Thursday, September 8, 2011

Meh belajar sejarah!

Beberapa hari ini sibuk dengan laporan polis berhubung kenyataan seorang ahli politik, iaitu Mat Sabu yang telah mengatakan bahawa polis di Balai Polis Bukit Kepong yang mati atas kekejaman komunis adalah pengkhianat. Sebaliknya, beliau mengangkat Mat Indera dan komunis adalah pejuang kerana beliau beranggapan bahawa Mat Indera dan komunis itu menyerang polis yang bekerja dengan penjajah Inggeris.

Meh kita belajar sejarah:

Selepas Inggeris menduduki Tanah Melayu daripada pihak Jepun, Inggeris telah mengenepikan Bintang Tiga, iaitu suatu agensi komunis. Akibatnya, komunis melancarkan serangan ke atas Inggeris di Tanah Melayu. Dalam pada itu, Inggeris ingin menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946 pula tetapi mendapat bantahan besar-besaran daripada orang Melayu. Bantahan ini kerana Inggeris ingin meletakkan Tanah Melayu di bawah Ratu dan kerajaan Inggeris. Sebelum ini, Inggeris masih mengekalkan ketuanan dan raja-raja Melayu walaupun menduduki Tanah Melayu. Berikutan bantahan orang Melayu itu, Inggeris telah membubarkan rancangan Malayan Union dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dengan mengekalkan ketuanan dan raja-raja Melayu seperti asal. Hal ini bermakna Inggeris hanya memainkan peranan dalam pentadbiran sahaja tanpa menggugat ketuanan dan raja-raja Melayu. Oleh itu, polis di Balai Polis Bukit Kepong itu adalah polis bagi orang dan raja-raja Melayu. Ini terbukti daripada tulisan yang tertera pada topi mereka, iaitu PLOIS DIRAJA dan bukannya Royal British Police.

Sehubungan dengan ini, anggota polis di Balai Polis Bukit Kepong yang berhadapan dengan komunis adalah sebagai melaksanakan tanggungjawab mereka mempertahankan orang-orang dan raja-raja Melayu yang menjadi tuan punya Tanah Melayu dan bukannya Inggeris yang hanya sebagai pentadbir sahaja. Oleh hal demikian, serangan komunis di Balai Bukit Kepong itu adalah serangan penjenayah kepada orang yang mempunyai hak.

Berdasarkan huraian pada aspek sejarah pemerintahan dan pentadbiran di Tanah Melayu ini, jelas bahawa anggota polis yang berhadapan dengan komunis di Balai Bukit Kepong itu adalah pejuang dan komunis itu ialah pengkhianat. Prinsip daripada daripada sejarah seperti Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu 1948 mahupun Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan negeri Melayu Tidak Bersekutu mampu memberikan kefahaman jitu berhubung label kumpulan mana sebagai pejuang dan kumpulan mana pula sebagai pengkhianat.

Ingat bahawa walau Inggeris menduduki Tanah Melayu tetapi Inggeris tidak pernah mencabut ketuanan dan kedaulatan raja-raja Melayu. Malah, ciri-ciri ini dibawa dan kekal sehingga penubuhan Persektuan Tanah Melayu 1957 dan Persekutuan Malaysia 1963. Ini juga dapat kita buktikan dengan sebutan Malaysia berdasarkan linguistik-fonetik, iaitu jika dibunyikan dengan fonologi Inggeris akan berbunyi Melayzier. Jangan pula sudah faham akan maksud Malaysia berdasarkan linguistik-fonetik ini, kita berpolemik. Sebaliknya, kefahaman ini memudahkan semua pihak memahami sejarah tanah air tercinta ini, sama-sama menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta sama-sama pula hidup dengan harga-menghargai. Malah, semua pihak terjamin hak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Semoga penerangan prinsip sejarah yang dihuraikan secara mudah ini dapat memberikan kefahaman kepada Mat Sabu dan rakyat yang lain.

Insya-Allah nanti akan dijelaskan berhubung Tuah dan Jebat, khususnya berhubung isu siapakah penderhaka?

Justeru saya menasihati diri sendiri dan kenalan blogger supaya menghayati pesan datuk dan nenek tercinta, iaitu "kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa" dan "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya ".

Sekian.

No comments: