Friday, January 23, 2009

Peruntukan Jutaan Ringgit.... Tapi Kalah Juga !!!!

Assalamualaikum w.b.r.

Sesungguhnya kita amat berterima kasih kepada Menteri Kewangan, khususnya dan amnya pada kerajaan Malaysia kerana begitu prihatin terhadap perkembangan ekonomi dunia. Kerajaan dilihat amat komited dalam memastikan seluruh rakyat Malaysia tidak menghadapi masalah dalam berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Lantaran itu, suntikan dana yang diumumkan oleh Dato Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai suatu usaha yang bertanggung jawab.

Bagaimanapun, suatu perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pemimpin politik, khususnya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri, Menteri Besar, Menteri dan Exco kerajaan serta JKKK ialah sejauh manakah peruntukan tersebut dapat menggembirakan rakyat? Seharusnya, peruntukan yang besar, terutamanya yang melibatkan pembangunan infrastruktur di kampung atau bandar dipantau dengan rapi. Peruntukan itu tidak harus dibiarkan dalam urusan pegawai atau kaki tangan kerajaan seperti juruteknik, pegawai pembangunan daerah dan lain-lain sendirian sahaja atas dasar tidak mahu ada campur tangan politik.

Setiap peruntukan pembangunan infrastruktur hendaklah dilihat dari aspek keberkesanan dan kepuasan hati masyarakat. Tidak harus projek yang dilaksanakan dibiarkan dalam urusan antara pegawai kerajaan yang terlibat dengan kontraktor yang terlibat sahaja. Setiap projek yang dilaksanakan itu hendaklah diambil kira aspek keberkesanan dan kepuasan hati JKKK dan masyarakat sebelum sebarang pembayaran dilakukan oleh pegawai atau kaki tangan kerajaan yang mengurus. Sekira perkara ini tidak diambil perhatian oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri, Menteri Besar, Menteri dan Exco kerajaan, projek dengan peruntukan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan sendiri tidak mampu memberikan apa-apa impak terhadap sokongan masyarakat kepada UMNO, BN dan kerajaan.

Lihat sahaja jutaan ringgit telah kerajaan keluarkan untuk pembangunan di kampung atau di bandar tetapi semua projek tersebut tidak mampu membantu UMNO, BN dan kerajaan untuk mendapat sokongan dalam pilihan raya. Hal ini kerana setiap projek yang dilaksanakan tidak memberikan rasa puas hati dalam kalangan masyarakat. Malah ada projek-projek yang dilaksanakan itu menjadi bahan rangsangan untuk masyarakat marah dan membenci UMNO, BN dan kerajaan. Hal ini kerana, kaki tangan kerajaan yang mengurus mempunyai kuasa membuat sebarang pembayaran kepada kontraktor tanpa mengambil kira laporan wakil kerajaan seperti JKKK. Oleh itu, projek yang tidak sempurna atau tidak memberikan kepuasan hati JKKK atau masyarakat boleh diluluskan oleh kaki tangan kerajaan yang mengurus begitu sahaja. Dengan itu, projek yang tidak menerbitkan rasa puas hati JKKK dan masyarakat akan terus menjadi bahan rangsangan masyarakat marah dan membenci UMNO, BN dan kerajaan selama projek itu wujud.

Pegawai atau kaki tangan kerajaan yang menguruskan projek pembangunan atau melaksanakan sebarang dasar tidak perlu mengambil kira kesan politik. Namun begitu, setiap projek pembangunan atau pelaksanaan dasar oleh pegawai atau kaki tangan kerajaan mempunyai kesan politiknya. Contohnya, kita lihat pula pelaksanaan dasar Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK). Bagi pegawai atau kaki tangan kerajaan yang menguruskan PTK akan membuat skema kerasionalan PTK seperti sebagai mekanisme terbaik bagi menilai kaki tangan awam (masyarakat). Justeru PTK dilaksanakan saban tahun. Bagaimanapun, PTK ini tidak memuaskan hati kaki tangan awam (masyarakat), terutama yang telah berusia untuk menikmati kenaikan pangkat. Oleh itu, saban tahunlah juga masyarakat tersebut akan membenci UMNO, BN dan kerajaan yang menaungi pegawai atau kaki tangan kerajaan yang melaksanakan projek PTK tersebut.

Memang kita tidak mahu campur tangan politik yang keterlaluan dalam urusan dan tugas pegawai atau kaki tangan kerajaan. Bagaimanapun, orang politik dalam kerajaan dan JKKK mesti ada ruang yang tersendiri dalam memastikan projek atau dasar yang dilaksanakan oleh kaki tangan kerajaan itu tidak menghakis sokongan masyarakat pada UMNO, BN dan kerajaan.

Orang politik dalam kerajaan usah berbangga dengan peruntukan yang berjaya diluluskan tetapi sejauh manakah peruntukan itu mampu menjadikan masyarakat puas hati dan dapat meningkatkan sokongan masyarakat pada UMNO, BN dan kerajaan. Bukankah ini lebih penting?

Sekian.

No comments: