Wednesday, December 15, 2010

Nasihat dan Pesanan Akan Pendedahan

WikiLeaks menggemparkan dengan pendedahan demi pendedahan. Begitu juga ada yang didedahkan menerusi sidang akhbar dan sebagainya. Lantaran itu, ada yang terkejut, ada yang gembira, ada yang terusik, ada yang gelabah, ada yang diheret ke mahkamah dan lain-lain.

Apa-apapun, setiap kita jangan lekas teruja dengan pendedahan. Elok setiap pendedahan disemak dengan fikiran yang rasional. Bagi yang terkena pada pendedahan dan pendedahan itu tidak benar, bersabarlah sekuat-kuatnya. Sebaliknya, yang terkena dengan pendedahan itu dan pendedahan itu benar, pulanglah ke pangkal jalan. Tidak ada ruginya untuk pulang ke pangkal jalan kerana itulah sifat manusia yang kuat.

Percayalah bahawa setiap kejahatan yang berterus-terusan tidak akan sesekali disembunyikan oleh Allah S.W.T. Usah bertegas dengan kesalahan untuk menunjukkan kekuatan diri kerana manusia itu tidak sesekali dapat setinggi gunung dan manusia itu tidak sesekali dapat menembusi bumi. Nenek moyang pun sudah berpesan, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali.

Nasihat dan pesanan ini tidak prejudis pada sesiapa. Hanya sekadar pesan-berpesan dengan kebenaran dan pesan-berpesan dengan kesabaran.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1432
Selamat Menyambut Tahun Baru Masehi 2011

Sunday, November 28, 2010

Perjalanan Ajamsariah ... !

Cerita 1:

19 November 2010 saya telah ke Bandar Baru. Salah satu tujuan untuk menghadiri Majlis Perkahwinan di parit Buntar. Dalam majlis yang begitu ramai seperti kenduri kahwin rumah Yang Berhormat, dapatlah jumpa saudara-saudara yang datang datang dari Alor Setar, Kulim dan sebagainya.

Dalam sibuk bertanya khabar dalam berbual-bual, terkeluar isu bantuan banjir di Kedah. Orang yang memberi respon nampak begitu tegas menidakkan isu kerajaan Kedah bersikap lepas tangan. Sebaliknya, beliau mengatakan bahawa apabila YB UMNO pergi ke pusat-pusat banjir di kawasan mereka telah diberi liputan secara besar-besaran. Menurutnya, misi bantuan mangsa banjir yang dilakukan oleh MB Kedah dan YB PAS tidak adapun liputan media. Begitulah kata-kata orang itu. Dia menyatakan lagi bahawa kawasan dia (Alor Setar) tidak ada orang UMNO datang bantu. Katanya, YB UMNO hanya pergi ke pusat banjir kawasan masing-masing. Katanya lagi, nasib baik ada MCA yang datang bantu di kawasan mereka. UMNO tidak datang bantu. JKP pula banyak merungut apabila orang datang minta bantuan dengan mengatakan bahawa mereka belum balik-balik rumah lagi dan sebagainya. Jadi katanya orang ramai pergi mengadu pada MCA yang telah memberikan khidmat yang baik. Tapi yang PELIKNYA dalam dia menerangkan isu tersebut, dia mengatakan bahawa dia adalah salah seorang orang kuat yang menyokong UMNO. penjelasan yang dibuat adalah atas dasar penjelasan yang adil.

Moral :
1. Kalau cerita orang ini betul :
YB UMNO kena kerja tanpa mengira kawasan yang diwakili. Apabila kerja pilih kawasan dan fokus pada kawasan sendiri akan timbul ruang untuk menghentam UMNO. UMNO Kedah mesti peka. Elok tanya pengalaman Datuk Ali Rustam dalam membantu mangsa banjir sewaktu Melaka dilanda banjir 2006. Datuk Ali Rustam tidak putus-putus berjumpa rakyat dan mangsa banjir.

2. Kalau cerita orang ini tidak betul :
UMNO Kedah mesti betul-betul dapat membersihkan senarai nama ahli UMNO kerana orang yang macam ini akan menjadi duri dalam daging pada UMNO Kedah sehingga boleh menyebabkan Kedah jatuh pada pembangkang dan terus jatuh dan terus jatuh!

Cerita 2:
Saya sempat membawa keluarga pergi berjalan dan melawat Taman Negara Bukit Panchor, Pulau Pinang. Hajat hati hendak bawa anak-anak mandi-manda. Alangkah terperanjat apabila sampai, taman tersebut senyap dan sunyi. Ada Gerai tiada peniaga, Ada tandas tak beroperasi. Lebih sedih lagi air kolam tidak terjaga. Airnya berwarna hitam dan tak jadilah nak mandi-manda.

Isu:
Hati pun berkata apalah kerajaan negeri buat dengan taman yang indah dan permai ini. Kerajaan negeri yang menggantikan kerajaan lama dahulu katanya lebih cekap dan kerajaan untuk rakyat. Malangnya, taman untuk rakyat terbiar dan mengecewakan pelancong dari negeri lain yang datang.

Bagaimanapun, apabila terbaca papan tanda di pintu masuk yang menyatakan Kementerian Pelancongan sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas taman ini. Diri jadilah keliru, iaitu pihak mana yang patut dipertanggungjawabkan?

Sekira agensi kerajaan pusat tidak mendapat kerjasama dari kerajaan negeri dalam menyelenggara taman ini untuk rakyat, elok papan tanda tersebut ditanggalkan. Biarkan hal taman itu pada kerajaan negeri yang mengaku lebih cekap seperti Khalifah Umar Abdul Aziz.





Thursday, November 4, 2010

Galas dan Batu Sapi

Tahniah kepada Barisan Nasional atas kejayaan merampas DUN Galas dan mempertahankan Parlimen Batu Sapi...!

Kemenangan ini memberikan isyarat bahawa pemimpin Barisan Nasional mesti bekerja kuat untuk rakyat dan menghindari polemik sesama sendiri.

Rakyat sebenarnya bosan dengan polemik. Rakyat mahukan pemimpin bekerja kuat dan mempunyai idea yang inovatif dan kreatif dalam memajukan negara.

Teruskan usaha gigih dan laksanakan transformasi dalam pentadbiran untuk kemakmuran dan kesejahteraan negara dan rakyat.

Sekian.

Saturday, September 18, 2010

Salam.... hari ini pelbagai orang mudah mengaku bahawa mereka ada gelaran itu dan ini. Gelaran yang diakui itu pula kadang kala melibatkan gelaran sosial dan juga akademik. Bagaimanapun, ramai orang yang tidak jujur telah mengeksplaoitasi gelaran tersebut untuk tujuan yang negatif. Apabila berlaku sesuatu perlakuan jenayah, gelaran itu juga yang disebut dan tentunya memberikan kesan buruk kepada semua penyandangnya. Sebaliknya, apabila disemak penjenayah itu tidak pun ada apa-apa gelaran. Oleh itu, alangkah baiknya sekira kerajaan, iaitu menerusi agensi tertentu membangunkan pengkalan data bagi setiap individu yang menyandang gelaran sama ada gelaran sosial atau akademik. Hanya dengan adanya pengkalan data ini, usaha individu yang tidak berwibawa tetapi suka dengan gelaran sosial atau akademik itu dapat dikekang. Pengkalan data ini juga akan menjaga wibawa dan martabat setiap gelaran sosial dan akademik tersebut. Ini merupakan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan martabat setiap gelaran sosial dan akademik terpelihara. Usah tunggu sampai masyarakat tidak dapat membezakan yang mana intan dan yang mana kaca. Lebih-lebih lagi pada hari ini, ramai yang tak pandai tetapi lebih memandai-mandai.
Sekian dan terima kasih.

Friday, September 3, 2010

Nak Apa ?

