Friday, October 24, 2008

Kemelut Pemilihan UMNO

Kini orang-orang UMNO sibuk dengan pemilihan UMNO di peringkat Bahagian dan kesibukan ini akan membawa pada pemilihan di peringkat pusat pula. Namun begitu, cerita lama yang serupa kedengaran kembali, iaitu kemelut pencalonan dan politik wang.................. Bilakah sudah?
Masalah Pencalonan dan Pemilihan
Sebenarnya, kaedah pemilihan calon mesti dinilai semula. Pada hemat saya, kaedah kuota yang diguna pakai hendaklah diubah kepada HAD CALON BERTANDING sahaja. Misalnya, bagi jawatan presiden, Had Calon Bertanding 2 orang sahaja. Jadi biarkan mana-mana ahli ingin bertanding mengumumkan niat suci masing-masing dan Bahagian UMNO buat pencalonan. Oleh itu, selepas habis semua Bahagian UMNO bermesyuarat dan membuat pencalonan, barulah dikira 2 orang yang mendapat pencalonan tertinggi dan tergolong dalam Had Calon Bertanding. Dengan ini, yang lain akan terkeluar daripada senarai Had Calon Bertanding. Kesan daripada kaedah ini, setiap calon tak berani menabur duit kerana masing-masing tidak tahu jumlah pencalonan yang membolehkan mereka tersenarai dalam Had Calon Bertanding. Kalau tabur juga duit, alangkah bodohnya kerana duit yang banyak ditabur untuk dapat pencalonan banyak tetapi orang yang tak tabur duit dan dapat 10 pencalonan misalnya juga tersenarai dalam Had Calon Bertanding, Jadi di sini adakah nak tabur duit lagi untuk menang pula. Kalau dilakukan juga pasti musflis dia akhirnya. Kaedah ini perlu dilaksanakan pada jawatan lain dengan Had Calon Bertanding hanya dilebihkan dua atau tiga sahaja daripada kuota kerusi bagi setiap jawatan. Dengan ini, perwakilan juga akan dapat membuat pemilihan dengan lebih tepat dan tidak bercelaru. Hal ini boleh dilihat kesannya pada jawatan Majlis Tertinggi atau Jawatankuasa Bahagian. Jumlah yang banyak sebenarnya menjadikan pemilihan oleh perwakilan kurang tepat dan tidak rasional.
Masalah Politik Wang
Memang masa pemilihan ini, kata orang masa perwakilan buat duit. Kalau benar, takkan kita nak biarkan rakan-rakan kita bergelumang dengan dosa, apalagi boleh menjahanamkan bangsa, agama dan negara. Oleh itu, pada fikiran saya, Had Calon Bertanding ini boleh membantu menyelesaikan masalah politik wang ini.
Memang diakui setiap perwakilan perlu duit, untuk ke persidangan seperti duit minyak, hotel, makan dan belanja orang rumah dan anak-anak yang ditinggalkan tiga atau empat hari itu. Jadi UMNO kena bantu mereka untuk pengorbanan mereka ke persidangan tetapi bukan dengan cara yang berlaku hari ini.
Mereka yang tersenarai dalam Had Calon Bertanding, dikehendaki menyumbang sejumlah wang dalam Tabung Persidangan dan jumlah itu ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan UMNO. Misalnya, jawatan presiden mesti menyumbang RM 20, 000.00, Timbalan Presiden RM 17,000.00 dan lain-lain. Jumlah wang yang terkumpul dalam Tabung Persidangan diumumkan dan diagihkan kepada Bahagian UMNO sama rata. Duit yang diagih kepada Bahagian UMNO akan disumbang kepada setiap perwakilan sama rata untuk ke persidangan.
Kesannya, mereka yang melakukan politik wang akan terbeban dengan kaedah ini kerana setelah tabur duit untuk mendapat pencalonan, kena lagi beri sumbangan. Tentu mereka menghadapi implikasi kewangan yang serius. Selain itu, tidak akan timbul isu membeli perwakilan kerana mereka yang tersenarai dalam Had Calon Bertanding sama-sama memberi sumbangan yang sama rata. Seterusnya, perwakilan juga tak perlu mengugut calon untuk mendapatkan wang untuk duit saku ke persidangan.
Kedua-dua kaedah ini, iaitu Had Calon Bertanding dan Sumbangan Tabung Persidangan hendaklah dilaksanakan di peringkat Bahagian UMNO juga tetapi bukan di peringkat cawangan kerana di peringkat cawangan ini politik wang kurang ketara.
Apa-apapun kaedah sumbangan Tabung Persidangan ini mesti dibincang dahulu dengan Majlis Fatwa dan Badan Pencegah Rasuah sama ada boleh atau tidak boleh. Jika tidak boleh, jangan wujudkan Tabung Persidangan ini. Gunakan sahaja kaedah Had Calon Bertanding tersebut.
Jika nak mantap lagi, pengundian diadakan dua kali, iaitu kali pertama diundi oleh kumpulan perwakilan pertama dan pengundian kedua dilakukan oleh kumpulan perwakilan kedua pula. Kedua-dua kumpulan perwakilan ini mesti terdiri daripada orang yang berbeza. Penentuan perwakilan boleh ditetapkan dalam mesyuarat cawangan untuk pemilihan Bahagian UMNO atau mesyuarat Bahagian UMNO untuk pemilihan di peringkat pusat. Kaedah ini tentu memeritkan mereka yang ingin melakukan politik wang dan juga pemilihan bakal pemimpin dilihat lebih teliti dan lebih meluas daripada kalangan ahli UMNO.
Mari kita cuba cadangan ini........! Ada berani......... ?

No comments: