Wednesday, June 2, 2010

Ikhlaskah perjuangan kita...?

Assalamualikum...
Tempoh hari, di kampung saya, Biro Penerangan Bahagian telah membuat program sembang-sembang. UMNO kampung saya hanya diundang untuk bersama-sama. Sedangkan, program sembang-sembang ini dihoskan oleh UMNO cawangan lain. Malangnya, program yang menggabungkan dua cawangan UMNO ini tidak mampu mengumpulkan ramai ahli,sedangkan program ini dihadiri oleh Yang Berhormat Ketua Biro Penerangan Bahagian.

Dalam program ini, ramai yang bercakap dan meluahkan rasa tak puas hati. Mereka mengatakan tentang ketidak aktif, afektif dan proaktifnya Y.B. kawasan. Maknanya hapraklah YB itu. Pada saya, luahan itu mungkin ada betul dan mungkin ada tak betul... tapi itu tidak menjadi soal. Yang menjadi pertanyaan di benak saya ialah kenapa orang yang dikatakan begitu haprak boleh naik begitu tinggi sehingga menjadi Y.B.?

Ini bermakna semua ahli UMNO, terutamanya perwakilan ke Bahagian tidak ikhlas dalam perjuangan. Masakan orang haprak yang dikatakan itu telah diberikan sokongan untuk naik begitu tinggi. Kini baru nak sedar... Adakah sokongan yang diberikan itu ada habuan sebagai balasan maka sokongan diberi. Apabila habuan tidak ada, baru tahu haprak dah jadi Y.B.? Walaupun sedar pun sebenar salah sendiri kerana tidak ikhlas dalam perjuangan. Ahli, terutama yang menjadi perwakilan tak pernah ingat pesan nenek, iaitu pilih-pilih tempat mandi, pertama telok, kedua pantai. Pilih-pilih tempat menjadi, pertama elok, kedua pandai.

UMNO tidak dilihat sebagai perjuangan dalam memastikan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara tercapai dengan berkesan. Untuk mencapai matlamat perjuangan itu, ahli mesti ikhlas dalam memilih pemimpin. Sebaliknya, UMNO tidak dilihat sebagai perjuangan tetapi hanya dilihat sebagai pertandingan dan persaingan. Akhirnya, sudah terantuk, barulah terngadah... sudah lambat bang oii!

Oleh itu, setiap ahli UMNO meh balik ke pangkal jalan, iaitu ikhlaskan hati dalam perjuangan. Ingatlah UMNO itu bukan parti pinggan mangkuk tetapi wadah perjuangan besar. Usahlah nodai UMNO dengan sifat tamak dan tidak ikhlas...

Sekian.

No comments: