Tuesday, June 23, 2009

Semoga Tak Bacul

Assalamualaikum.

Lebih dua minggu, heboh dengan kerajaan perpaduan, iaitu satu idea atau gagasan yang dicetuskan oleh presiden PAS. Di sisi UMNO, presidennya mengatakan bahawa tidak ada masalah dengan idea kerajaan perpaduan itu. Malah UMNO menantikan idea itu diajak oleh PAS untuk dibincangkan bersama.

Malangnya, idea yang begitu baik telah terhapus apabila idea kerajaan perpaduan itu dibincangkan antara ketua-ketua parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat. Lantaran keluarlah kenyataan yang menolak idea kerajaan perpaduan. Orang yang mencetuskan idea kerajaan perpaduan itu pun memberikan alasan bahawa UMNO melihat kerajaan perpaduan itu hanya pakatan antara UMNO dan PAS sedang di sisi dia atau PAS mahukan kerajaan perpaduan itu melibatkan semua parti dalam Pakatan Rakyat. Isunya sekarang, adakah PAS sudah berbincang dengan UMNO tentang kerajaan perpaduan?


Nabi S.A.W. pernah berdoa agar umatnya tidak dihapus atau dimusnahkan disebabkan banjir besar dan kemarau. Doa ini dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Nabi S.A.W. juga berdoa lagi agar umatnya tidak dihapus atau dimusnahkan disebabkan perpecahan tetapi doa nabi S.A.W. ini tidak dimakbulkan oleh Allah S.W.T.


Berdasarkan doa nabi S.A.W. ini, tidak sepatutnya orang yang bergelar alim dan warak menolak kerajaan perpaduan, apatah lagi idea itu adalah cetusan fikirannya sendiri. Hal ini kerana perpaduan itu mempunyai makna yang besar di sisi agama Islam. Wajarkah atas alasan nasihat kawan-kawan yang mempunyai sentimen dan prejudis diambil kira dalam membuat keputusan menolak idea kerajaan perpaduan itu? Tidakkah dan sepatutnya apa-apa sahaja yang menjurus kepada perpaduan mesti disokong dan dijayakan?

Jelas bahawa penolakan idea kerajaan perpaduan itu bukan berdasarkan ilmu, sunnah dan ajaran agama Islam. Semoga penolakan idea yang begitu baik dan amat bermakna di sisi agama Islam tidak menjadikan orang yang mencetuskan idea itu tergolong sebagai seorang hamba yang bacul.

Sekian.

Tuesday, June 16, 2009

Lulus Bahasa Inggeris Untuk Layak Sijil SPM

Assalamualaikum... semoga pembaca yang mengikuti blog ini sentiasa dirahmati.

Baru-baru ini TPM telah melontarkan idea berkaitan Lulus Bahasa Inggeris Untuk Memperoleh Sijil SPM. Bagaimanapun, TPM telah mengajak seluruh rakyat memberikan pandangan berkaitan idea tersebut.

Pada awalnya suka saya sebutkan di sini bahawa saya pernah melontarkan idea demikian dalam tulisan saya. Pada masa itu alasan saya mudah sahaja, iaitu untuk memberikan satu momentum kepada murid-murid dan ibu bapa agar memberikan perhatian terhadap keupayaan berbahasa Inggeris. Tujuan saya melontar idea tersebut adalah bagi menyatakan cadangan saya sebagai alternatif untuk menghapuskan PPSMI.

Bagaimanapun, apabila saya teliti semula idea tersebut dan setelah berjumpa dengan rakan saya yang kebolehan berbahasa Inggerisnya lemah daripada saya tetapi mengajar bahasa Inggeris di suatu kawasan pedalaman, saya merasakan idea ini perlu dikaji dan diteliti sebelum sesuatu keputusan diambil.

Sekira guru-guru bahasa Inggeris yang berwibawa dapat dipenuhi di sekolah sama ada di bandar atau luar bandar, idea ini memang boleh dilaksanakan. Cuma pihak Jabatan, PPD dan Pentadbir Sekolah mesti memainkan peranan utama dalam memastikan guru-guru bahasa Inggeris tersebut memberikan komitmen pada tanggung jawab dan tugas.

