

UMNO di cawangan dan kampung?

Assalamualaikum WBR.
Nampaknya situasi sekarang lebih berpihak kepada UMNO. Hal ini berlaku berikutan tindakan dan dasar yang dilaksanakan oleh Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Malah, tindakan dan prinsip yang dikemukakan oleh kedua-dua pemimpin ini disokong oleh pemimpin UMNO dan dapat difahami oleh sebilangan besar rakyat.

Namun begitu, perlu juga diberikan perhatian tentang aktiviti dan program atas nama UMNO (termasuk WANITA, PEMUDA dan PUTERI)di cawangan, kampung dan kawasan pertempatan. Pada pemerhatian saya, didapati sebilangan besar UMNO di cawangan, kampung dan kawasan pertempatan lesu dengan sebarang aktiviti dan program. Pemimpin UMNO di peringkat ini hanya senyap, lesu dan tidak terkehadapan selepas mendapat jawatan dalam pemilihan lalu. Percayalah, banyak UMNO di peringkat ini tidak mengadakan mesyuarat jawatankuasa secara berkala. Kalau ada mesyuarat apabila sudah hampir dengan tarikh mesyuarat agong yang telah ditetapkan. Berikutan hal sebegini, ahli-ahli UMNO tidak dapat dididik menghayati prinsip-prinsip perjuangan UMNO menerusai aktiviti dan program. Justeru kesetiaan pada parti seperti yang dilaung-laungkan oleh Presiden UMNO tidaklah berlaku secara konkrit di peringkat ini.

Oleh hal demikian, Persidangan UMNO yang akan berlangsung pada minggu hadapan mesti membincangkan transformasi aktiviti dan program UMNO di cawangan, kampung dan kawasan pertempatan. Mungkin satu perancangan strategik mesti dirangka oleh pemimpin UMNO Pusat dan Perhubungan Negeri bagi menggerakkan UMNO di peringkat cawangan, kampung dan kawasan pertempatan. Malah, UMNO mesti menetapkan tarikh mesyuarat UMNO cawangan dan minitnya mesti dihantar ke UMNO Bahagian, Perhubungan Negeri dan Pusat. Kaedah ini akan membolehkan UMNO Bahagian, Perhubungan Negeri dan Pusat boleh menilai tahap-tahap UMNO di peringkat tersebut dan merangka pelan kontigensi bagi membantu UMNO di peringkat tersebut apabila agak kurang menyerlah atau aktif.

Hal yang dibincangkan ini penting supaya UMNO tidak gah hanya di peringkat atas, sedangkan di peringkat cawangan, kampung dan kawasan pertempatan sebenarnya lesu dan tidak terasa kewujudannya. Secara relatifnya, keyakinan masyarakat pada UMNO pada hari ini sebenarnya hasil usaha UMNO Pusat menerusi dasar dan prinsip yang dikemukakan oleh Presiden, Timbalan Presiden dan beberapa orang pemimpin UMNO yang lain. Bagaimanapun, dasar dan prinsip yang dikemukakan itu juga adalah keputusan kerajaan. Keadaan ini tidak cukup sebagai usaha mengukuhkan kesetiaan masyarakat pada UMNO. Oleh itu, sebelum sejarah PRU 12 berulang kembali, Persidangan UMNO pada minggu hadapan mesti menilai kekuatan UMNO di peringkat cawangan, kampung dan kawasan pertempatan.

Sekian dan terima kasih.

Sekian dan terima kasih.

Tuesday, October 18, 2011

PPSMI Timbu Lagi!

Assalamulaikum wbr.
Baru-baru ini ada kumpulan yang meminta diadakan refrendum berhubung PPSMI. Ada juga yang mengatakan bahawa ramai ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan. Pun begitu, semua pihak mesti berlapang dada untuk menerima keputusan kerajaan, iaitu menukar semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Malah, perlu disedari bahawa kerajaan tidak sesekali menidakkan kepentingan bahasa Inggeris. Justeru kerajaan telah memperkenalkan dasar MBMMBI. Dasar MBMMBI ini memberikan kepuasan kepada kedua-dua kumpulan sama ada kumpulan yang memperjuangkan martabat bahasa Melayu sambil mengakui pentingnya bahasa Inggeris dan kumpulan yang meyakini bahasa Inggeris sambil mengiyakan bahasa Melayu sebagai khazanah nenek moyang.

Usahlah kita berbalah berhubung PPSMI. Marilah semua pihak di Malaysia menjunjung bahasa Melayu dan mengejar bahasa Inggeris. Jangan pula yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran!

"Bahasa Melayu DiJunjung, Bahasa Inggeris DiKejar"
Sekian.

Thursday, September 8, 2011

Meh belajar sejarah!

Beberapa hari ini sibuk dengan laporan polis berhubung kenyataan seorang ahli politik, iaitu Mat Sabu yang telah mengatakan bahawa polis di Balai Polis Bukit Kepong yang mati atas kekejaman komunis adalah pengkhianat. Sebaliknya, beliau mengangkat Mat Indera dan komunis adalah pejuang kerana beliau beranggapan bahawa Mat Indera dan komunis itu menyerang polis yang bekerja dengan penjajah Inggeris.

Meh kita belajar sejarah:

Selepas Inggeris menduduki Tanah Melayu daripada pihak Jepun, Inggeris telah mengenepikan Bintang Tiga, iaitu suatu agensi komunis. Akibatnya, komunis melancarkan serangan ke atas Inggeris di Tanah Melayu. Dalam pada itu, Inggeris ingin menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946 pula tetapi mendapat bantahan besar-besaran daripada orang Melayu. Bantahan ini kerana Inggeris ingin meletakkan Tanah Melayu di bawah Ratu dan kerajaan Inggeris. Sebelum ini, Inggeris masih mengekalkan ketuanan dan raja-raja Melayu walaupun menduduki Tanah Melayu. Berikutan bantahan orang Melayu itu, Inggeris telah membubarkan rancangan Malayan Union dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dengan mengekalkan ketuanan dan raja-raja Melayu seperti asal. Hal ini bermakna Inggeris hanya memainkan peranan dalam pentadbiran sahaja tanpa menggugat ketuanan dan raja-raja Melayu. Oleh itu, polis di Balai Polis Bukit Kepong itu adalah polis bagi orang dan raja-raja Melayu. Ini terbukti daripada tulisan yang tertera pada topi mereka, iaitu PLOIS DIRAJA dan bukannya Royal British Police.

Sehubungan dengan ini, anggota polis di Balai Polis Bukit Kepong yang berhadapan dengan komunis adalah sebagai melaksanakan tanggungjawab mereka mempertahankan orang-orang dan raja-raja Melayu yang menjadi tuan punya Tanah Melayu dan bukannya Inggeris yang hanya sebagai pentadbir sahaja. Oleh hal demikian, serangan komunis di Balai Bukit Kepong itu adalah serangan penjenayah kepada orang yang mempunyai hak.

Berdasarkan huraian pada aspek sejarah pemerintahan dan pentadbiran di Tanah Melayu ini, jelas bahawa anggota polis yang berhadapan dengan komunis di Balai Bukit Kepong itu adalah pejuang dan komunis itu ialah pengkhianat. Prinsip daripada daripada sejarah seperti Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu 1948 mahupun Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan negeri Melayu Tidak Bersekutu mampu memberikan kefahaman jitu berhubung label kumpulan mana sebagai pejuang dan kumpulan mana pula sebagai pengkhianat.

Ingat bahawa walau Inggeris menduduki Tanah Melayu tetapi Inggeris tidak pernah mencabut ketuanan dan kedaulatan raja-raja Melayu. Malah, ciri-ciri ini dibawa dan kekal sehingga penubuhan Persektuan Tanah Melayu 1957 dan Persekutuan Malaysia 1963. Ini juga dapat kita buktikan dengan sebutan Malaysia berdasarkan linguistik-fonetik, iaitu jika dibunyikan dengan fonologi Inggeris akan berbunyi Melayzier. Jangan pula sudah faham akan maksud Malaysia berdasarkan linguistik-fonetik ini, kita berpolemik. Sebaliknya, kefahaman ini memudahkan semua pihak memahami sejarah tanah air tercinta ini, sama-sama menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta sama-sama pula hidup dengan harga-menghargai. Malah, semua pihak terjamin hak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Semoga penerangan prinsip sejarah yang dihuraikan secara mudah ini dapat memberikan kefahaman kepada Mat Sabu dan rakyat yang lain.

Insya-Allah nanti akan dijelaskan berhubung Tuah dan Jebat, khususnya berhubung isu siapakah penderhaka?

Justeru saya menasihati diri sendiri dan kenalan blogger supaya menghayati pesan datuk dan nenek tercinta, iaitu "kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa" dan "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya ".

Sekian.

Friday, September 2, 2011

Kenyataan Psikologi Terbalik!

Assalamualaikum wbr.
Tertawa sendiri apabila terbaca kenyataan yang mengatakan bahawa UMNO akan berakhir sekira tidak melakukan perubahan sebelum pilihanraya. Kenyataan ini sebenarnya suatu kenyataan untuk melindungi kenyataan bodoh yang pernah dikatakan oleh mereka sendiri. Untuk itu, suatu strategi ialah melakukan suatu kenyataan yang boleh menggugah pendirian orang awam. Ini merupakan suatu strategi psikologi terbalik. Hakikatnya, sekira ingin tahu UMNO di penghujung atau sebaliknya, tunggu sahaja keputusan pilihanraya.

Sebenarnya, UMNO juga boleh melakukan strategi terbalik bagi memerangi kenyataan yang mengatakan UMNO telah di penghujung, iaitu dengan PM mengatakan pilihanraya sudah dekat. Kenyataan pilihanraya sudah dekat pasti menjadi kumpulan tersebut kelam-kabut kerana isu kebangsaan mereka belum selesai seperti yang ada di kes mahkamah, isu gereja, isu mengagongkan komunis dan sebagainya.

Justeru UMNO hendaklah menyusun gerak kerja yang extra mild dan go beyond dengan menggerakkan semua anggota untuk mendekati rakyat jelata. Anggota di cawangan mestilah diperkasakan. Ketua UMNO, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda yang masih lembab, anggota bahagian mesti segera "take over". Sebaiknya, tanamkan can do mentality pada semua kumpulan task force UMNO. Tidak lupa, UMNO mesti mendidik dan bergerak dalam sepasukan. Ini sahaja strategi terbaik untuk UMNO menghadapi pilihanraya.

Ayuh, perkasakan UMNO demi agama, bangsa dan negara tercita!

Sekian. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Monday, August 1, 2011

Ahlan Wa Salan Ramadan

Assalamualaikum wbr.

01 Ogos 2011, kita menyambut bulan Ramadan, iaitu bulan yang penuh berkat. Semoga keberkatan bulan Ramadan ini dapat kita gunakan untuk kebaikan diri dan ummah. Lantaran itu, diperbanyakkan ibadat kerana ganjarannya berlipat kali ganda. Usahlah diperbanyakkan mengumpat, memfitnah dan berbohong, kelak diri sendiri juga yang akan rugi. Ingatlah bahawa "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".
Selamat Berpuasa kepada semua pengunjung.

Sekian dan terima kasih

Friday, July 8, 2011

Jom Solat Hajat!

Assalamualaikum w.b.r. dan salam 1Malaysia,

Konflik yang melibatkan masyarakat, khususnya umat Melayu di negara kita semakin tak keruan sehingga kita keliru yang mana satu benar dan yang mana satu yang salah. Keadaan ini tentu sahaja menggugat martabat, kedudukan dan keharmonian negara, umat Melayu dan agama Islam di negara tercinta ini. Lantaran konflik yang berlaku dan dilihat tiada usaha bersama yang mahu menyelesaikannya dengan jalan yang baik, sudah sampai masanya kita umat Melayu yang beragama Islam kembalikan semua konflik yang ada kepada Allah S.W.T. Lantaran itu, tanpa prejudis kepada sesiapa, marilah kita umat Melayu yang beragama Islam kembali kepada Allah S.W.T. dengan kita melakukan solat hajat. Marilah kita pohon kepada Allah S.W.T. agar memberikan petunjuk dan menyelesaikan segala permasalahan dan konflik ini demi martabat, keharmonian, perpaduan dan kemakmuran negara, umat Melayu dan agama Islam di negara tercinta ini.

Marilah kita dirikan solat hajat dan bermunajat kepada Allah S.W.T. Usahlah dan tidak perlulah kita dirikan solat hajat beramai-ramai di jalanraya. Dirikan solat hajat ini di rumah masing-masing dan bersama-sama ahli keluarga kita sendiri. Tak perlu kita heboh-heboh solat hajat ini. Yang penting solat hajat ini adalah permohonan ikhlas kita kepada Allah S.W.T. demi negara, umat Melayu dan agama Islam agar tidak terggugat, terancam dan terhakis di negara tercinta ini.

Yakinlah Allah S.W.T. maha mengetahui dan maha adil kepada semua.

Sekian.

Monday, June 20, 2011

Perhimpunan BERSIH 2.0-Rasionalnya!!??%%

Assalamualaikum wbr. dan Salam 1Malaysia.

9 Julai dikatakan akan digerakkan suatu perhimpunan raksasa oleh BERSIH 2.0. Berikutan itu ada pihak yang menyokong dan ada pihak yang menentang. Masing-amsing dengan rasional masing-masing. Ya, terima sahaja semua rasional mereka yang berbeza-beza tetapi ada suatu rasional yang semua pihak mesti dan boleh terima.

Satu rasional yang semua pihak boleh terima ialah perhimpunan itu mampu menggugat ekonomi di kawasan tersebut sama ada para peniaga , pemandu teksi dan lain-lain. Berikutan itu, semua rakyat Malaysia mesti menolak perhimpunan BERSIH 2.0 ini kerana perhimpunan ini akan mengecewakan mereka yang berharap untuk mendapat rezeki pada hari tersebut. Kekecewaan itu bukan sahaja kepada individu tersebut tetapi membawa kepada anak-anak mereka yang masih kecil yang mengharapkan bapa atau ibunya mereka memperoleh rezeki untuk mereka.

Mari fikirkan bahawa rakyat Malaysia berjumlah 29 juta. Adakah kita memperoleh sokongan solid untuk menghalalkan perhimpunan BERSIH 2.0 ini? Jika tidak, hendaklah pemuka-pemuka perhimpunan BERSIH 2.0 mengerti bahawa usaha mereka mesti melalui jalan lain, iaitu menerusi proses mahkamah. Pemuka-pmeuka BERSIH 2.0 mesti adil dan bersih hati kepada pihak lain yang terdiri daripada kelompok yang tidak menyokong usaha mereka, pihak yang hanya melihat dan mendengar sekeliling, pihak yang berusaha mencari rezekei untuk hidup tanpa mahu pening kepala dengan isu oleh BERSIH 2.0 dan lain-lain. Sebenarnya, banyak kelompok yang perlu menjadi pertimbangan pemuka-pemuka BERSIH 2.0. Jumlah sokongan yang walaupun mencapai angka 1 juta orang, tidak bermakna sokongan atas usaha itu adalah sokongan solid. Oleh itu, jangan pula mendabik dada.

Berilah pihak polis dan pasukan keselamatan peluang memastikan keamanan dan keharmonian di Malaysia ini. Jangan mereka di tempelak kerana apabila berlaku huru-hara, pada mereka juga harapan kita semua.

Marilah semua rakyat Malaysia sedar bahawa di Malaysia inilah kita memiliki kekayaan, kebebasan walaupun dikatakan tak bebas dan keharmonian. Usahlah sudah terantuk, baru hendak terngadah.

Rakyat biasa perlu sedar, bahawa apabila berlaku huru-hara, para pemuka yang dijunjung tetap akan selamat kerana mereka mampu lari ke luar negara untuk mendapat perlindungan dan kehidupan baharu. Sebaliknya, rakyat biasa yang terpengaruh akan terus menderita di dalam negara yang huru-hara. Lihatlah contoh seperti di negara-negara luar sana. Pemimpin yang menjana pergolakan tetap hidup mewah di luar negara tetapi rakyat menderita berterus-terusan!

Sekian dan terima kasih.

Friday, May 6, 2011

Kristian Sebagai Agama Rasmi?

Assalamulaikum w.b.r.

Saya sempat membaca berita Terkini menerusi Utusan Online bertarikh 7/5/2011 dan berita itu dicatatkan masanya pada pukul 2.52pm berkaitan ada usaha untuk menjadikan kristian sebagai agama Rasmi di negara ini. Berikutan itu, Dato Hishamuddin telah melahirkan rasa terkejut dan sedih.

Memang patut seluruh rakyat di negara ini berasa sedih kerana usaha tersebut semata-mata mengundang perbalahan sesama rakyat yang telah sekian lama hidup dalam keadaan harmoni dan selamat. Sepatutnya, rakyat berbilang bangsa hendaklah mencontohi mendiang Ong Kim Koon yang tiada buruk sangka dengan orang lain yang berlainan kaum dan agama. Mendiang sanggup membantu pasangan Melayu yang parah kemalangan tetapi akhirnya dia sendiri yang meninggal dunia akibat dirempuh oleh sebuah kenderaan lain. Inilah lambang rakyat yang memahami erti hidup harmoni di negara yang tercinta.

Apakah usaha yang dilakukan oleh segelintir rakyat untuk menjadikan kristian sebagai agama Rasmi di negara ini patut dan apa yang hendak dicari lagi? Usaha mereka ini tidak melihat sedikit pun erti hidup harmoni dan selamat. Sedangkan kehidupan harmoni dan selamat itu adalah harapan semua rakyat di negara ini.

Usaha segelintir rakyat ini sebenarnya bertitik tolak pada ketidakfahaman terhadap sejarah berkaitan asas pembinaan negara dan bangsa Malaysia. Misalan yang mudah ialah Kristian menjadi agama Rasmi di England kerana sejarah asas pembinaan negara dan bangsa England itu adalah daripada tradisi bangsa dan budaya kerajaan dan bangsanya yang beragama kristian. Begitulah halnya dengan negara-negara lain seperti Arab, Thailand, India, China dan lain-lain. Di negara tersebut, agama rasmi mahupun bahasanya dan budaya adalah berasaskan tradisi dan budaya yang mengakari pembinaan negara dan bangsa tersebut.

Oleh itu, sekira benar ada usaha telah dilakukan bagi menjadikan kristian sebagai agama Rasmi negara ini, usaha itu adalah berasaskan kedangkalan pemahaman terhadap pensejarahan pembinaan negara dan bangsa Malaysia. Usaha ini sebenarnya bukan mahu melihat negara dan rakyat melangkah maju tetapi usaha ini sebenarnya mahu melihat negara dan rakyat menderita. Sedangkan apa yang dikehendaki termasuk aspek agama Rasmi telahpun diselesaikan dengan baik oleh kepemimpinan dahulu termasuk pegawai-pegawai dalam kalangan penjajah Inggeris. Jelas di sini, penjajah Inggeris lebih memahami sejarah asas pembinaan negara dan bangsa Malaysia berbanding sebilangan rakyat Malaysia sendiri.

Apa-apapun, semua rakyat yang cinta akan keharmonian dan negara ini bertenang dan meninggalkan isu ini ditangani oleh kerajaan. Percayalah kerajaan bijak dan adil kepada semua rakyat berbilang bangsa, agama dan keturunan di negara ini.

Sekian.

Sunday, February 27, 2011

Calon-Calon ADUN Merlimau ialah ....!

Assalamualaikum w.b.r.

Saya belum sempat menjengah-jengah ke Merlimau bagi melihat secara dekat bagaimana orang Merlimau menghadapi PRK DUN Merlimau. Sebaliknya, rakan-rakan saya dari Dr. yang membuat survey telahpun turun ke Merlimau dan sempat juga saya bertemu dengan mereka. Tapi saya dengar ada yang merajuk hati kerana dikatakan namanya tak dicalonkan. Saya tak tahu, sama ada benar atau salah berita yang didengar daripada rakan-rakan.

Saya hanya ingin menasihati bahawa rezeki kita adalah ditentukan oleh Allah S.W.T. Oleh itu, jangan sebab tak dapat sesuatu, kita berasa amat sedih sehingga membawa diri sebagai manifestasi merajuk hati. Percayalah bahawa sekira sesuatu yang diharapkan tidak dapat, itu bukan rezeki kita tetapi sebenarnya kita telah diberikan banyak rezeki lain. Jadi yang tak dapat itu, janganlah diheboh-hebohkan sangat. Sebaliknya, banyak sudah yang lain kita telah dapat tapi kita senyap sahaja dan tak diheboh-hebohkan. Marilah bersikap adil dengan kurniaan Allah S.W.T.

Allahyarham Datuk Haji Dolah Atan bekas ADUN Rim dulu lagi hebat dugaannya. Nama beliau telahpun diumumkan oleh pucuk pimpinan sebagai calon ADUN Rim untuk penggal kedua dalam PRU. Tiba-tiba namanya digantikan dengan nama lain. Saudara-maranya begitu marah. Sebaliknya, beliau tampil menasihati saudaranya supaya menerima ketentuan Allah S.W.T. bahawa rezeki beliau hanya setakat itu sahaja. Beliau sendiri telah keluar berkempen untuk calon yang menggantikannya. Hebatnya perwatakan yang bernama Dolah Bin Atan yang pernah menjadi Setiausaha Agong UMNO bahagian Jasin selama lebih daripada 20 tahun tetapi hanya menjadi wakil rakyat biasa dan hanya sepenggal cuma.

Pengajarannya, tak usahlah di Merlimau ini ada yang merajuk hati kerana nama tidak diumumkan sebagai calon kerana nama kita bukan telah diumumkan sebagai calon dan kemudiannya diganti. Sedarlah bahawa hakikatnya ialah nama kita hanya dalam senarai pencarian dan pemilihan calon sahaja.

Saya yakin semua nama dalam senarai calon sudah matang dalam politik. Jadi saya turut yakin nama yang tidak dicalon tidak merajuk seperti yang diberitakan. Sebaliknya, nama yang tidak dicalon gagah untuk berkempen demi kejayaan calon yang diumumkan, iaitu rakan seperjuangan dalam parti.

Apa-apapun, Selamat mengundi pemilih-pemilih di DUN Merlimau!

Sekian dan terima kasih.

Friday, February 4, 2011

Dahku cakap !

Assalamualaikum w.b.r.
Dulu sudah saya cakap bahawa setiap cawangan UMNO mesti berani melaksanakan sesuatu aktiviti atau program di kawasan masing-masing supaya masyarakat mengerti bahawa aktiviti atau program yang berlangsung itu adalah atas inisiatif UMNO. Sebaliknya, banyak program dan aktiviti yang dilaksanakan atas nama JKKK, Lembaga Masjid atau Gerakan 4B, Persatuan Kendarat dan lain-lain. Nama UMNO amat ditakuti untuk diselitkan dalam penganjuran aktiviti atau program. Sedangkan semua badan itu dikepalai oleh UMNO atau Pengerusi UMNO sendiri adalah juga pengerusi badan-badan tersebut. UMNO disedari hanya apabila tiba masa pemilihan atau dekat pilihanraya. Selepas pemilihan atau plihanraya, nama UMNO lenyap.

Kalau setiap aktiviti atau program yang dilaksanakan ada nama UMNO diselitkan di samping nama badan-badan lain, sudah tentu nama UMNO dan perjuangan UMNO sentiasa difahami dan dihayati. Oleh itu, tak perlu adanya usaha seperti orang terdesak bagi mempromosi UMNO apabila tibanya pilihanraya.

Sebenarnya, jawatankuasa UMNO di cawangan atau bahagian mesti lebih ikhlas dan jujur dengan UMNO. UMNO perlu sentiasa bersemarak pada setiap masa. Barulah proses mendoktrinisasi UMNO pada masyarakat dan generasi muda berjalan dengan berkesan dan cekap. Oleh itu, dahku cakap dudlu lagi ini perlu diberikan perhatian. Janganlah apabila hampir tiba pilihanraya, UMNO yang menunjangi kepimpinan negara seperti orang terdesak melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi mempromosi UMNO.

Percayalah proses doktrinisasi tidak boleh berjalan dalam kadar segera atau cepat.

Sekian dan terima kasih.

Monday, January 31, 2011

Merlimau Oh Merlimau

Takziah diucapkan kepada balu dan ahli keluarga Allayarham Datuk Hidhir.
Berikutan pulangnya Datuk Hidhir ke ramahtullah, bermakna akan berlaku pilihanraya kecil di DUN Merlimau. Pelbagai andaian berkaitan dengan calon dalam PRK DUN Merlimau dalam kalangan ahli UMNO di Bahagian Jasin.

Apa-apapun sesiapa yang berminat bolehlah melobi sebagai usaha masing-masing tetapi jangan sesekali memburuk atau memfitnah orang lain. Kalau tak melobi tentulah pemimpin tertinggi tak kenal. Bagaimanapun, sesiapa yang hendak mempromosi diri kenalah ukur badan di baju sendiri.

Pasal lobi-melobi ini bolehlah sahaja seperti disebutkan di atas tetapi selepas pemimpin tertinggi membuat keputusan, yang tak berjaya mesti menerima calon yang dipilih dan usaha melobi mesti dihentikan segera. Sebaliknya, setiap orang mesti seiringan menjayakan misi memenangi PRK DUN Merlimau itu untuk UMNO atau BN.

Sekira hal di atas dapat dihayati, di situlah akan terserlahnya kebijaksanaan dan kematangan berpolitik.

Usah cah keting, usah tikam belakang baaaannnngggg!