Thursday, February 26, 2009

Celaka..... ?

Orang Melayu terperanjat, khususnya ahli-ahli Pemuda UMNO apabila ada orang yang berani dan angkuh mengungkapkan frasa 'celaka ' kepada Pemuda UMNO. Sebenarnya, frasa celaka itu boleh dilihat sebagai kesinambungan kebiadapan orang itu terhadap ketuanan Melayu. Bagaimanapun, sebagai orang yang waras, tentu sahaja mencari punca dan faktor yang membolehkan orang itu berani biadap.

Jawapan yang boleh diberikan kepada persoalan tersebut ialah kebodohan orang Melayu berpolitik. Hal ini kerana ramai orang Melayu hari ini berpolitik secara bodoh. Ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka tidak meletakkan kedudukan bangsa dan agamanya di kedudukan yang betul. Ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka sanggup berpatah arang dan berkerat rotan. Ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka gembira melihat bangsa mereka dipijak-pijak oleh kaum lain asalkan dendam kesumat dan keinginan nafsu mereka tertunai. Ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka sanggup menukar ketuanan Melayu kepada ketuanan Rakyat. Akhirnya, ramai orang Melayu hari ini berpolitik tetapi politik mereka tidak ada apa-apa kecuali mewujudkan keadaan dan suasana yang mengancam kedudukan dan ketuanan Melayu serta kedudukan agama Islam.

Sehubungan dengan ini, dalam usaha memberikan tekanan dan memperlihatkan keberanian orang Melayu dalam isu 'celaka' ini, eloklah pemimpim-pemimpin Melayu membetulkan diri masing-masing dan seterusnya membetulkan pengikut masing-masing. Matlamat pembetulan ini adalah untuk berpolitik tetapi pada masa yang sama apa-apa jua fahaman politik, politik itu tidak menghakis kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam di bumi tercinta.

Kesimpulannya, isu celaka, isu mencabar kontrak sosial, isu menyaman Seri Paduka Sultan Perak, isu penggunaan Nama Allah, isu hak milik pajakan 999 tahun, isu mengkaji ekuti dan kuota Bumiputera dalam beberapa sektor dan lain-lain adalah kerana kebodohan orang Melayu berpolitik. Memang diakui ramai orang Melayu pandai berpolitik tetapi juga disedari lebih ramai orang Melayu yang bodoh berpolitik.

Celaka itu memang biadap tetapi lebih biadap lagi apabila orang Melayu sendiri yang memberikan ruang dan peluang untuk kebiadapan itu berlaku!

No comments: