Monday, December 28, 2009

Pinda Undang-Undang Tubuh

Assalamaualaikum...
Dengar khabar, Kelantan mahu meminda Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan apa-apa bangsa atau kaum boleh menjadi Menteri Besar asalkan beragama Islam. Maksud tersiratnya ialah jawatan Menteri Besar Kelantan bukan terhad pada orang Melayu. Tapi, kalau disemak Perlembagaan Malaysia, bukankah orang Melayu itu ialah beragama Islam? Jadi rasanya tak ada masalah dengan Undang-Undang Tubuh itu kot! Wallahua'lam...

Friday, December 25, 2009

Tahniah PM!

Semenjak Dato Seri memegang teraju kepeimpinan negara, nampaknya pihak lawan mula rasa resah. Dato Seri Najib telah merintis jalan ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat, membuka era baru dalam pembangunan ekonomi dan mental. Sehingga kini, nampaknya rakyat mula memahami Dato Seri Najib yang sedaya upaya membawa Malaysia ke hadapan.
Justeru tidak hairan ada pihak umpama cacing kepanasan lantas melontarkan fitnah bagi memburuk Dato Seri Najib. Semua itu, pernah dilakukan sebelum PRU 12 dulu. Tapi percayalah Dato Seri teruskan rentak kemajuan yang telah digarap, rakyat akan terus menyokong. Akhirnya, PRU 13 dalam genggaman semula.
Pun begitu, Dato Seri Najib, Menteri dan Timbalan Menteri mesti berani respons akan segala fitnah dan dakyah pihak yang menentang. Memang jangan dilayan gelagat mereka tetapi jangan pula senyap seribu bahasa. Senyap seribu bahasa itulah yang membawa BN/UMNO tewas di banyak kerusi semasa PRU 12 dahulu.


Tahniah Dato Seri.... teruskan perjuangan ! Teruskan keberanian membawa pembaharuan... Teruskan keberanian menegur Menteri dan Timbalan Menteri yang bercakaran.... Tersukan keberanian menerima pandangan dan cadangan rakyat dengan hati dan fikiran terbuka walaupun akhirnya pandangan dan cadangan itu tidak diterima.

Tahniah Dato Seri.... rakyat mula menerima dan menghormati kepimpinan Dato Seri.

Sunday, October 11, 2009

Isa Samad Menang.... Satu Pengajaran

Assalamualaikum.

Tulisan ini ditulis ketika keputusan rasmi pilihanraya kecil Bagan Pinang belum diumumkan. Jika benar seperti keputusan tidak rasmi bahawa Tan Sri Isa Samad menang dalam pilihanraya itu, UMNO /BN mesti mengambil ikhtibar. Ikhtibarnya, dalam pilihanraya UMNO / BN tidak boleh memilih calon yang disukai oleh kepimpinan sahaja. Sebaliknya, calon mesti dipilih daripada kalangan yang disukai oleh pengundi. Pengundi itu terdiri daripada ahli UMNO/BN dan juga mereka yang tidak menyertai mana-mana parti.

Mungkin ada orang itu dikatakan tidak lagi relevan tetapi jika pengundi masih mahukan, mestilah diikuti pengundi kerana mereka yang mengundi nanti.

Teruskan perjuangan demi bangsa, agama dan negara!

Saturday, October 3, 2009

Budi Di Bagan Pinang!

Assalamualaikum.


Bagan Pinang kini menjadi tumpuan. Dengar khabar heboh-leboh pasal penyokong parti tertentu menumbuk orang. Gerun dan serun rasanya!


Peristiwa penyokong parti menumbuk lawan ini membawa kita pada satu kenyataan, iaitu pernah ada kenyataan yang meminta demontrasi dibenarkan. Demontrasi diminta agar dibenarkan atas alasan rakyat Malaysia atau ahli parti masing-masing telah matang. Jadi, kalau benar matang, kenapa peristiwa semasa mengarak calon pilihanraya di Bagan Pinang adanya kisah tumbuk-menumbuk dan memaki hamun. Peristiwa di Bagan Pinang ini menunjukkan kita dengan jelas bahawa rakyat Malaysia belum matang dalam berpolitik atau berhimpun atas maksud demokrasi. Oleh itu, teruskanlah haramkan demontrasi.



Seperkara lagi, kenapalah teruk-teruk sangat sampai hilang budi pekerti, akal budi, budi bahasa dan budi bicara? Entah-entah orang yang menumbuk itu nanti tak kekal dengan partinya sekarang. Bukan tak biasa dengar ada ahli parti tertentu keluar dan masuk pula parti lain. Di Bagan Pinang pun ada ahli parti yang umumkan keluar parti? Bukankah baghal apabila memaki hamun, menghina dan menumbuk ahli parti lain tetapi suatu masa masuk pula dan berkawan baik dengan ahli parti yang dimaki hamun itu.


Kalau yang mengaku Islam kenalah jaga-jaga emosi sebab mati nanti tak ditanyapun parti apa yang diwakili atau siapakah presiden parti. Yang pasti akan ditanya ialah siapakah saudara kamu. Saudara kita semuanya orang Islam tak kira parti bang oii! Jadi jangan jadi baghal!



Selamat berkempen! Gunakan pertimbangan budi bahasa, budi pekerti, budi bicara dan akal budi semasa berkempen. Jangan menang di dunia, kalah teruk pula di akhirat.


Sekian.

Friday, September 4, 2009

UMNO Terengganu...Terengganu Kita !

Assalamualaikum.

Akhir-akhir ini sering kedengaran suara ahli dan pemimpin UMNO yang menyatakan hasrat untuk mengukuhkan UMNO. Justeru mesej dan matlamat ini mesti dipikul oleh semua ahli UMNO yang sayangkan UMNO atas perjuangan sucinya. Tapi terkebil-kebil mata dibuat apabila kedengaran ribut yang kejap kecil dan kejap besar di Terengganu. Pemimpin UMNO di Terengganu masih lagi bercakaran sesama sendiri. Habislah imej UMNO, rosaklah imej pemimpin UMNO yang melaung-laung suara kukuhkan UMNO kerana pemimpin UMNO di sana pun tak dengar kata...



Keributan dalam kalangan pemimpin UMNO Terengganu memang boleh menjadi duri dalam daging pada kekuatan UMNO di Terengganu dan di tempat lain. Oleh itu, pemimpin UMNO Terengganu yang bercakaran mesti sedar bahawa apa-apa yang dilakukan dan berlaku akan mencemar seluruh imej UMNO, lebih-lebih lagi dalam usaha mengukuhkan UMNO ini. Pemimpin UMNO Terengganu mesti berani membuat satu penyelesaian yang tuntas sekira ikhlas sayangkan UMNO dan sayangan perjuangan UMNO yang suci.



Keributan dalam kalangan UMNO Terengganu mudah diselesaikan. Pertama, MB Terengganu sekarang mesti bertanya-tanya, iaitu benar-benarkah diri dilantik dan direstui oleh kepimpinan UMNO tertinggi selepas pilihanraya 12 dahulu. MB Terengganu sekarang mesti bertanya-tanya diri, iaitu benarkah MB Terengganu sebelum pilihanraya 12 dahulu telah ditolak oleh pemimpin tertinggi UMNO dan rakyat Terengganu. MB Terengganu sekarang mesti bertanya-tanya diri, iaitu adakah wajar diri menggantikan MB Terengganu sebelum pilihanraya 12 setelah MB Terengganu sebelum pilihanraya 12 itu memimpin kemenangan UMNO/BN dalam pilihanraya 11 di Terengganu serta menumbangkan kerajaan PAS.


Inilah isu dan persoalan yang mesti dijawab dan diselesaikan secara tuntas. Isu dan persoalan ini memang satu Malaya tertanya-tanya. Sekira isu dan persoalan ini ada jawapan yang logik, biarlah MB Terengganu sekarang menerajui kerajaan. Sebaliknya, jika isu dan persoalan ini tiada jawapan yang logik, serahkanlah semula MB Terengganu pada MB Terengganu sebelum pilihanraya 12 itu. Serah-menyerah hendaklah dengan semangat UMNO kerana semua yang bertelagah ialah Terengganu kita !


Nasihat ahli UMNO biasa kepada semua pemimpin UMNO Terengganu dan di mana-mana mudah sahaja, iaitu Biarlah jawatan diperoleh tanpa dikejar. Apabila jawatan diperoleh dengan berkejar-kejar, setiap masa diri akan dikesal. Tiada untung diri dan rakyat kerana kepimpinan dihalang duri berjajar.
Eloklah pemimpin dipilih atas persefahaman supaya pemimpin tidak sentiasa menanggung demam. Nasi dikemam mudah ditelan. Akhirnya diri tak jatuh tersembam.

Besarlah harapan supaya pemimpin UMNO Terengganu menyelesaikan keributan yang berlaku sesegera yang boleh dan tuntas. Keributan UMNO Terengganu memang mengganggu usaha memperkasa UMNO di tempat lain. UMNO mesti nampak kukuh di mana-mana untuk mengambil kesempatan daripada perpecahan dalam PR yang mula berlaku satu demi satu.

Mana satu kumpulan yang boleh mengalah dan mengenepikan ego serta kepentingan diri demi cinta dan sayangkan UMNO, dialah pejuang UMNO. Sebaliknya, mana kumpulan yang berkeras dengan ego dan kehendak diri walaupun memang ada jalan penyelesaiannya yang rasional, dia ialah siapa? Jawapannya tanyalah Tan Sri TPM.

Moga berjaya..... Terengganu kita!

Sekian.
Ahli UMNO Biasa.

Saturday, August 1, 2009

ISA !!!!?????

Hari ini 01 Ogos 2009 berlaku lagi satu demontrasi jalanan yang pada awalnya direncanakan oleh puak GMI bagi memansuhkan ISA atau AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI. Kemudian, puak PERKASA telah memberikan respon dengan menganjurkan demontrasi juga tetapi bertujuan mempertahankan ISA. Oleh hal demikian, berlakulah suasana kelam kabut di ibu kota.
Apakah ISA? Sekira semua rakyat memahami sejarah negeri-negeri Melayu yang membentuk persekutuan Malaysia, tidak timbul soal memansuhkan ISA ini. Antara ciri negeri-negeri Melayu (yang dahulunya adalah negara Melayu yang merdeka) ialah Sultan berkuasa mutlak. Kuasa mutlak sultan ini adalah untuk memastikan suasana dalam negerinya aman dan harmoni. Lantaran itu, sekira ada puak yang didapati merencana, mencanang atau menggerakkan tindakan yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negeri, sultan dengan segera akan mengarahkan mereka itu ditangkap dan dihukum.
Hakikat kuasa mutlak sultan ini terjelma pada ISA apabila wujudnya persekutuan Malaysia. Apabila Malaysia mengamalkan Raja berpelembagaan, kuasa mutlak sultan ini dijelmakan dalam Akta ISA. Tujuannya sama sahaja, iaiatu kerajaan menggunakan kuasa yang ada semata-mata untuk menahan mereka yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.
Memang diakui ISA telah memperlihatakan kerajaan menahan ramai orang. Tetapi fikirkan dengan hati yang terbuka tentang siapakah yang telah ditahan? Mereka yang ditahan hanya mereka yang merangsang ketidakharmonian dalam kalangan rakyat jelata sehingga mencabar kedaulatan negara. Jika ditanya siapa mereka? Jawabnya ada pemimpin pembangkang, ada pemimpin parti kerajaan, ada pengganas yang datang dari negara luar, ada pemimpin ajaran sesat dan lain-lain. Jadi ISA tidak pernah terkena pada rakyat atau sesiapa sahaja yang tidak terlibat mencabar kedaulatan negara atau keharmonian negara.
Kesimpulannya, ISA ini adalah salah satu ciri warisan negeri-negeri Melayu yang membentuk ciri-ciri pembinaan negara dan bangsa Malaysia. Malah, Singapura pun masih mengekalkan ciri-ciri ini walaupun telah keluar daripada Malaysia.
Sehubungan dengan ini, usahlah terpedaya dengan mereka yang gelojoh dan buta sejarah. Hakikatnya, sama ada ISA perlu dimansuh, disemak atau dikekalkan bergantung kepada Raja-Raja Melayu kerana ISA bersabit dengan kuasa mutlak baginda, iaitu setelah baginda rela kuasa ini dipindahkan di bawah prinsip Raja Berpelembagaan.
Justeru berhubung dengan ISA ini usahlah tunjukkan pandai kita sahaja, sedangkan kita lebih banyak memandai-mandai.
Kalangan orang ramai yang sanggup beramai-ramai berdemontrasi bagi menyokong dakyah si anu-anu memansuhkan ISA hendaklah berhenti. Suruhlah si anu-anu itu berdebat di Parlimen. Bukankah kita sudah memberikan si anu-anu itu mandat dan kuasa menerusi pilihanraya. Jadi jika isu ISA ini pun mereka tak mampu kemukakan di parlimen dan terpaksa mengajak kita beramai-ramai untuk bersusah payah berdemontrasi di jalanan, apakah kualiti mereka sebagai wakil rakyat? Baik kita sahaja yang menjadi wakil rakyat dan si anu-anu ikut sahaja kita.
Sekian.

Tuesday, July 28, 2009

ulama....alamak!

Assalamulaikum. S
Kita semua terkedu apabila seorang yang dipanggil ulama menghamburkan kata-kata "Pergi Jahaman Dengan UMNO" . Sebenarnya kata-kata itu tidak menjadikan seseorang terkedu apabila orang yang bukan ulama menghamburkannya. Bagaimanapun, apabila ini berlaku, hal ini memberikan kita suatu kesedaran terhadap ulama.

Seorang ulama itu sentiasa bersifat lemah lembut kerana nabi Muhammad S.A.W. bersifat berlemah lembut walaupun dengan orang kafir dan musuhnya. Ulama itu juga seorang yang penyayang dan belas kasihan kerana Allah S.W.T. itu bersifat rahman dan rahim. Seorang ulama itu juga sentiasa membawa semua orang yang sesat ke jalan yang benar kerana dirinya menjunjung pada kebenaran. Ulama juga tak sibuk dengan parti dan puak tetapi sibuk menyatukan umat di bawah payung Islam mahupun negara.

Berdasarkan peristiwa yang sudah berlaku itu, benarkah orang yang berkata demikian seorang ulama? Mendengar kata-kata dan tindak tanduk orang yang berkata demikian akhir-akhir ini membuat kita menepuk dahi sambil berkata "alamaaaaaaaaaak!".

Lantaran itu, marilah kita bermuhasabah diri kerana takut-takut diri diuji dengan ujub yang lebih teruk daripada riak.

Sekian dan terima kasih.

Thursday, July 9, 2009

Syabas !

Assaamualaikum.
Sekalung syabas diucapkan kepada kerajaan, khususnya YAB Tan Sri Muhyididn Yasin atas keberanian membuat keputusan memansuhkan PPSMI. Memang ini dihajatkan oleh kebanyakan masyarakat, khususnya di luar bandar.

Sehubngan dengan pengumuman kerajaan berhubung pemansuhan PPSMI itu, ada juga yang tak gembira atas pelbagai alasan. Apa-apa pun alasan mereka yang tak gembira ini memang kita hormati tapi marilah tengok dahulu perkara yang sebenar berlaku di luar bandar berhubung PPSMI. Ramai yang menerima elaun kritikal PPSMI tapi melaksanakan P&P dalam BM. Di sekolah-sekolah luar bandar murid menjawab Sains dan Matematik dalam BM dan bukannya BI. Mari tengok peralatan PPSMI di sekolah-sekolah di luar bandar. Banyak lagi yang boleh dilihat di sekolah luar bandar oleh mereka yang tak gembira berhubung dengan pemansuhan PPSMI itu. Mungkin dengan melihat semua yang berkaitan PPSMI di sekolah luar bandar mungkin terjawab mengapakah cendiakawan, sarjana, sasterawan dan lain-lain mendesak agar PPSMI dimansuhkan.

Mereka yang tak gembira dengan pemansuhan PPSMI juga memberi alasan bahawa mengapakah kita tak boleh melatih guru Sains dan Matematik sedangkan kita boleh melatih guru BI. Kalau begini alasannya, kita boleh juga bertanya, iaitu mengapakah kita tak boleh melatih guru BI untuk menjadi guru Sains dan Matematik sahaja. Tentu jika ini dilakukan bolehlah permasalahan guru Sains dan Matematik tak boleh berbahasa Inggeris ditangani dengan berkesan.

Usahlah gundah dan kecewa dengan pemansuhan PPSMI ini kerana yang menentang PPSMI dan kerajaan tak pernah dan tak sesekali menidakkan penguasaan BI. Cuma kelemahan BI ini hendaklah ditangani dengan subjek BI. Itu sahaja! Malah segala usaha untuk meningkat penguasaan BI dalam kalangan rakyat Malaysia sentiasa disokong asalkan cara, pendekatan dan kaedah yang diambil itu betul.

Syabas kepada kerajaan kerana membuat keputusan yang terbaik untuk Malaysia!

Tuesday, June 23, 2009

Semoga Tak Bacul

Assalamualaikum.

Lebih dua minggu, heboh dengan kerajaan perpaduan, iaitu satu idea atau gagasan yang dicetuskan oleh presiden PAS. Di sisi UMNO, presidennya mengatakan bahawa tidak ada masalah dengan idea kerajaan perpaduan itu. Malah UMNO menantikan idea itu diajak oleh PAS untuk dibincangkan bersama.

Malangnya, idea yang begitu baik telah terhapus apabila idea kerajaan perpaduan itu dibincangkan antara ketua-ketua parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat. Lantaran keluarlah kenyataan yang menolak idea kerajaan perpaduan. Orang yang mencetuskan idea kerajaan perpaduan itu pun memberikan alasan bahawa UMNO melihat kerajaan perpaduan itu hanya pakatan antara UMNO dan PAS sedang di sisi dia atau PAS mahukan kerajaan perpaduan itu melibatkan semua parti dalam Pakatan Rakyat. Isunya sekarang, adakah PAS sudah berbincang dengan UMNO tentang kerajaan perpaduan?


Nabi S.A.W. pernah berdoa agar umatnya tidak dihapus atau dimusnahkan disebabkan banjir besar dan kemarau. Doa ini dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Nabi S.A.W. juga berdoa lagi agar umatnya tidak dihapus atau dimusnahkan disebabkan perpecahan tetapi doa nabi S.A.W. ini tidak dimakbulkan oleh Allah S.W.T.


Berdasarkan doa nabi S.A.W. ini, tidak sepatutnya orang yang bergelar alim dan warak menolak kerajaan perpaduan, apatah lagi idea itu adalah cetusan fikirannya sendiri. Hal ini kerana perpaduan itu mempunyai makna yang besar di sisi agama Islam. Wajarkah atas alasan nasihat kawan-kawan yang mempunyai sentimen dan prejudis diambil kira dalam membuat keputusan menolak idea kerajaan perpaduan itu? Tidakkah dan sepatutnya apa-apa sahaja yang menjurus kepada perpaduan mesti disokong dan dijayakan?

Jelas bahawa penolakan idea kerajaan perpaduan itu bukan berdasarkan ilmu, sunnah dan ajaran agama Islam. Semoga penolakan idea yang begitu baik dan amat bermakna di sisi agama Islam tidak menjadikan orang yang mencetuskan idea itu tergolong sebagai seorang hamba yang bacul.

Sekian.

Tuesday, June 16, 2009

Lulus Bahasa Inggeris Untuk Layak Sijil SPM

Assalamualaikum... semoga pembaca yang mengikuti blog ini sentiasa dirahmati.

Baru-baru ini TPM telah melontarkan idea berkaitan Lulus Bahasa Inggeris Untuk Memperoleh Sijil SPM. Bagaimanapun, TPM telah mengajak seluruh rakyat memberikan pandangan berkaitan idea tersebut.

Pada awalnya suka saya sebutkan di sini bahawa saya pernah melontarkan idea demikian dalam tulisan saya. Pada masa itu alasan saya mudah sahaja, iaitu untuk memberikan satu momentum kepada murid-murid dan ibu bapa agar memberikan perhatian terhadap keupayaan berbahasa Inggeris. Tujuan saya melontar idea tersebut adalah bagi menyatakan cadangan saya sebagai alternatif untuk menghapuskan PPSMI.

Bagaimanapun, apabila saya teliti semula idea tersebut dan setelah berjumpa dengan rakan saya yang kebolehan berbahasa Inggerisnya lemah daripada saya tetapi mengajar bahasa Inggeris di suatu kawasan pedalaman, saya merasakan idea ini perlu dikaji dan diteliti sebelum sesuatu keputusan diambil.

Sekira guru-guru bahasa Inggeris yang berwibawa dapat dipenuhi di sekolah sama ada di bandar atau luar bandar, idea ini memang boleh dilaksanakan. Cuma pihak Jabatan, PPD dan Pentadbir Sekolah mesti memainkan peranan utama dalam memastikan guru-guru bahasa Inggeris tersebut memberikan komitmen pada tanggung jawab dan tugas.

Sekira guru-guru bahasa Inggeris tidak dapat ditempatkan di semua sekolah seperti di luar bandar, idea ini mesti ditangguhkan. Hal ini disebabkan murid tersebut akan kehilangan sijil SPM yang amat penting setelah melalui sebelas tahun persekolahan. Jika ini berlaku, siapakah yang akan mengisi Kolej Komuniti yang didirikan di setiap kawasan Parlimen, siapakah yang akan memenuhi ILP dan Pusat Giat MARA andai kata murid yang kumpulan lemah ini tidak mempunyai sijil SPM atas sebab gagal bahasa Inggeris.

Idea ini tdak berbangkit di bandar secara relatifnya. Dengan keupayaan kerajaan menyediakan guru bahasa Inggeris di sekolah yang ada di bandar, idea ini tidak mendatangkan masalah besar. Kalaupun idea ini mesti dtukar ganti dengan wajib cemerlang dalam bahasa Melayu, idea ini tidak akan menimbulkan sebarang kesan besar kerana kedua-dua bahasa tersebut mudah dikuasai oleh murid-murid. Guru-guru untuk kedua-dua subjek ini juga mudah dipenuhi di bandar. Isunya sekarang bagaimana keadaan di luar bandar?

Percayalah pengaruh UMNO dan kerajaan BN di kawasan bandar telah pun merudum oleh beberapa faktor termasuk faktor PPSMI. Pengaruh UMNO dan kerajaan BN hanya tinggal tinggal di kawasan luar bandar sahaja. Jika idea ini tidak difikirkan semasak-masak dan dilaksanakan, kelak idea ini akan menjadi masalah pada anak-anak di luar bandar. Oleh itu akan wujud satu lagi beban yang tidak sepatutnya UMNO dan kerajaan BN tanggung. Nescaya pengaruh UMNO dan kerajaan BN di luar bandar akan turut tergugat seperti di bandar.

Pada saya kerajaan telah berbelanja besar untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris. Ada antara mereka yang telah dihantar dan ditanggung untuk belajar di luar negera. Malah mereka yang ada isteri dan anak-anak juga dikirim bersama-sama di bawah pembiayaan kerajaan. Oleh itu, kerajaan mesti tegas dalam menuntut daripada mereka sama ada komitmen, idea dan lain-lain bagi meningkatkan keupayaan berbahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid.

Mungkin kerajaan atau Kementerian Pelajaran Malaysia boleh mengumpulkan mereka dalam satu forum atau seminar bagi menjana model, pendekatan dan kaedah yang paling sesuai untuk pembelajaran bahasa Inggeris bagi anak-anak Malaysia, terutama di luar bandar. Mungkin model, pendekatan dan kaedah sekarang bukan sesuai kerana model, pendekatan dan kaedah tersebut adalah tiruan daripada Barat.

Memang diakui guru-guru bahasa Inggeris telah berusaha gigih. Cuma gesalah guru-guru bahasa Inggersi tersebut lagi untuk lebih proaktif, komited dan kreatif untuk menangani isu ini setelah mereka memperolehi segala-gala daripada kerajaan untuk bergelar sebagai seorang guru bahasa Inggeris lulusan luar negara. Malah mereka juga sekarang ini menikmati elaun kritikal sebagai seorang guru bahasa Inggeris. Jadi tidak salah kerajaan menuntut komitmen mereka kerana inilah juga peluang kepada mereka untuk melakukan jihad demi negara dan bangsa tercinta.

Sekira guru-guru bahasa Inggeris dapat melahirkan satu model, pendekatan dan kaedah tempatan yang sesuai dengan murid-murid di Malaysia ini, tak perlu syarat lulus tersebut. Insyaallah isu bahasa Inggersi ini boleh diatasi walaupun tidak seratus peratus tetapi lebih baik daripada sekarang pencapaiannya.

Kerajaan mesti berhati-hati. Jangan jadi pisang berbuah dua kali. Cukuplah PPSMI menjadi beban politik yang tak sepatut ditanggung. Jangan kerajaan tiada beban batu pula digalas. Usah lain sakit , lain pula dibebat .

Sekian.

Monday, May 25, 2009

Ujub dan Riak

Assalamualaikum...
Rasanya lama sudah tak menulis dan tidak respons akan perkembangan politik dalam negara. Nak respons pasal pilihan raya pun rasanya dah tidak menarik. Tup...Tup... Tup! teruja juga untuk menulis dalam blog ini kembali kerana ada kenyataan-kenyataan orang tertentu yang membuat diri terkebil-kebil sambil menggigit jari.
Kenyataan orang yang hendak direspons ini bukan calang-calang orangnya. Dia sungguh dihormati oleh khalayak ramai. Lantaran banyak kenyataannya dihormati dan diperakui oleh kawan dan lawan. Tapi itu dahulu. Kini kenyataannya banyak yang diragui. Kenyataannya kini tak lagi dirasai ikhlas dan jujur. Kenyataannya kini tak lagi dapat diterima akal kerana tak nampak dek akal budi berdasarkan ilmu yang benar. Jadi lain benar kenytaan orang itu akhir-akhir ini.
Pun begitu, pada hemat saya, dia tidaklah dilihat sebagai riak kerana masih bersifat lembut nada dan suaranya dalam berkata-kata. Begitu juga pakaiannya masih macam dahulu dan tak memperlihatkan kelainan. Tapi berdasarkan kenyataan-kenyataannya, dapat dirasai suatu kejanggalan. Kejanggalan itu seperti ada sifat ujub di hatinya.
Ujub ini memang sukar dilihat dek mata kasar atau didengar dek telinga. Jadi ujub ini lebih bahaya daripada riak kerana riak mudah perasan. Sebaliknya, ujub sukar untuk diperasan oleh orang lain atau diri orang itu sendiri. Nabi kata, ujub ini umpama batu hitam di tengah-tengah malam gelita. Jadi, apabila mati nanti barulah tahu diri itu ujub....
Mati nanti, tak ditanya pun siapa presiden parti kamu. Mati nanti tak ditanya pun apa parti kamu. Mati nanti tak ditanya pun apakah gelaran kamu. Jadi berhati-hati di penghujung usia, terutama pada usia hakikat dan makrifat. Hal ini kerana manusia semua diduga, tak kira yang bebal atau yang pandai. Manusia semua diuji, tak kira yang kaya atau yang miskin. Manusia semua diduga dan diuji iman dan takwanya, tak kira yang jahil dan jahat atau yang alim dan warak.
Jadi..... tuuuuuunnnnnnggggguuuuu!

Tuesday, May 12, 2009

Tabiklah !

Tabik pada mahkamah Tinggi yang telah memberikan keputusan berkaitan pertikaian jawatan Menteri Besar Perak. Tabik juga pada Datuk Seri Zambry kerana menghormati keputusan mahkamah tersebut. Tabik juga pada Datuk Seri Nizar kerana juga menghormati keputusan mahkamah rayuan berkaitan dengan keputusan hakim mahkamah tinggi tersebut.

Semoga budaya menghormati dan menerima keputusan hakim mahkamah akan terus subur dan kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia dalam apa-apa jua kes. Jangan apabila keputusan hakim mahkamah untung pada kita, kita kata satu keputusan yang adil dan sebagainya. Tapi apabila keputusan hakim mahkamah tidak untung pada kita, ditempelak dan kata serta tuduh macam-macam.

Pasti kita akan tunggu satu lagi keputusan hakim mahkamah bersabit kes Datuk Seri juga orangnya. Adakah keputusan hakim mahkamah itu akan dihormati atau ditempelak. Sama-sama kita tunggu reaksi dia dan kawan-kawan dia.

Thursday, April 16, 2009

Jangan biarkan seperti yang sudah-sudah

Assalamualaikum.

Sebenarnya perkara yang ingin ditulis ini sudah lama ingin disampaikan. Tapi masa itu tak pandai main blog lagi. Jadi apabila sudah pandai sikit-sikit, teringat nak tulis perkara yang dahulu itu. Jadi saya tulislah di bawah tajuk Jangan biarkan seperti yang sudah-sudah.

Yang sudah-sudah rakyat dengan mudah melihat menerusi kaca televisyen tentang beberapa Ahli Parlimen UMNO/ BN dengan bebas menghentam kementerian dan jabatan kerajaan yang mereka sendiri dukung. Perbuatan menghentam kementerian dan jabatan yang mereka sendiri dukung seolah-olah untuk menunjukkan ketelusan dan kebebasan. Sebaliknya, menerusi perbuatan menghentam kementerian dan jabatan kerajaan secara terbuka dan meluas itu membolehkan rakyat mengetahui dan melihat banyak kesalahan dan kelemahan kerajaan. Contoh yang masih diingati ialah isu kastam diraja dan isu AP. Tanpa disedari, perbuatan menghentam kementerian dan jabatan kerajaan itu oleh ahli parlimen kerajaan secara perlahan-lahan telah :
a. menjauhkan rakyat pada kerajaan,
b. memberikan satu contoh terbaik pada pembangkang untuk membantai kerajaan cukup-cukup.

Pada hemat saya, ahli parlimen kerajaan hendaklah menyatakan rasa tidak puas hati masing-masing pada Perdana Menteri secara terus dan bukannya main suka dan di mana-mana sahaja. Mungkin pada satu aspek ia dilihat amat baik kerana bebas. Tapi apa kesannya daripada kebebasan tersebut. Adakah dengan memberikan maklumat atau menyatakan rasa tidak puas hati terus kepada Perdana Menteri itu bukan juga satu kebebasan?

Seharusnya ahli parlimen kerajaan hendaklah selektif dalam menyampaikan rasa tak puas hati masing-masing. Dalam mana-mana komunikasi pun, ada perkara yang boleh dibincang secara terbuka tapi ada perkara yang mesti dibincang secara tertutup. Pada pihak pembangkang memanglah semua perkara akan dibuka seluas-luasnya.

Sekarang apa sudah jadi? Rakyat meluat dengan kerajaan? Buktinya, tsunami PRU 12 dan kalah 3-1 dalam empat pilihanraya kecil. Apakah pula tindakan yang boleh dilakukan oleh ahli parlimen kerajaan yang dahulunya menghentam kementerian dan jabatan kerajaan yang mereka sendiri dukung?

Satu sahaja pesanan, iaitu PM baru jangan biarkan seperti yang sudah-sudah. Nasihatkan mereka agar terus sampaikan segala rasa tak puas hati kepada PM dan TPM.

Untuk konteks secara terbuka, lebih elok ahli parlimen kerajaan mengambil tindakan menyatakan pandangan dan cadangan tentang kaedah, cara dan pendekatan yang terbaik untuk menteri dan pegawai-pegawai kerajaan jayakan peruntukan atau rancangan kerajaan sehingga penduduk di kawasan yang diwakili mendapat manfaat. Tanyalah menteri dan kementerian tentang cara peruntukan yang ada disalurkan. Jika peruntukan tak sampai ke kawasan masing-masing, sarankan kaedah terbaik pada menteri dan kementerian.

Kerajaan yang ada, ahli parlimen kerajaanlah orang di barisan hadapan yang akan menjaganya. Tapi kalau ahli parlimen kerajaan pun dah macam pembangkang, sudah patutlah kerajaan menghadapi tsunami PRU 12 itu.

Wednesday, April 8, 2009

Keputusan Pilihanraya & Hati Perasaan

Assalamualaikum.

Keputusan pilihanraya Bukit Selambau dan Bukit Gantang sudahpun diumumkan. Kepada yang menang sekalung tahniah dan yang kalah terimalah keputusan rakyat itu sebagai suatu pengajaran. Begitu juga diucapkan jutaan tahniah kepada kerajaan kerana telah menyokong pemilihan secara berhemah, adil dan saksama. Jika ada yang mengatakan kerajaan tidak adil dalam pilihanraya, inilah buktinya keadilan kerajaan BN dalam pilihanraya.

Apa-apapun, apabila BN kalah dalam pilihanraya di Bukit Selambau dan Bukit Gantang mengundang pelbagai andaian. Kadang kala andaian itu berdasarkan data kaji selidik. Sejauh mana kebenarannya, Allah S.W.T. sahaja yang maha mengetahui.

Saya telah memberikan suatu andaian berkaitan peluang BN/UMNO dalam pilihanraya. Andaian saya ini juga telah dikemukakan dalam blog ini lama dulu. Pada saya, isu PPSMI dan PTK adalah isu yang merobek peluang BN/UMNO untuk menang dalam pilihanraya. Hal ini jelas apabila keadaan BN/UMNO tidak kukuh dengan nisbah kekuatan 55%-60% ( BN/UMNO) dan 45%-40% ( Pembangkang), BN/UMNO kalah kerana isu PPSMI dan PTK ini. Jika isu PPSMI dan PTK ini menyumbang sebanyak 5 % sebagai faktor menolak BN/UMNO, peluang BN/UMNO dalam mana-mana pilihanraya akan tipis kerana faktor-faktor local yang hanya 3-5% sahaja sebagai faktor menolak BN/UMNO akan meningkatkan undian pembangkang.

Dua faktor, iaitu PPSMI dan PTK sebenarnya dua faktor yang menyeluruh dan bersangkutan dengan hati dan perasaan. Justeru kerajaan yang dipimpin oleh PM baru ini mesti segera menangani dua isu atau faktor ini. Penat blok kerajaan berkempen dan menunjukkan komitmen bagi membantu rakyat tetapi hati dan perasaan rakyat berkaitan dua faktor ini dengan mudah menidakkan usaha kerajaan itu. Lihatlah keadaan di Kuala Terengganu dahulu. Dua faktor ini secara senyap menyokong faktor local dalam memusnahkan harapan BN/UMNO dalam pilihanraya.

Dua faktor ini jugalah menjadi pegangan pengundi atas pagar. Oleh itu, apabila dua faktor ini menjadi isu hati dan perasaan pengundi atas pagar, pengundi yang tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap BN/UMNO lebih mudah menunjukkan ketidakpuasan hati dengan mengundi pembangkang.

PM baru harus mengambil keputusan tegas berkaitan dua faktor ini. Malah PM baru juga harus konsisten dan tegas dalam membuat apa-apapun keputusan kerajaan. Dengan memperlihatkan ketegasan, kerajaan yang dipimpin akan dilihat sebagai sebuah kerajaan yang ampuh / firm. Tentu sahaja ini akan menarik keyakinan rakyat, terutama rakyat yang tidak menganggotai mana-mana parti.

Tahniah kepada Y.A.B. Dato Seri Mohd Najib atas pelantikan sebagai PM Malaysia. Dato Seri dilihat sebagai tempat orang Melayu dan rakyat sandarkan harapan. Jangan musnahkan peluang ini. Inilah aset Dato Seri untuk mengangkat semula martabat UMNO, BN, dan kerajaan. Semoga maju jaya.

Sekian.

Tuesday, April 7, 2009

Cikgu Boleh Pegang Jawatan Politik

Assalamualaikum.

Baru-baru ini, iaitu dalam Perhimpunan Agung UMNO, Y.B. Menteri Pelajaran Malaysia telah melontarkan idea agar golongan cikgu / guru boleh memegang jawatan politik atau aktif dalam politik. Pada dasarnya, saya mengucapkan terima kasih atas cadangan tersebut kerana mengokhtiraf peranan guru. Sebenarnya, cadangan ini telah lama saya bawa dalam persidangan UMNO cawangan, iaitu sejak 1999 lagi. Tapi siapa mahu mendengar cadangan ini kerana ia lahir daripada ahli UMNO yang biasa.

Namun begitu, pada hari ini dan melihat keadaan politik di negara ini yang agak berbeza dengan tahun-tahun sebelum 2004, amat baik cadangan untuk membenarkan guru aktif dan memegang jawatan politik tidak diterima. Hal ini kerana politik di negara kita telah memperlihatkan dua institusi politik yang besar, iaiatu BN dan PR. Oleh hal demikian, jika cadangan ini diterima, tentu perbahasan politik juga besar di sekolah-sekolah.

Selain itu, politik pada hari juga telah memperlihatkan orang politik sanggup mencabar kedudukan dan martabat sultan dan ketetapan perlembagaan. Justeru jika guru-guru dibenarkan aktif dan memegang jawatan dalam parti, tentu semua ini juga akan menjadi isu dalam perbahasan di bilik guru atau di sekolah. Bayangkan keadaan yang akan dan boleh berlaku pada guru, murid dan sekolah apabila isu-isu dalam kontrak sosial menjadi perbahasan hangat dalam kalangan guru. Tentu sahaja keadaan yang tidak kondusif pada persekitaran sekolah.

Memandangkan dua keadaan tersebut, saya tidak bersetuju guru dibenarkan memegang jawatan dalam politik dan aktif dalam politik. Hal ini kerana apabila hati guru sentiasa panas, tentu sahaja kesan negatif akan diterima oleh murid-murid. Keadaan ini tidak membawa apa-apa manfaat kepada modal insan yang sedang dibentuk di bilik darjah.

Bagaimanapun, guru-guru boleh diberikan tempat dan ruang yang lebih luas dalam JKKK dan Lembaga Masjid. Menerusi dua institusi ini, peranan guru sebagai agen perubahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan baik.

Sekian.

Monday, April 6, 2009

TADIKA UMNO

Assalamualaikum.
Baru-baru ini terfikir akan perkara yang rasanya tak penting. Bagaimanapun, selepas diamati-amati perkara tersebut, akhirnya saya fikir perkara tersebut penting. Perkara penting yang dimaksudkan ialah TADIKA UMNO.

Memang pusat didikan dan bimbingan di negara ini agak banyak. Apabila dicampur dengan pusat asuhan swasta, lagilah banyak jumlahnya. Isteri kepada Y.A.B. Perdana Menteri kita juga nampak aktif dalam program permata negara, iaitu salah satu program pendidikan asas anak-anak kecil.

Melihat akan keadaan ini, tertanya di hati kecil, iaitu kenapa UMNO tidak mempunyai TADIKA UMNO?

Jika ada TADIKA UMNO, bolehlah aspek pendidikan agama Islam yang menurut ajaran Islam sebenar-benarnya ditanam pada diri anak kecil kita. Justeru dengan cara ini, UMNO dapatlah melawan dakyah songsang yang bertopengkan Islam. Dengan ini juga UMNO dapat membantu membanteras gejala sosial dalam kalangan anak muda nanti.

Jika ada TADIKA UMNO, bolehlah UMNO memperkenalkan pejuang-pejuang UMNO dan bagaimana pejuangan UMNO dalam memerdekakan negara dan memajukan Melayu. Dengan cara ini, dapatlah jiwa anak-anak kecil ini ditanam dengan pemahaman tentang perjuangan UMNO. Justeru dengan cara ini juga dapatlah UMNO menangani isu remaja atau anak orang UMNO tidak menyokong UMNO nanti.

Pentingnya TADIKA UMNO ini kerana perjuangan dan semangat UMNO tidak boleh ditanam dalam jiwa anak Melayu di bangku sekolah sama ada di Tadika Perpaduan, Tadika KEMAS, Prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah. Hal ini kerana semua guru di institusi itu adalah kaki tangan awam yang dilarang bercerita tentang politik dalam kelas. Oleh itu, cukuplah tadika Pepraduan dan Tadika KEMAS dalam menjadi saluran pendidikan formal untuk semua kaum.

Sebaliknya, isteri pak-pak menteri boleh membantu mewujudkan TADIKA UMNO. Dalam TADIKA UMNO diisikan denganpendidikan agama Islam dan sejarah perjuangan UMNO dan negara, di samping asas-asas ilmu pengetahuan yang lain.

Dengan adanya TADIKA UMNO ini, bolehlah kita melihat adakah ahli UMNO bersedia menghantar anak-anak kecil mereka. Kalau sanggup, berapakah jumlahnya? Ini boleh digunakan sebagai alat untuk melihat kejujuran ahli UMNO pada partinya sendiri.

Justeru UMNO mesti fikir TADIKA UMNO ini baik-baik.

Monday, March 23, 2009

UMNO Dulu dan UMNO Sekarang

Assalamualaikum...
Seminggu sebelum pemilihan UMNO heboh di sana-sini cerita pasal pemimpin ini dan pemimpin itu dilarang bertandinng dan didapati bersalah atas dakwaan terlibat secara langsung atau tidak dengan politik wang. Sekilas imbas, apabila disebut politik wang bermakna ahli UMNO kini telah kaya kerana banyak wang. Tentu semua itu adalah atas perjuangan UMNO yang tak henti-henti. Malangnya, kekayaan ahli UMNO kini telah disalah guna sehingga meletakkan UMNO, iaitu sebuah parti yang amat berjasa kepada agama Islam dan Melayu berada dalam lingkaran kehancuran. Oleh itu, elok kiranya ahli-ahli UMNO yang kini kaya-raya menerobos sejarah perjuangan ahli UMNO dulu-dulu, iaitu semasa awal-awal penubuhan UMNO.
Ikut cerita nenek saya, orang Melayu dahulu takut nak sertai UMNO kerana takut ditangkap oleh penjajah Inggeris. Jadi ada dua tiga orang di kampung yang berani mengadakan kempen dengan berjumpa orang-orang kampung agar menyertai UMNO. Nenek kata susahnya nak dapat ahli UMNO pada ketika itu kerana orang Melayu takut-takut. Selepas berjaya menubuhkan UMNO dan perjuangan UMNO diteruskan lagi selepas merdeka. Sebagai lambang kekuatan UMNO dan Melayu, UMNO ingin mendirikan Rumah UMNO. Hajat ini besar tetapi duit tak ada. Jadi ahli-ahli UMNO terpaksa mengadakan jerayawara menjual bunga popi untuk mengutip sumbangan. Sumbangan yang diperoleh dikumpul dan diserahkan kepada UMNO bulat-bulat sehinggalah Rumah UMNO dapat dibina.
Jelas daripada sejarah ringkas UMNO ini, kelihatan dua keadaan bertentangan antara ahli UMNO dulu dan kini. Ahli UMNO dulu-dulu cari duit untuk kukuhkan UMNO tetapi ahli UMNO kini (bukan semua ahli) pula banyak duit tapi dibuang dan ditabur sehingga meruntuhkan UMNO.
Ahli UMNO dulu-dulu hendak berhimpun sanggup bergadai dan berhutang demi dapat berhimpun dalam Konvension UMNO tetapi ahli UMNO kini (bukan semua ahli) bersungguh-sungguh ke Perhimpunan Agung UMNO sebab di sana nanti banyak dapat duit (kalau 24-28 Mac ini masih tak hiraukan tindakan dan amaran yang sudah diberi)
Justeru, sempena Perhimpunan Agung UMNO ini, marilah para perwakilan merenung sejarah UMNO dulu-dulu, sejarah UMNO mencari ahli semasa penjajahan Inggeris dan sejarah ahli UMNO menjual bunga popi. Kalau tak malu dengan ahli-ahli UMNO dulu, biarlah malu dengan diri sendiri apabila perjuangan UMNO yang suci itu hendak dinodai.
Selamat Bersidang !!!!
Sekian.

Monday, March 9, 2009

Pemilihan UMNO...Pesanan Ahli Biasa UMNO

Assalamualaikum...

Pemilihan UMNO akan berlangsung pada Mac 2009 ini. Calon-calon sudahpun mendapat nombor masing-masing. Cadangan agar calon diberikan kesempatan bertemu dengan perwakilan di atas satu pentas yang sama pun sudah berlaku. Jadi tahniah kepada perubahan ini.

Sekarang ini tanggungjawab perwakilan pula untuk menentukan pemimpin terbaik untuk UMNO dan bangsa Melayu. Sebenarnya, persidangan UMNO yang akan berlangsung adalah sebuah Majlis Tahkim. Justeru setiap perwakilan yang akan berada dalam majlis tahkim adalah golongan yang cerdik, berilmu, bijaksana dan jujur. Oleh itu, pemilihan yang akan dibuat oleh perwakilan adalah berdasarkan kecerdikan, ilmu, kebijaksanaan dan kejujuran. Inilah taraf perwakilan dan pemilihan itu. Berdasarkan taraf ini, tentunya UMNO akan dipimpin oleh pemimpin yang terbaik. Lantaran itu nanti UMNO dan bangsa Melayu akan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Pemilihan oleh perwakilan yang berdasarkan ciri-ciri lain daripada kecerdikan, ilmu, kebijaksanaan dan kejujuran merupakan pengkhianatan kepada UMNO dan bangsa Melayu. Hal ini kerana UMNO akan mendapat pemimpin yang tiada kualiti. Justeru sebagai perwakilan, iaitu orang yang terbaik dari aspek kecerdikan, keilmuan kebijaksanaan dan kejujuran, tentu sahaja takut membuat pilihan yang salah. Justeru, daripada sekarang hendaklah perwakilan mendirikan solat istikharah agar pemimpin yang dipilih untuk UMNO nanti adalah pemimpin yang baik untuk bangsa Melayu bagi hari ini dan hari esok serta baik untuk agama Islam pada hari ini dan akan datang. Perwakilan mesti ingat selalu bahawa bangsa Melayu hari ini sanggup berpatah arang dan berkerat rotan. Dengan ini, berilah ahli-ahli UMNO pemimpin yang terbaik untuk bangsa Melayu dan agama Islam.

Perwakilan yang akan mengundi bukan boleh suka-suka undi. Perwakilan akan bertanggungjawab pada ahli UMNO yang tak berkesempatan menjadi perwakilan walaupun ada kalangan mereka yang lebih layak menjadi ahli Majlis Tahkim itu. Oleh hal demikian, pengundian yang dibuat berdasarkan suka-suka atau sentimen, insyaallah akan bersoaljawab dan dituntut di padang Mahsyar kelak kerana perbuatan itu satu pengkhianatan amanah.

Dirikanlah istikharah dan mohonlah bimbingan serta petunjuk Allah S.W.T. dalam membuat pilihan tepat. Menerusi cara ini sahaja perwakilan dapat membuat pilihan tepat dan terlepas daripada mengkhianati amanah ahli-ahli UMNO yang tidak menjadi perwakilan, bangsa Melayu dan agama Islam.

Pesanan Ikhlas daripada saya ahli UMNO biasa. Selamat Bersidang dan Mengundi !

Sunday, March 8, 2009

PPSMI Lagi ... ! Mengapakah begini ?

Assalamualaikum......

Sabtu, 7 Mac 2009 telah berlaku demontrasi dalam kalangan mereka yang mahu memansuhkan PPSMI. Berikutan demontarsi itu, Perdana Menteri sendiri sedar bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia mesti membuat keputusan segera bagi menangani isu PPSMI ini. Ini mungkin satu signal yang positif daripada Perdana Menteri sendiri berkaitan isu PPSMI ini.

Apa-apapun, rakyat Malaysia harus bergerak atas landasan prinsip, iaitu demontrasi bukan budaya kita. Demontrasi bukan membawa kebaikan tetapi akan menimbulkan banyak masalah. Justeru dalam usaha memansuhkan PPSMI ini adalah lebih elok penggerak utama gerakan memansuhkan PPSMI ini menghadiri perhimpunan Agung UMNO sama ada di peringkat bahagian atau kebangsaan bagi meluahkan rasional pemansuhan PPSMI ini. Malangnya, berapa kerat sahaja penggerak tersebut yang hadir dalam persidangan UMNO itu bagi membahaskan isu PPSMI ini?

Kita sudah lihat gerakan secara berdemontrasi telah dieksploitasi oleh kumpulan tertentu untuk kepentingan sendiri. Hal ini telah membina kerumitan dalam perjuangan pemansuhan PPSMI ini. Apakah kita sanggup menerima kerumitan lain berhubung dengan isu PPSMI yang sebenarnya mudah diselesaikan menerusi jalan yang bijaksana? Justeru saya sendiri yang sacara peribadi tidak bersetuju dengan PPSMI tidak bersama-sama dengan demontrasi tersebut walaupun telah diundang oleh rakan dari K.L. Saya sebenarnya telah membawa isu PPSMI ini sejak 2003 dalam persidangan UMNO peringkat cawangan. Tetapi oleh sebab suara saya adalah suara ahli UMNO yang kecil, mungkin tak sampai pun ke peringkat bahagian, apatah lagi di peringkat kebangsaan. Itulah dilema ahli biasa UMNO , iaitu hal-hal yang tak membawa keuntungan kepada pemimpinnya walaupun disuarakan tetapi suara itu tak diberikan tempat untuk perbincangan. Sejak 2003 lagi telah disebutkan oleh saya dalam persidangan UMNO cawangan bahawa PPSMI ini hanya sebagai tiada beban, batu digalas sahaja. Lihat sahaja mereka yang mendapat insentif atau mereka yang seakan-akan menyokong PPSMI, mereka tidak ambil tahu akan undi UMNO dalam pilihanraya. Mereka tak pernah fikirpun tentang undi UMNO. Malah, undi UMNO bukan penting bagi mereka. Kalangan mereka yang mendapat keuntungan darpada PPSMI ini juga ada yang tak mengundi UMNO pun dan menjadikan PPSMI ini sebagai dakyah menghentam kerajaan.

PPSMI memang isu dan mungkin akan menjadi isu lebih besar lagi jika kerajaan masih terkial-kial dalam membuat keputusan. Kerajaan mesti mengeksploitasi keadaan yang telah berlaku ini. Apabila isu PPSMI ini disokong oleh pembangkang untuk dimansuhkan, kerajaan mempunyai kekuatan untuk memansuhkannya. Hal ini kerana pemansuhan PPSMI akan melepaskan kerajaan daripada isu. Pembangkang tidak boleh menghentam kerajaan apabila PPSMI dimansuhkan.

Kerajaan hendaklah segera memansuhkan PPSMI ini kerana PPSMI ini memang ditentang oleh majoriti rakyat Malaysia. Kebanyakan yang menentang PPSMI ini bukan ahli parti pembangkang dan ramai mereka adalah golongan atas pagar. Justeru kerajaan mesti mengambil kesempatan memansuhkan PPSMI ini agar golongan atas pagar ini khususnya untuk bersama-sama dengan kerajaan. Kerajaan mesti segera memansuhkan PPSMI ini sebelum golongan ini dieksploitasi oleh pembangkang.

Kerajaan boleh dengan mudah memansuhkan PPSMI ini kerana mereka yang menentang PPSMI ini tidak sesekali menafikan pengajaran bahasa Inggeris. Mereka hanya mahukan masalah penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda ditangani dengan subjek bahasa Inggeris. Jadi tiada isu yang akan timbul bersangkutan pengajaran bahasa Inggeris apabila PPSMI dimansuhkan. Jadi kalau masa belajar bahasa Inggeris tidak memadai, tambahkanlah lagi. Kalau tak lulus bahasa Melayu, tak layak mendapat sijil SPM, jadikanlah tak lulus bahasa Inggeris masih boleh terus belajar tetapi tak layak mengambil peperiksaan awam PMR atau SPM. Kaedah ini lebih menggerunkan murid-murid dan ibu bapa.