Salam... lama dah tak tulis tentang hal dan isu berkaitan politik. Mungkin disebabkan sibuk dan mun gkin juga disebabkan bosan. Tup... tup malam ini terasa pulak nak tulis hal dan isu politik.

Hari ini sibuk orang berbincang dan berbahas tentang hak dan kadang-kala seperti tidak mahu lagi akur dengan perlembagaan.Tapi akhirnya, semua itu perlu menjawab isu Nak Apa?

Adakah dengan mengaut hak daripada yang lain itu akan memberikan sebuah hidup yang harmoni?

Adakah dengan membolot segala-gala yang dikatakan hak itu akan menjelmakan kehidupan yang makmur?

Adakah meminta hak ditambah akan memastikan hidup berjalan lancar dan senang serta aman?

Sebenarnya sudah cukup dengan sikap akur pada perlembagaan berkaitan hak masing-masing kerana ketetapan dalam perlembagaan itu mengambil kira semua aspek seperti sejarah, keperluan, kepentingan dan lain-lain.

Akhirnya, apa yang dikehendaki ialah keharmonian, kemakmuran dan keamanan. Justeru adakah tuntutan terhadap penambahan hak, membolot hak dan mengaut hak itu menjawab nak apa tadi?

Oleh itu marilah kita satukan gerak dalam membawa Malaysia yang sudah 53 tahun merdeka menjadi negara cemerlang dan gemilang. Moga kita dapat berada dalam negara ini dalam harmoni, makmur dan aman. Inilah hak yang lebih utama walaupun terpaksa menerima kekurangan sedikit berkaitan hak yang dikejar itu.

Jadi lebih bijaksanalah apabila bercakap tentang hak.

Sekian dan terima kasih.

Friday, June 25, 2010

Ulama Sertai UMNO

Tahniah..... atas penyertaan ulama dalam UMNO.
Memang sebenarnya, UMNO adalah wadah perjuangan untuk agama , bangsa dan negara. Hal ini sebenarnya telah disedari oleh semua golongan kerana perjuangan suci ini telah bermula sejak wujudnya penyatuan Melayu dalam menentang Malayan Union lagi. Cuma apabila adanya kata-kata nista yang menidakkan perjuangan suci UMNO itu, akhirnya UMNO dipinggirkan oleh golongan perjuang dan berilmu. Oleh hal demikian, ramailah golongan yang bukan perjuang dan berilmu dalam UMNO. Kesannya, UMNO menghadapi pelbagai sindrom seperti rasuah politik, kem atau team yang akhirnya UMNO seolah-olah bukan parti perjuangan tetapi UMNO parti yang diletakkan tarafnya sama dengan parti pinggan mangkuk atau parti keramaian sosial biasa. Golongan perjuang dan berilmu serta menghayati inti pati perjuangan UMNO terpaksa bergelut meletakkan asas perjuangan UMNO. Oleh itu, penyertaan ulama dalam UMNO ini akan mampu membawa usaha UMNO menepati asas perjuangan sebenar, iaitu perjuangan untuk agama Islam, bangsa dan negara.
Marilah ulama, cendikiawan, pendidik dan semua golongan kita sertai UMNO agar UMNO terus perkasa dengan perjuangan sebenarnya. Usah kita termakan dengan kata nista terhadap UMNO kerana tiada parti di negara ini yang mampu memperjuangkankan nasib agama Islam, bangsa dan negara sebaik UMNO. memang banyak dinistakan UMNO seperti tidak Islamik, tidak bermoral, tidak educated dan sebagainya. Kata-kata nista ini hanya sebagai usaha menjauhkan golongan ulama, berpendidikan dan perjuang terhadap UMNO.Sama ada golongan ini menjauhi UMNO dan menyertai mereka atau tidak, itu tidak penting kerana jauhnya golongan ini daripada UMNO, bermakna UMNO pasti lemah
Kalau lemahnya UMNO dalam perjuangan itu, itu disebabkan kita meminggirkan UMNO dek termakan usaha songsang golongan tertentu. Akhirnya, ketidakbijaksanaan dan ketidakadilan kita menilai UMNO, akhirnya UMNO hanya memiliki ahli yang tidak berkualiti. Jadi, siapa yang hendak disalahkan? Salahkanlah diri sendiri...apabila UMNO dikoporatkan, UMNO diniagakan, UMNO disyarikatkan, UMNO disosialkan sama dengan parti pinggan mangkuk atau parti hari jadi sahaja.
Kita ada wadah yang pelbagai kini. Fikirkan dengan waras tanpa sentimen tentang wadah mana yang sebaik UMNO? Wadah mana yang boleh kita bergantung harap? Wadah mana yang mampu berjuang sehebat UMNO? Usah biarkan dan pinggirkan UMNO... kerana UMNO adalah wadah perjuangan terbaik untuk agama, bangsa dan negara di tanah air tercinta ini!!!!! Mari kita semua sertai UMNO........ 1UMNO 1Melayu 1Islam 1Malaysia!!!!!!
Sekian dan terima kasih.

Wednesday, June 2, 2010

Ikhlaskah perjuangan kita...?

Assalamualikum...
Tempoh hari, di kampung saya, Biro Penerangan Bahagian telah membuat program sembang-sembang. UMNO kampung saya hanya diundang untuk bersama-sama. Sedangkan, program sembang-sembang ini dihoskan oleh UMNO cawangan lain. Malangnya, program yang menggabungkan dua cawangan UMNO ini tidak mampu mengumpulkan ramai ahli,sedangkan program ini dihadiri oleh Yang Berhormat Ketua Biro Penerangan Bahagian.

Dalam program ini, ramai yang bercakap dan meluahkan rasa tak puas hati. Mereka mengatakan tentang ketidak aktif, afektif dan proaktifnya Y.B. kawasan. Maknanya hapraklah YB itu. Pada saya, luahan itu mungkin ada betul dan mungkin ada tak betul... tapi itu tidak menjadi soal. Yang menjadi pertanyaan di benak saya ialah kenapa orang yang dikatakan begitu haprak boleh naik begitu tinggi sehingga menjadi Y.B.?

Ini bermakna semua ahli UMNO, terutamanya perwakilan ke Bahagian tidak ikhlas dalam perjuangan. Masakan orang haprak yang dikatakan itu telah diberikan sokongan untuk naik begitu tinggi. Kini baru nak sedar... Adakah sokongan yang diberikan itu ada habuan sebagai balasan maka sokongan diberi. Apabila habuan tidak ada, baru tahu haprak dah jadi Y.B.? Walaupun sedar pun sebenar salah sendiri kerana tidak ikhlas dalam perjuangan. Ahli, terutama yang menjadi perwakilan tak pernah ingat pesan nenek, iaitu pilih-pilih tempat mandi, pertama telok, kedua pantai. Pilih-pilih tempat menjadi, pertama elok, kedua pandai.

UMNO tidak dilihat sebagai perjuangan dalam memastikan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara tercapai dengan berkesan. Untuk mencapai matlamat perjuangan itu, ahli mesti ikhlas dalam memilih pemimpin. Sebaliknya, UMNO tidak dilihat sebagai perjuangan tetapi hanya dilihat sebagai pertandingan dan persaingan. Akhirnya, sudah terantuk, barulah terngadah... sudah lambat bang oii!

Oleh itu, setiap ahli UMNO meh balik ke pangkal jalan, iaitu ikhlaskan hati dalam perjuangan. Ingatlah UMNO itu bukan parti pinggan mangkuk tetapi wadah perjuangan besar. Usahlah nodai UMNO dengan sifat tamak dan tidak ikhlas...

Sekian.

Thursday, March 4, 2010

PKR Gelora...UMNO Belajar

Assalamualaikum.
Rasanya lama sudah tidak menulis artikel politik dalam blog ini. Bukannya apa tapi hanya sibuk sedikit. Bagaimanapun, akhir-akhir ini banyak pulak cerita politik yang menarik. Jadi ada kesempatan yang sekelumit ini, elok dibincangkan isu politik yang menarik itu. Isunya Wakil Rakyat PKR keluar parti dan hentam parti sendiri!

Akhir-akhir ini wakil rakyat PKR telah mengumumkan keluar parti dan ada pula yang mengkritik (cakap kasarnya: hentam) parti mereka sendiri. Kenapa?

Dalam apa-apa pertandingan mesti ada usaha yang betul dan kemas kini serta istiqamah untuk menang. Jangan diharap menang terpacak. Dek menang terpacak banyaklah tindakan berikutnya terlajak daripada prinsip yang dijunjung. Akhirnya, wakil rakyat sendiri pun lari dan hentam parti sendiri.

Moralnya: UMNO jangan pula serupa ingin menang terpacak dek PKR bergelora. Usaha yang betul dan kemas kini serta istiqamah mesti diteruskan. Prinsip UMNO, iaitu tradisi membela agama, bangsa dan negara mesti dijunjung. Insyaallah UMNO akan menang dan meriah dalam PRU 13. Kalau mengharap menang terpacak dalam PRU 13, nescaya kemenangan itu tidak kukuh.

"UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia!"
Sekian.

Sunday, February 21, 2010

Tinggalkan Parti Apabila Selesai Mesyuarat Agong

Assalamualaikum...
Besar sungguh harapan Presiden UMNO apabila menyatakan harapannya agar masyarakat akan mencari UMNO apabila ada sesuatu masalah... Inilah sebenarnya yang patut berlaku kerana UMNO itu ditubuhkan untuk membela bangsa, agama dan negara.

Hakikatnya, UMNO di cawangan-cawangan tidak pernah cuba mendidik ahli-ahli UMNO agar menghargai parti mereka. Ahli-ahli dibiarkan sahaja tanpa ada apa-apa program dan aktiviti sebaik sahaja sokongan ahli-ahli diperoleh semasa pertandingan UMNO di cawangan.

Jiak ada aktiviti yang dijalankan, aktiviti kampung itu digerakkan atas nama JKK atau Lembaga Masjid sahaja dan terlalu takut, sinis dan sesnsitif untuk mengaitkan aktiviti itu dengan UMNO. Parti UMNO yang memberikan pemimpin itu kunci untuk menduduki JKK atau Lembaga Masjid dibiarkan begitu sahaja. Malah mesyuarat UMNO, Pemuda UMNO dan Wanita tidak berlaku. Sekira diadakan mesyuarat pun atas nama mesyuarat bersama tetapi bukan semua AJK dalam UMNO, Pemuda dan Wanita itu hadir.

Oleh itu, ahli-ahli UMNO ditinggalkan begitu sahaja. Ahli-ahli UMNO tidak dididik dan terdidik untuk menghargai parti mereka. Lantaran itu, ahli-ahli UMNO tidak pernah berasa bersalah sekira tidak menyertai mesyuarat Agong UMNO yang tidak melibatkan pertandingan. Jauh di sudut hati ahli-ahli UMNO tidak tercatat nama UMNO kerana UMNO di cawangan mereka sepi selepas pertandingan mesyuarat Agong UMNO yang melibatkan pemilihan.

Justeru, UMNO di peringkat bahagian mesti mengorak langkah melihat dan menilai perjalanan UMNO di cawangan-cawangan. Ahli-ahli UMNO di cawangan-cawangan mesti dididik untuk lebih menghargai UMNO. UMNO di peringkat bahagian mesti melihat UMNO Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di cawangan sama ada ada menjalankan mesyuarat jawatankuasa secara bulanan atau penggal, ada atau tidak aktiviti kampung yang dijalankan atas nama UMNO dan sebagainya. Sekira UMNO, Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di cawangan sepi dan diam membatu tanpa sebarang mesyuarat dan aktiviti, bermakna UMNO di peringkat bahagian mesti melaksanakan perancangan strategi untuk dilaksanakan oleh UMNO, Pemuda, Wanita dan Puteri di cawangan-cawangan. Dengan strategi dan kaedah ini UMNO akan hidup dan meriah di setiap cawangan. Ahli-ahli UMNO juga akan lebih terasa kehadiran UMNO dalam kehidupan mereka. Ini tentu sahaja akan mendidik ahli-ahli UMNO lebih menghargai UMNO.

Gerakan perlaksanaan strategi dari peringkat atas untuk dilaksanakan di peringkat cawangan mesti digerakkan segera kerana UMNO tiada masa yang panjang untuk menghadapi gelora PRU 13. Generasi muda terlalu sinikal tetapi UMNO di peringkat cawangan masih diam, kaku dan membatu dalam mesyuarat jawatankuasa dan aktiviti atas nama UMNO. Sekira ini berterusan, tentu sahaja jauh di lubuk hati generasi muda tidak akan ada perasaan menghargai UMNO walaupun nikmat yang diperoleh adalah dari perjuangan UMNO.

Andai UMNO di cawangan terus diam, kaku dan membatu, nama UMNO tidak akan terpahat dalam minda dan hati generasi muda.Pemimpin UMNO yang ada akan pasti meninggalkan jawatan dan tempatnya. Apakah generasi yang tidak pernah dididik untuk menghargai UMNO akan mahu menerima UMNO atas nama perjuangan dan pengorbanan?

Sekian....

Friday, January 15, 2010

Jangan Ulang Kebodohan Manusia Kali Kedua- Satu Renungan

Apabila Allah S.W.T. menawarkan jawatan khalifah di muka bumi, semua makhluknya tidak sanggup menerima. Bagaimanapun tawaran tersebut telah dikejar oleh manusia dengan kesanggupan menjadi khalifah di dunia. Lantaran itu, manusia pun dijadikan khalifah di muka dunia.....

Sejarah tersebut menunjukkan bahawa manusia yang mengejar jawatan khalifah di dunia telah menyebabkan timbulnya pelbagai konflik. Malah ada kalangan manusia tidak dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Begitu juga tidak kurang tersasar daripada maksud jawatan tersebut.

Hakikat ini masih terus berlaku pada kehidupan manusia. Manusia sentiasa mengejar jawatan sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja. Sedangkan, apabila jawatan itu dikejar, manusia akan berhadapan dengan pelbagai konflik sehingga menyebabkan kegagalan dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan sempurna.

Imbas kembali akan kaedah pelantikan rasulullah. Rasulullah S.A.W. dilantik oleh Allah S.W.T. tanpa ada kejar-mengejar.Lantaran itu, semua rasul Allah telah dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan baik walaupun adanya pelbagai rintangan.

Begitu juga dengan pelantikan Khalifah Abu Bakar, Umar al Khattab, Uthman Affan dan Saidina Ali yang telah berjalan atas keikhlasan dan kejujuran tanpa ada persaingan dan kejar-mengejar akan jawatan tersebut. Lantaran itu, mereka telah berjaya sebagai pemimpin yang berkesan. Mereka yang mengejar jawatan pada Uthman dan Ali pula telah menghadapi pelbagai konflik dan mengganggu tugas melaksanakan tanggungjawab dan amanah.

Hakikat ini mesti difahami dengan rapi dalam memperoleh jawatan dalam politik dan kerajaan. Usah kita mengejar jawatan kerana pada setiap jawatan itu ada suatu amanah yang besar. Usaha mengejar jawatan bermakna kita mengulangi kebodohan manusia kali kedua. Kebodohan itu akan membawa kecelakaan pada diri di dunia atau akhirat kerana jawatan yang diperoleh daripada suatu kejar- mengejar dan perebutan rakus akan menyebabkan kegagalan dalam menunaikan amanah yang besar.

Wallahu'alam.