Sekira guru-guru bahasa Inggeris tidak dapat ditempatkan di semua sekolah seperti di luar bandar, idea ini mesti ditangguhkan. Hal ini disebabkan murid tersebut akan kehilangan sijil SPM yang amat penting setelah melalui sebelas tahun persekolahan. Jika ini berlaku, siapakah yang akan mengisi Kolej Komuniti yang didirikan di setiap kawasan Parlimen, siapakah yang akan memenuhi ILP dan Pusat Giat MARA andai kata murid yang kumpulan lemah ini tidak mempunyai sijil SPM atas sebab gagal bahasa Inggeris.

Idea ini tdak berbangkit di bandar secara relatifnya. Dengan keupayaan kerajaan menyediakan guru bahasa Inggeris di sekolah yang ada di bandar, idea ini tidak mendatangkan masalah besar. Kalaupun idea ini mesti dtukar ganti dengan wajib cemerlang dalam bahasa Melayu, idea ini tidak akan menimbulkan sebarang kesan besar kerana kedua-dua bahasa tersebut mudah dikuasai oleh murid-murid. Guru-guru untuk kedua-dua subjek ini juga mudah dipenuhi di bandar. Isunya sekarang bagaimana keadaan di luar bandar?

Percayalah pengaruh UMNO dan kerajaan BN di kawasan bandar telah pun merudum oleh beberapa faktor termasuk faktor PPSMI. Pengaruh UMNO dan kerajaan BN hanya tinggal tinggal di kawasan luar bandar sahaja. Jika idea ini tidak difikirkan semasak-masak dan dilaksanakan, kelak idea ini akan menjadi masalah pada anak-anak di luar bandar. Oleh itu akan wujud satu lagi beban yang tidak sepatutnya UMNO dan kerajaan BN tanggung. Nescaya pengaruh UMNO dan kerajaan BN di luar bandar akan turut tergugat seperti di bandar.

Pada saya kerajaan telah berbelanja besar untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris. Ada antara mereka yang telah dihantar dan ditanggung untuk belajar di luar negera. Malah mereka yang ada isteri dan anak-anak juga dikirim bersama-sama di bawah pembiayaan kerajaan. Oleh itu, kerajaan mesti tegas dalam menuntut daripada mereka sama ada komitmen, idea dan lain-lain bagi meningkatkan keupayaan berbahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid.

Mungkin kerajaan atau Kementerian Pelajaran Malaysia boleh mengumpulkan mereka dalam satu forum atau seminar bagi menjana model, pendekatan dan kaedah yang paling sesuai untuk pembelajaran bahasa Inggeris bagi anak-anak Malaysia, terutama di luar bandar. Mungkin model, pendekatan dan kaedah sekarang bukan sesuai kerana model, pendekatan dan kaedah tersebut adalah tiruan daripada Barat.

Memang diakui guru-guru bahasa Inggeris telah berusaha gigih. Cuma gesalah guru-guru bahasa Inggersi tersebut lagi untuk lebih proaktif, komited dan kreatif untuk menangani isu ini setelah mereka memperolehi segala-gala daripada kerajaan untuk bergelar sebagai seorang guru bahasa Inggeris lulusan luar negara. Malah mereka juga sekarang ini menikmati elaun kritikal sebagai seorang guru bahasa Inggeris. Jadi tidak salah kerajaan menuntut komitmen mereka kerana inilah juga peluang kepada mereka untuk melakukan jihad demi negara dan bangsa tercinta.

Sekira guru-guru bahasa Inggeris dapat melahirkan satu model, pendekatan dan kaedah tempatan yang sesuai dengan murid-murid di Malaysia ini, tak perlu syarat lulus tersebut. Insyaallah isu bahasa Inggersi ini boleh diatasi walaupun tidak seratus peratus tetapi lebih baik daripada sekarang pencapaiannya.

Kerajaan mesti berhati-hati. Jangan jadi pisang berbuah dua kali. Cukuplah PPSMI menjadi beban politik yang tak sepatut ditanggung. Jangan kerajaan tiada beban batu pula digalas. Usah lain sakit , lain pula dibebat .

Sekian.