Dalam usaha mempertahankan PPSMI ini, pemimpin kerajaan janganlah membuat kenyataan yang bodoh dan mengelirukan. Misalnya, ada pemimpin kerajaan sama ada dia sedar atau tidak telah mengatakan bahawa PPSMI ini adalah untuk membolehkan generasi muda berupaya menghadapi cabaran dunia. Kalau kenytaaan ini benar dan betul, tentulah program seperti PPSMI ini dilaksanakan sejak merdeka lagi. Persoalannya, kenapa pemimpin dahulu menghapuskan sekolah aliran Inggeris? Sanggupkah kita menidakkan usaha pemimpin terdahulu itu dan mengatakan bahawa angkara merekaLah generasi Malaysia pada hari ini tidak ada upaya sehingga PPSMI mesti digubal? Kalau kenyataan pemimpin itu diterima, maknanya secara tidak sedar kita melihat pemimpin terdahulu yang menghapuskan sekolah aliran Inggeris sebagai pengkhianat bangsa dan negara. Adakah ini sanggup kita katakan? Jawapannya, tentulah tidak. Jadi pemimpin kerajaan pada hari ini harus berhati-hati dalam berhujah untuk menyokong PPSMI ini.

Kerajaan tidak perlu risau memansuhkan PPSMI ini kerana golongan yang akan menjadi barisan hadapan dalam Sains dan Matematik serta hebat berbahasa Inggeris telahpun kerajaan wujudkan mekanismenya, iaitu menerusi Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MARA). Jadi kerajaan usah bimbang tentang upaya negara dalam menghadapi cabaran dunia globalisasi yang digundah-gulanakan selama ini. Apakah kerajaan sendiri tidak yakin dengan mekanisme yang telah diwujudkan ini?

PPSMI memang isu tetapi biarlah isu ini diselesaikan secara bijaksana oleh kerajaan dan golongan yang benar-benar disebut sebagai pencinta bahasa Melayu. Berbincanglah dengan berlapang dada. Memang diakui kerajaan telah mengadakan persidangan meja bulat tetapi kalau persidangan itu benar-benar sebuah persidangan yang ikhlas dan jujur, tentu tidak jadi begini. Jadi, bersatunya NGO dan pejuang bahasa dalam sebuah gerakan yang konkrit memberikan gambaran bahawa persidangan meja bulat itu ada masalah. Jadi semua pihak usah berkeras kepala dan berhati batu. Kata-kata agar semua pihak berhenti sejenak dan berfikir amat wajar diambil pedoman sama ada pemimpin kerajaan dan pejuang pemansuhan PPSMI ini.

Apa-apapun diharapkan agar sejarah yang terjadi pada akhbar Utusan Melayu bertulisan Jawi yang kini hanya sisipan dalam Utusan Malaysia pada setiap Isnin tidak berlaku pada akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian, iaitu hanya sisipan dalam NST pula pada suatu hari. Fikirkan kata-kata bahawa Sejarah Akan Berulang Kembali !

Akhir sekali, catatan ini nampak tidak senada tetapi lebih baik daripada sokong membawa rebah......!

Sekian.

Thursday, February 26, 2009

Celaka..... ?

Orang Melayu terperanjat, khususnya ahli-ahli Pemuda UMNO apabila ada orang yang berani dan angkuh mengungkapkan frasa 'celaka ' kepada Pemuda UMNO. Sebenarnya, frasa celaka itu boleh dilihat sebagai kesinambungan kebiadapan orang itu terhadap ketuanan Melayu. Bagaimanapun, sebagai orang yang waras, tentu sahaja mencari punca dan faktor yang membolehkan orang itu berani biadap.

Jawapan yang boleh diberikan kepada persoalan tersebut ialah kebodohan orang Melayu berpolitik. Hal ini kerana ramai orang Melayu hari ini berpolitik secara bodoh. Ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka tidak meletakkan kedudukan bangsa dan agamanya di kedudukan yang betul. Ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka sanggup berpatah arang dan berkerat rotan. Ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka gembira melihat bangsa mereka dipijak-pijak oleh kaum lain asalkan dendam kesumat dan keinginan nafsu mereka tertunai. Ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka sanggup menukar ketuanan Melayu kepada ketuanan Rakyat. Akhirnya, ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka tidak ada apa-apa kecuali mewujudkan keadaan dan suasana yang mengancam kedudukan dan ketuanan Melayu serta kedudukan agama Islam.

Sehubungan dengan ini, dalam usaha memberikan tekanan dan memperlihatkan keberanian orang Melayu dalam isu 'celaka' ini, eloklah pemimpim-pemimpin Melayu membetulkan diri masing-masing dan seterusnya membetulkan pengikut masing-masing. Matlamat pembetulan ini adalah untuk berpolitik tetapi pada masa yang sama apa-apa jua fahaman politik, politik itu tidak menghakis kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam di bumi tercinta.

Kesimpulannya, isu celaka, isu mencabar kontrak sosial, isu menyaman Seri Paduka Sultan Perak, isu penggunaan Nama Allah, isu hak milik pajakan 999 tahun, isu mengkaji ekuti dan kuota Bumiputera dalam beberapa sektor dan lain-lain adalah kerana kebodohan orang Melayu berpolitik. Memang diakui ramai orang Melayu pandai berpolitik tetapi juga disedari lebih ramai orang Melayu yang bodoh berpolitik.

Celaka itu memang biadap tetapi lebih biadap lagi apabila orang Melayu sendiri yang memberikan ruang dan peluang untuk kebiadapan itu berlaku!

Saturday, February 21, 2009

Pemilihan Agung UMNO

Assalamualaikum....
Sekalung tahniah dan syabas kepada ahli-ahli UMNO yang telah mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding dalam pemilihan yang akan diadakan pada Mac ini. Bagi yang tidak mendapat pencalonan yang cukup, tak usah kecewa. Ini kerana jodoh pertemuan, ajal maut, rezeki dan tanah perkuburan sudah ditentukan oleh Allah S.W.T. Memang kita juga sudah ditakdirkan boleh berusaha, jadi kita berusahalah dengan betul. Tetapi apabila sampai masanya kita tak berjaya seperti usaha yang dilakukan, itulah takdirnya. Berlapang dadalah kita.

Mereka yang bertanding, jagalah maruah diri. Berkempenlah secara berhemah. Apa yang lebih penting, dalam keghairahan berkempen, ingat Allah dan ingat parti kita. Kita berani lakukan yang salah, tunggulah azab Allah dan tunggulah rakyat menghukum kita.

Bertanding ini adalah sistem yang kita pilih. Pertandingan ini adalah sistem Barat. Sistem ini boleh membawa kegembiraan dan boleh membawa bencana. Ini pilihan kita. Jadi jika sudah memilih pertandingan sebagai satu sistem, usahlah buat yang bukan-bukan kerana takut kalah. Berilah peluang UMNO mempunyai kepimpinan yang baik.

Mereka yang menjadi perwakilan, pilihlah yang terbaik untuk UMNO. Usah membujur lalu, melintang patah. Tentunya kita tak mahu UMNO patah. Ingat pesanan nenek moyang kita; Pilih-Pilih Tempat Mandi, pertama telok, kedua pantai. Pilih-Pilih tempat menjadi; pertama elok, kedua pandai. Pilihlah pemimpin yang elok dan pandai untuk UMNO, elok dan pandai untuk Malaysia serta elok dan pandai untuk semua rakyat Malaysia.

Kepada semua mereka yang bertanding dan menjadi perwakilan, ingatlah Allah S.W.T. memerhati kita. Ingatlah apa-apa yang dilakukan di persidangan itu tidak berakhir selepas tamatnya persidangan. Sebaliknya, semua itu akan dihimpun di padang Mahsyar. Di sana tak mampu melobi, tak mampu menyogok dan tak mampu berkata-kata retorik. Di sana ada kebahagian dan ada azab. Pilihlah yang terbaik. Buatlah sehabis betul dan benar. Kita hidup tidak menongkat langit. Jadi ingatlah...! Ingat sebelum kena...! sebelum kena azab Allah S.W.T., sebelum rakyat menghukum UMNO. Allah S.W.T. maha adil. Ahli biasa UMNO dan rakyat sudah pandai.

Dalam keadaan Melayu kini sanggup berpatah arang arang dan berkerat rotan, semua pemimpin dan perwakilan di persidangan UMNO Mac ini mesti bermuhasabah diri. Jangan gah menyanyikan lagu UMNO tapi akhirnya menjadi pengkhianat UMNO dan bangsa Melayu.

Selamat Bertanding! Selamat Menjadi Perwakilan!

Sekian.

Thursday, February 5, 2009

Lu Cilok Gua, Gua Cilok Lu......Perak Oh Perak !

Suasana dikatakan tidak menentu di Perak. Satu pihak mengatakan mereka telah memperoleh majoriti dan layak menjadi kerajaan di Perak. Sementara itu, pada satu pihak lagi mengatakan perlu pulangkan pada rakyat untuk tentukan siapa layak jadi kerajaan di Perak.

Tanggal 8 Mac 2008 lalu, kita dapati BN telah bersaing dengan PAS, PKR dan DAP dalam pilihanraya. Keputusan pilihanraya itu menunjukkan bahawa UMNO / BN mendapat 28 kerusi, DAP 18 kerusi,PAS 5 kerusi dan PKR 8 kerusi (Kalau tak silap bilangan ini). Berdasarkan keputusan ini, UMNO /BN layak menjadi kerajaan tetapi oleh sebab angka kerusi parti yang bersaing dengan UMNO/BN boleh mengatasi kerusi UMNO/BN, mereka bergabung secara tiba-tiba. Dengan itu, UMNO/BN pun gagal menjadi kerajaan angkara perbuatan parti pembangkang yang sebelum pilihanraya tidak pernah menyatakan hasrat bersekutu telah bersekutu selepas pilihanraya. Jadi UMNO/BN telah dicilok di Perak dek tindakan membujur lalu, melintang patah parti-parti yang bersaing dengan UMNO/BN itu. Isunya, adakah jika sebelum pilihanraya, parti-parti pembangkang bersekutu dan bertanding atas nama Pakatan Rakyat, mereka boleh mendapat kerusi majoriti di Perak?

Oleh itu, kini tiba masanya UMNO /BN cilok PAS,PKR dan DAP pulak dengan keputusan membujur lalu, melintang patah juga. Alasannya, mudah, iaitu UMNO/BN memang memenangi kerusi majoriti di Perak dalam PRU 12 akan mencari jalan untuk menubuhkan kerajaan. Jadi, cerita yang sama juga UMNO/BN lakukan (walau dikatakan telah memancing wakil rakyat PAS, PKR dan DAP)untuk memastikan kerusi majoriti yang diperolehnya itu tidak disia-siakan.

Jadi apabila tiba situasi begini berlaku, tak payahlah susah-susah nak adakan pilihanraya negeri kerana sudah memang ada pihak yang mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan di Perak.

Kesimpulannya, sejarah pasti berulang kembali tetapi hanya peristiwa sejarah itu dan tarikhnya sahaja yang berbeza. Setidak-tidaknya, Perak Oh Perak! sejarah Lu Cilok Gua, Gua Cilok Lu telah berulang di Perak tidak sampai setahun.

Wednesday, February 4, 2009

Lompat... Lompat !

Lompat...., apek lompat! Lompat, lompat!
Itulah lirik dalam salah satu lagu hasil nukilan Seniman Agung P. Ramlee. Bagaimanapun, pada hari ini, memang kita dapat melihat situasi orang yang mempunyai pangkat dan gelaran melompat. Kalau dalam cerita P. Ramlee itu, apek yang melompat adalah untuk membantu dan menyelamat, iaitu menjahit kepala tuan cik Siti yang telah dipancung. Jadi adakah hari ini jika orang yang bergelar dan berpangkat melompat untuk membantu dan menyelamat?

Hairan juga apabila cerita lompat-melompat ini pada satu ketika dikatakan sebagai satu tindakan bijak oleh seorang yang dikatakan tokoh oleh penyokongnya. Malah orang yang dikatakan tokoh ini juga tanpa segan silu memjelaskan bahawa kumpulan yang ditinggalkan oleh orang yang melompat itu sebagai pokok yang hampir mati. Sebaliknya, apabila gengnya melompat dikatakan sebagai pengkhianat pulak. Jadi orang yang dikatakan tokoh ini juga melompat-lompat pegangan dan idealoginya. Malah terasa bagai nak mati pulak berikutan gengnya melompat.

Jadi, lompat...., apek lompat....! aiya...! lompat.........!lompat! aiya!

Saturday, January 24, 2009

Pemimpin Datang dan Pergi..... Masalah UMNO !!!!

Ungkapan "Pemimpin Datang dan Pergi" selalu diungkapkan oleh pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat. Malangnya, maksud sebenar ungkapan "Pemimpin Datang dan Pergi" tidak difahami oleh ramai pemimpin dan ahli UMNO. Hal ini telah menjadi masalah perpaduan dalam UMNO.

Apabila seseorang pemimpin berundur kerana kalah dalam pemilihan, mereka akan diganti oleh pemimpin lain. Pemimpin UMNO dan ahli UMNO akan menyebut bahawa "Pemimpin Datang dan Pergi". Malangnya, perginya seseorang pemimpim itu akan juga pergi bersama-sama dengan penghormatan yang dikecapi. Tentu sahaja keadaan ini tidak mahu dihadapi oleh sesiapa juga yang pernah bergelar pemimpin UMNO sama ada di peringkat Pusat, Bahagian dan cawangan. Lantaran itu, berlakulah pelbagai tindakan "membujur lalu , melintah patah" seperti politik wang, penyelewengan kuasa, dan lain-lain dalam mempertahankan jawatan masing-masing. Justeru tidak hairanlah sesama pemimpin UMNO atau ahli-ahli UMNO sendiri wujud konflik yang menggugat perpaduan UMNO selama ini.

Sempena hampirnya pemilihan Majlis Tertinggi UMNO dalam Mesyuarat Agung UMNO pada MAC 2009 ini,pemimpin UMNO dan ahli-ahli UMNO mesti memahami bahawa "Pemimpin Datang dan Pergi" hanya terhad pada jawatan dan bukan pada penghormatan yang pernah diberikan. Jika ini dapat difahami dan diamalkan dalam UMNO, nescaya UMNO akan terus bersatu padu. Hal ini penting difahami kerana pemimpin dan ahli UMNO juga menyebutkan bahawa " Yang Menang, tidak menang semuanya, Yang Kalah, tidak kalah semuanya". Sebaliknya, jika yang pergi itu akan menghadapi situasi perginya penghormatan yang ada, bermakna pemimpin yang pergi akan membawa penyokong masing-masing dan berlakulah tindakan cah keting, kem-kem UMNO, sabotaj semasa pilihanraya dan lain-lain.

Biarlah perginya pemimpin UMNO itu hanya perginya jawatan yang disandang tetapi penghormatan seperti rasa hormat dan penghargaan yang pernah diberikan kepada pemimpin itu terus kekal atau berganda dan tidak sedikit pun berkurangan. Jika keadaan ini berlaku, pasti setiap pemimpin tidak berasa takut untuk tewas dalam pemilihan UMNO serta hilang jawatan kerana mereka tahu bahawa yang pergi hanya jawatan tetapi rasa hormat, penghargaann dan sahabat tidak hilang dan masih terus berkekalan. Sementara jawatan yang pergi pula boleh diperoleh dalam pemilihan pada masa lain atau di platform lain.

Selamat Maju Jaya UMNO.... Jangan hilang UM !!!! dan jangan sampai NO !!!!!! di Malaysia ini.

Friday, January 23, 2009

Peruntukan Jutaan Ringgit.... Tapi Kalah Juga !!!!

Assalamualaikum w.b.r.

Sesungguhnya kita amat berterima kasih kepada Menteri Kewangan, khususnya dan amnya pada kerajaan Malaysia kerana begitu prihatin terhadap perkembangan ekonomi dunia. Kerajaan dilihat amat komited dalam memastikan seluruh rakyat Malaysia tidak menghadapi masalah dalam berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Lantaran itu, suntikan dana yang diumumkan oleh Dato Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai suatu usaha yang bertanggung jawab.

Bagaimanapun, suatu perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pemimpin politik, khususnya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri, Menteri Besar, Menteri dan Exco kerajaan serta JKKK ialah sejauh manakah peruntukan tersebut dapat menggembirakan rakyat? Seharusnya, peruntukan yang besar, terutamanya yang melibatkan pembangunan infrastruktur di kampung atau bandar dipantau dengan rapi. Peruntukan itu tidak harus dibiarkan dalam urusan pegawai atau kaki tangan kerajaan seperti juruteknik, pegawai pembangunan daerah dan lain-lain sendirian sahaja atas dasar tidak mahu ada campur tangan politik.

Setiap peruntukan pembangunan infrastruktur hendaklah dilihat dari aspek keberkesanan dan kepuasan hati masyarakat. Tidak harus projek yang dilaksanakan dibiarkan dalam urusan antara pegawai kerajaan yang terlibat dengan kontraktor yang terlibat sahaja. Setiap projek yang dilaksanakan itu hendaklah diambil kira aspek keberkesanan dan kepuasan hati JKKK dan masyarakat sebelum sebarang pembayaran dilakukan oleh pegawai atau kaki tangan kerajaan yang mengurus. Sekira perkara ini tidak diambil perhatian oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri, Menteri Besar, Menteri dan Exco kerajaan, projek dengan peruntukan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan sendiri tidak mampu memberikan apa-apa impak terhadap sokongan masyarakat kepada UMNO, BN dan kerajaan.

Lihat sahaja jutaan ringgit telah kerajaan keluarkan untuk pembangunan di kampung atau di bandar tetapi semua projek tersebut tidak mampu membantu UMNO, BN dan kerajaan untuk mendapat sokongan dalam pilihan raya. Hal ini kerana setiap projek yang dilaksanakan tidak memberikan rasa puas hati dalam kalangan masyarakat. Malah ada projek-projek yang dilaksanakan itu menjadi bahan rangsangan untuk masyarakat marah dan membenci UMNO, BN dan kerajaan. Hal ini kerana, kaki tangan kerajaan yang mengurus mempunyai kuasa membuat sebarang pembayaran kepada kontraktor tanpa mengambil kira laporan wakil kerajaan seperti JKKK. Oleh itu, projek yang tidak sempurna atau tidak memberikan kepuasan hati JKKK atau masyarakat boleh diluluskan oleh kaki tangan kerajaan yang mengurus begitu sahaja. Dengan itu, projek yang tidak menerbitkan rasa puas hati JKKK dan masyarakat akan terus menjadi bahan rangsangan masyarakat marah dan membenci UMNO, BN dan kerajaan selama projek itu wujud.

Pegawai atau kaki tangan kerajaan yang menguruskan projek pembangunan atau melaksanakan sebarang dasar tidak perlu mengambil kira kesan politik. Namun begitu, setiap projek pembangunan atau pelaksanaan dasar oleh pegawai atau kaki tangan kerajaan mempunyai kesan politiknya. Contohnya, kita lihat pula pelaksanaan dasar Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK). Bagi pegawai atau kaki tangan kerajaan yang menguruskan PTK akan membuat skema kerasionalan PTK seperti sebagai mekanisme terbaik bagi menilai kaki tangan awam (masyarakat). Justeru PTK dilaksanakan saban tahun. Bagaimanapun, PTK ini tidak memuaskan hati kaki tangan awam (masyarakat), terutama yang telah berusia untuk menikmati kenaikan pangkat. Oleh itu, saban tahunlah juga masyarakat tersebut akan membenci UMNO, BN dan kerajaan yang menaungi pegawai atau kaki tangan kerajaan yang melaksanakan projek PTK tersebut.

Memang kita tidak mahu campur tangan politik yang keterlaluan dalam urusan dan tugas pegawai atau kaki tangan kerajaan. Bagaimanapun, orang politik dalam kerajaan dan JKKK mesti ada ruang yang tersendiri dalam memastikan projek atau dasar yang dilaksanakan oleh kaki tangan kerajaan itu tidak menghakis sokongan masyarakat pada UMNO, BN dan kerajaan.

Orang politik dalam kerajaan usah berbangga dengan peruntukan yang berjaya diluluskan tetapi sejauh manakah peruntukan itu mampu menjadikan masyarakat puas hati dan dapat meningkatkan sokongan masyarakat pada UMNO, BN dan kerajaan. Bukankah ini lebih penting?

Sekian.

Thursday, January 22, 2009

Kena Cekup SPRM

Gempar !!!!. Kini ahli UMNO semalaya gempar apabila keluar berita mengatakan beberapa orang ahli UMNO telah dicekup oleh SPRM atas dakwaan rasuah dalam atau untuk pemilihan UMNO.

Bagi ahli UMNO, peristiwa ini suatu malapetaka kerana UMNO yang banyak berjasa pada agama , bangsa dan negara telah dimalukan oleh pesona-pesona yang tidak menghayati prinsip perjuangan UMNO. Sebenarnya, pesona-pesona inilah yang melunturkan imej UMNO dari akar umbi sampailah ke peringkat atas.

Apa-apapun biarlah SPRM menyelesaikan isu ini. Inilah kehebatan UMNO kerana sanggup membiarkan pesona-pesona yang nampak hebat tetapi sebenarnya merosakkan imej UMNO dicekup. Memang awal-awal ini, peristiwa tersebut memalukan UMNO tetapi percayalah UMNO akan mendapat kebaikan akhirnya kerana "Tidak bersubahat dengan kejahatan dan penyelewengan itu adalah satu kebaikan". Bersihnya UMNO daripada pesona-pesona ini dapat membebaskan UMNO daripada sikap "membujur lalu, melintang patah", iaitu satu ciri atau faktor yang membuatkan orang ramai, generasi muda atau masyarakat meluat dengan UMNO.

Apakah kebaikannya.... tuuuuuuunggguuuuuuuuu!!!!

Wasalam.

Saturday, January 17, 2009

Kuala Terengganu....Oh Kuala Terengganu !

Assalamualaikum......
Keputusan pilihanraya Parlimen KT telah diumumkan. Pengumuman tersebut telah menobatkan Calon Pas telah memenangi pilihanraya KT. justeru sekalung tahniah kepada calon Pas atas kemenangan tersebut.

Keputusan yang diumumkan telah membawa pelbagai andaian dan komen sama ada daripada kalangan ahli akademik dan bukan akademik. Ada andaian dan komen itu betul atau salah serta tersasar.

Keputusan pilihanraya ini turut membuat saya teruja untuk memberikan komen walaupun saya tahu komen saya ini tidak diberikan perhatian oleh mana-mana pihak.

Keputusan pilihanraya KT yang memihak kepada calon Pas menunjukkan bahawa UMNO mesti peka terhadap pemilihan pemimpin di peringkat bawahan atau akar umbi. Jika dahulu, UMNO melahirkan pemimpin adalah daripada kalangan pemimpin yang mendapat sokongan dan diterima di peringkat bawahan, iaitu dalam kalangan ahli-ahli biasa UMNO atau ahli masyarakat yang tidak menjadi ahli parti politik. Hal ini adalah kerana pemimpin tersebut mempunyai kewibawaan dari aspek pemikiran, falsafah politik, komitmen pada tanggungjawab politik terhadap agama, masyarakat dan bangsa dan mempunyai nilai akhlak yang dihormati.Justeru apabila pemimpin ini dikemukakan dalam sebarang piliharaya, mereka dengan mudah diundi oleh para pengundi. Bagaimanapun, keadaan berbeza pada hari ini. Walaupun calon yang dikemukakan dalam pilihanraya adalah daripada kalangan pemimpin yang dikemukakan dan mendapat dokongan pemimpin atasan, mereka kalah akhirnya. Keadaan ini hendaklah diambil ikhtibar oleh pemimpin UMNO agar mencari mekanisme agar pesona-pesona yang berkualiti dikemukakan atau diberikan ruang sebagai pemimpin di peringkat akar umbi. Menerusi pesona berkualiti inilah, UMNO boleh membina semula kekuatan dari akar umbi lagi. Jika UMNO membiarkan pesona yang tidak berkualiti dengan gelagat masing-masing berpencak di pentas politik akar umbi, imej dan keyakinan UMNO akan terus tergugat. penelitian ini disokong pada keadaan ramai golongan muda di kampung atau di bandar isolated dengan aktiviti UMNO. Mereka yang berpendidikan sama ada di peringkat menengah, kolej atau universiti telah melihat gelagat pesona-pesona yang ingin menjadi jaguh atau pemimpin di akar umbi sebagai suatu yang gelagat yang tidak boleh diikut atau disokong. Hal ini bermakna imej UMNO sudah tercemar di peringkat akar umbi lagi. Justeru dalam mengukuhkan imej UMNO, pemimpin atasan UMNO mesti mencari mekanisme agar pesona yang berpencak dan mencari kedudukan di akar umbi terdiri dalam kalangan pesona yang berakhlak, berwibawa dan komited pada agama dan bangsa. Dari sinilah imej UMNO sebenarnya mesti dibentuk dan dipulihkan semula.Pemulihan ini bukan sahaja untuk ahli UMNO tetpai meliputi semua ahli masyarakat.

UMNO juga mesti menilai kekalahan calon UMNO / BN pada pilihanraya KT ini dalam kelompok pengundi kaki tangan awam. Mengapakah kaki tangan awam yang telah diberikan pelbagai bonus dan insentif perkhidmatan, mereka tidak memberikan impak untuk memenangkan calon UMNO/BN dalam pilihanraya? Pada saya, kaki tangan awam kecewa dengan Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK). Memang PTK telah membuat ramai kaki tangan awam gembira tetapi PTK juga banyak membuatkan kaki tangan awam kecewa. Justeru UMNO yang menjadi tonggak kerajaan hendaklah segera menilai PTK. Jangan sekadar menerima pendapat pegawai-pegawai atasan di kementerian atau jabatan berkaitan PTK. Sebaliknya, kerajaan harus menyelami keadaan secara realisitik dalam kalangan kaki tangan di peringkat pertengahan dan bawahan dalam perkhidmatan awam berhubung PTK. PTK tidak boleh dilihat dari aspek ideal tetapi mesti dilihat dari sudut realitinya. Mereka yang kecewa dek PTK tentu sahaja menolak kerajaan.

Saya juga menilai bahawa isu PPSMI mempunyai pengaruh besar terhadap longgarnya sokongan masyarakat di peringkat kampung mahupun di bandar-bandar kecil terhadap UMNO/ BN dan kerajaan. Isu PPSMI ini adalah beban politik UMNO semata-mata. Data-data yang diuar-uarkan dilihat jauh pada realiti. Misalnya. apabila dikata PPSMI berjaya tetapi pelajar yang berjaya masih gagal bertutur dalam bahasa Inggeris dan menghalang mereka mendapat pekerjaan. Oleh itu, masyarakat yang mengambil berat tentang PPSMI melihat PPSMI itu tidak realistik pada keadaan sebenar dan tidak realistik juga pada nilai pegangan masyarakat terbanyak. Justeru keputusan segera pemimpin UMNO/BN dan kerajaan terhadap PPSMI ini mesti dibuat sesegera yang boleh bagi mengelakkan UMNO menanggung beban politik. PPSMI ini umpama tiada beban, batu galas pada UMNO dan kerajaan. Lihat sahaja ramai ahli akademik berani bangkit menentang PPSMI dan tentu bangunnya golongan ini memberikan pengaruh yang bukan kecil dalam kalangan masyarakat.

Komen saya ini adalah suatu komen berkaitan isu yang dekat dengan masyarakat. Isu yang mesti diberikan perhatian secara teliti dan rapi oleh pemimpin UMNO. Masyarakat bukan tidak tahu jasa yang telah dibuat oleh UMNO dan kerajaan tetapi apabila isu-isu yang amat dekat dengan masyarakat seperti tiada reaksi pada UMNO, tentunya rasa sedih dan terkilan di hati dalam kalangan masyarakat terbanyak terus menggugat sokongan terhadap UMNO dan kerajaan.Isu seperti kualiti pesona pemimpin di akar umbi, PPSMI dan PTK ini yang dekat dengan masyarakat tentu sahaja melibatkan kalangan pengundi muda. Pengundi muda yang berdarah panas dan mudah menurut kata hati akan meluahkan rasa sedih dan kecewa mereka dalam pilihanraya. Inilah yang mesti diteliti oleh UMNO/BN dan kerajaan.

Isu yang dikemukakan ini bukanlah perlu banyak peratusnya dalam memberikan impak untuk kekalahan calon-calon UMNO/ Kerajaan. Cuma setiap isu tersebut menyumbang 5% sahaja, bermakna 15% pengundi yang tidak mengundi calon UMNO / Kerajaan. Jika UMNO/kerajaan berada dalam keadaan 50-50, tentu sahaja isu ini sudah cukup untuk mengagalkan UMNO/kerajaan. Sebaliknya, jika UMNO/Kerajaan berada dalam keadaan 70 (UMNO/Kerajaan) - 30 (Pembangkang), isu ini juga tetap memberikan impak pada kekalahan calon UMNO/Kerajaan apabila isu tersebut bergabung dengan isu tempatan lain yang menjadi faktor kekalahan seperti isu berlainan kem, calon, pengundi tidak keluar mengundi dan sebagainya. Oleh itu, isu yang diperbincangkan ini mesti diselesaikan oleh UMNO/Kerajaan secara tuntas. Kerajaan tidak boleh mengambl pendekatan in-situ dalam pilihanraya seperti mengumumkan peruntukan untuk masjid, hospital dan sebaginya. Pendekatan in-situ memang mampu dilakukan tetapi faktor di atas mampu melenyapkan kesan pendekatan in-situ yang diambil kerajaan.

Sekian.

Thursday, January 15, 2009

Kuala Terengganu

Assalamualaikum.....
Sabtu 17 Januari 2009 ini, rakyat Kuala Terengganu akan mengundi sekali lagi bagi memilih wakil mereka di Parlimen.Setelah beberapa hari mendengar ceramah pilihanraya daripada semua parti yang bertanding, tibalah masanya rakyat Kuala Terengganu menggunakan akal fikiran sendiri. Lihatlah apa yang telah berlaku selepas PRU 12. Oleh itu, wajarkah dan sanggupkah kita menggunakan kuasa mengundi hanya atas dasar dendam dan marah. Orang tua-tua telah mengingatkan seludang jadikan nyiru, alam terbentang jadikan guru. PRU 12 menjelaskan segala-gala yang tidak pernah kita terfikir tetapi pernah dilalui oleh datuk dan nenek moyang kita dahulu.
Wassalam... undi ikut akal dan jangan undi kerana diakal.