Tuesday, June 23, 2009

Semoga Tak Bacul

Assalamualaikum.

Lebih dua minggu, heboh dengan kerajaan perpaduan, iaitu satu idea atau gagasan yang dicetuskan oleh presiden PAS. Di sisi UMNO, presidennya mengatakan bahawa tidak ada masalah dengan idea kerajaan perpaduan itu. Malah UMNO menantikan idea itu diajak oleh PAS untuk dibincangkan bersama.

Malangnya, idea yang begitu baik telah terhapus apabila idea kerajaan perpaduan itu dibincangkan antara ketua-ketua parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat. Lantaran keluarlah kenyataan yang menolak idea kerajaan perpaduan. Orang yang mencetuskan idea kerajaan perpaduan itu pun memberikan alasan bahawa UMNO melihat kerajaan perpaduan itu hanya pakatan antara UMNO dan PAS sedang di sisi dia atau PAS mahukan kerajaan perpaduan itu melibatkan semua parti dalam Pakatan Rakyat. Isunya sekarang, adakah PAS sudah berbincang dengan UMNO tentang kerajaan perpaduan?


Nabi S.A.W. pernah berdoa agar umatnya tidak dihapus atau dimusnahkan disebabkan banjir besar dan kemarau. Doa ini dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Nabi S.A.W. juga berdoa lagi agar umatnya tidak dihapus atau dimusnahkan disebabkan perpecahan tetapi doa nabi S.A.W. ini tidak dimakbulkan oleh Allah S.W.T.


Berdasarkan doa nabi S.A.W. ini, tidak sepatutnya orang yang bergelar alim dan warak menolak kerajaan perpaduan, apatah lagi idea itu adalah cetusan fikirannya sendiri. Hal ini kerana perpaduan itu mempunyai makna yang besar di sisi agama Islam. Wajarkah atas alasan nasihat kawan-kawan yang mempunyai sentimen dan prejudis diambil kira dalam membuat keputusan menolak idea kerajaan perpaduan itu? Tidakkah dan sepatutnya apa-apa sahaja yang menjurus kepada perpaduan mesti disokong dan dijayakan?

Jelas bahawa penolakan idea kerajaan perpaduan itu bukan berdasarkan ilmu, sunnah dan ajaran agama Islam. Semoga penolakan idea yang begitu baik dan amat bermakna di sisi agama Islam tidak menjadikan orang yang mencetuskan idea itu tergolong sebagai seorang hamba yang bacul.

Sekian.

No comments: