Friday, October 24, 2008

Orang Melayu Pendatang?

Baru-baru ini kedengaran suara yang mengatakan orang Melayu adalah juga pendatang di Malaysia ini.... penduduk asal adalah orang asli ........ benarkah tanggapan itu?
Kenyataan demikian harus diperjelas dengan fakta sejarah oleh orang Melayu sendiri tanpa dipengaruhi emosi, apalagi untuk berkonfrantasi. Anggaplah orang yang mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai kurang pengetahuan sejarahnya. Kenyataan tersebut boleh dijawab dengan mudah sahaja, iaitu:

Semua negara di dunia ini mempunyai orang asli sama ada di England, Australia, India, Indonesia, China, Amerika Syarikat dan lain-lain. Jika benar argumen yang mengatakan bahawa orang asli adalah penduduk asal Malaysia, tentulah orang asli di England, Australia, India, China, Amerika Syarikat dan lain-lain itu penduduk asal negara tersebut. Memang benar bagi Amerika Syarikat dan Australia kerana yang ada di negara tersebut selain orang asli itu datang dari England dan negara-negara lain di dunia ini. Bagaimanapun, tidak benar bagi China dan India kerana jika orang asli adalah penduduk asal bagi kedua-dua negara tersebut, jadi orang Cina dan India di negara tersebut datang dari mana..... adakah dari Malaysia, Arab Saudi, England atau lain-lain negara?
Memang orang Melayu adalah penduduk asal Malaysia dan begitu juga orang asli yang mendiami Malaysia. Sebenarnya dalam perkembangan manusia, ada manusia yang hidup dengan ciri-ciri paleolitik, iaitu hidup secara berpindah - randah dan mengutip hasil hutan. Mereka ini begitu isolated dan kekal dengan ciri-ciri tersebut sehingga kawasan sekeliling mereka maju. Lantaran itu, mereka dikenali sebagai orang asli.
Sementara itu, ada dalam kalangan mereka ini telah berubah dan mendiami kawasan-kawasan yang subur seperti di kawasan lembah sungai dan ada pula mendiami kawasan persisiran pantai. Mereka yang mendiami kawasan lembah sungai dan persisiran pantai ini meninggalkan ciri-ciri kehidupan paleolitik. Sebaliknya, kumpulan ini menempa kemajuan dengan mengusahakan kawasan pertanian, penternakan dan penangkapan ikan. Akhirnya, kawasan yang didiami itu menjadi perkampungan dan seterusnya maju menjadi kerajaan yang dikenali sebagai kerajaan agraria dan maritim. Dengan menjadi kerajaan agraria dan maritim itu, penduduk di kedua-dua kerajaan tersebut berkembang akibat interaksi dengan kawasan lain atau dunia luar. Oleh itu, perubahan-perubahan berlaku dalam ciri-ciri kehidupan mereka akibat proses asimilasi dengan nilai-nilai luar. Oleh itu, mereka berbeza amat dengan kumpulan yang dikenali sebagai orang asli.
Berdasarkan dengan penjelasan ini, jelas bahawa orang Cina dan orang asli yang ada di negara Cina memang penduduk asal negara China. Begitu juga orang India dan orang asli di negara India itu memanglah penduduk asal negara India tersebut. Demikianlah juga, orang Melayu dan orang asli yang ada di Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai negeri Melayu adalah penduduk asal Malaysia.
Walaupun penjelasan ini menjelaskan bahawa orang Melayu dan orang asli yang ada di Malaysia adalah penduduk asal Malaysia, bukan bermakna menafikan orang Cina dan India yang telah menjadi rakyat Malaysia. Orang Cina dan India memang rakyat Malaysia yang mempunyai hak dan dijamin oleh perlembagaan Malaysia. Pada masa yang sama, orang Cina dan India juga harus mengakui hakikat bahawa Malaysia ini adalah kesinambungan negeri-negeri Melayu yang penduduk asalnya adalah orang Melayu dan orang asli yang mendiami kawasan di negeri-negeri Melayu. Sebagai penduduk asal, tentulah orang Melayu mempunyai hak-hak istimewa kerana Malaysia ini adalah warisan bangsanya. Ini tak perlu dipolemik kerana sama sahaja di mana-mana negara di dunia. Misalnya, berpuluh ribu orang Cina menjadi rakyat England dan mereka boleh mencari kekayaan di sana seperti dijamin oleh perlembagaan England. Bagaimanapun, orang Cina rakyat England itu tidak boleh menjadi Perdana Menteri England kerana England itu adalah warisan bangsa Inggeris. Demikian juga, sekiranya ada berpuluh ribu orang India yang menjadi rakyat China dan mereka dijamin oleh perlembagaan China untuk hidup makmur serta mengumpul kekayaan tetapi mereka pasti tidak boleh menjadi presiden China. Ini mesti diakui oleh rakyat China berketurunan India bahawa China itu adalah warisan bangsa Cina.
Fakta sejarah dan nilai warisan yang dijelaskan di atas berlaku dan terus berlaku dalam mana-mana negara di dunia ini dan kerana itu wujud konsep negara bangsa. Namun begitu, rakyat Malaysia walau apapun bangsa tidak perlu berkonflik akan hal ini kerana semuanya dijamin oleh perlembagaan Malaysia untuk hidup makmur, mengumpul kekayaan dan sebagainya. Yang perlu dilakukan ialah menghormati keluhuran perlembagaan yang dibentuk berdasarkan sejarah. Jika sama-sama dapat mengakui hakikat sejarah, tiada konflik antara rakyat berbilang kaum dan masing-masing boleh hidup makmur. Hakikat sejarah ini yang akhirnya mewujudkan kontrak sosial tidak pernah menjadi halangan kepada rakyat Malaysia dari keturuan Cina, Portugis, Inggeris, Arab, India dan lain-lain untuk memakai kereta macerdes atau memilki banglo serta memiliki firma perniagaan. Hakikat sejarah dan kontrak sosial yang wujud daripada sejarah itu hanya tercatat atas kertas sahaja. Sebaliknya, jika wujud konflik barulah hakikat sejarah dan kontrak sosial itu durujuk bagi memahami hakikat kewujudan konsep bangsa dan negara Malaysia. Demikianlah hal juga serupa di Jepun, Arab Saudi, German, Perancis, China, Sepanyol, India dan lain-lain dalam konteks penduduk asal dengan rakyat negara tersebut daripada keturunan lain.
Penjelasan ini tidak boleh disamakan dengan Amerika Syarikat atau Australia kerana lain daripada orang asli di negara tersebut semuanya pendatang dari England atau negara-negara lain. Oleh itu, memanglah apapun keturunan sama ada Negro, Inggeris atau lain-lain, mereka boleh memperoleh sama rata tanpa terikat dengan nilai sejarah dan warisan yang diperkata di atas. Mereka tidak boleh mengatakan bahawa keturunan atau kaum mereka adalah penduduk asal dan pewaris Amerika Syarikat atau Australia untuk memiliki keistimewaan.
Kesimpulannya, seluruh rakyat Malaysia marilah ikhlas untuk bersatu padu walaupun berlainan keturunan atau kaum kerana kita semua boleh hidup makmur dan sama-sama menjadi kaya-raya. Lihat sahaja, kalau pergi di suatu bandar di Malaysia, ada Klinik Wong, Klinik Naharajen dan Klinik Yakin. Semua klinik ini didatangi oleh rakyat Malaysia yang pelbagai kaum tanpa ada halangan dan sekatan. Jadi mengapakah isu-isu yang dicanang oleh orang yang tiada kewibawaan tapi nak jadi pemimpin atau popular tak tentu pasal itu nak kita hiraukan kerana akhirnya rakyat juga yang tergugat. Marilah kita pertahankan struktur yang ada sejak 51 tahun dipegang. Sebaliknya, jika ada yang mahu atau cuba-cuba mengubah struktur yang ada yang dibentuk atas nilai sejarah, pasti akan wujud kecelaruan sahaja. Jika dipertahankan struktur ini pula, kecelaruan terhindar dan semuanya akan menikmati hidup yang aman, makmur dan cemerlang. Jika mahu cuba mengubah struktur atas niat ingin memiliki sesuatu kekayaan, banyak mana kekayaan yang mahu dimonopoli. Malah mungkin yang telah dimiliki selama ini akan musnah. Jadi tanya diri sendiri dengan fikiran matang dan terbuka.
Dirgahayu Malaysia....... !

No comments: