Saturday, February 21, 2009

Pemilihan Agung UMNO

Assalamualaikum....
Sekalung tahniah dan syabas kepada ahli-ahli UMNO yang telah mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding dalam pemilihan yang akan diadakan pada Mac ini. Bagi yang tidak mendapat pencalonan yang cukup, tak usah kecewa. Ini kerana jodoh pertemuan, ajal maut, rezeki dan tanah perkuburan sudah ditentukan oleh Allah S.W.T. Memang kita juga sudah ditakdirkan boleh berusaha, jadi kita berusahalah dengan betul. Tetapi apabila sampai masanya kita tak berjaya seperti usaha yang dilakukan, itulah takdirnya. Berlapang dadalah kita.

Mereka yang bertanding, jagalah maruah diri. Berkempenlah secara berhemah. Apa yang lebih penting, dalam keghairahan berkempen, ingat Allah dan ingat parti kita. Kita berani lakukan yang salah, tunggulah azab Allah dan tunggulah rakyat menghukum kita.

Bertanding ini adalah sistem yang kita pilih. Pertandingan ini adalah sistem Barat. Sistem ini boleh membawa kegembiraan dan boleh membawa bencana. Ini pilihan kita. Jadi jika sudah memilih pertandingan sebagai satu sistem, usahlah buat yang bukan-bukan kerana takut kalah. Berilah peluang UMNO mempunyai kepimpinan yang baik.

Mereka yang menjadi perwakilan, pilihlah yang terbaik untuk UMNO. Usah membujur lalu, melintang patah. Tentunya kita tak mahu UMNO patah. Ingat pesanan nenek moyang kita; Pilih-Pilih Tempat Mandi, pertama telok, kedua pantai. Pilih-Pilih tempat menjadi; pertama elok, kedua pandai. Pilihlah pemimpin yang elok dan pandai untuk UMNO, elok dan pandai untuk Malaysia serta elok dan pandai untuk semua rakyat Malaysia.

Kepada semua mereka yang bertanding dan menjadi perwakilan, ingatlah Allah S.W.T. memerhati kita. Ingatlah apa-apa yang dilakukan di persidangan itu tidak berakhir selepas tamatnya persidangan. Sebaliknya, semua itu akan dihimpun di padang Mahsyar. Di sana tak mampu melobi, tak mampu menyogok dan tak mampu berkata-kata retorik. Di sana ada kebahagian dan ada azab. Pilihlah yang terbaik. Buatlah sehabis betul dan benar. Kita hidup tidak menongkat langit. Jadi ingatlah...! Ingat sebelum kena...! sebelum kena azab Allah S.W.T., sebelum rakyat menghukum UMNO. Allah S.W.T. maha adil. Ahli biasa UMNO dan rakyat sudah pandai.

Dalam keadaan Melayu kini sanggup berpatah arang arang dan berkerat rotan, semua pemimpin dan perwakilan di persidangan UMNO Mac ini mesti bermuhasabah diri. Jangan gah menyanyikan lagu UMNO tapi akhirnya menjadi pengkhianat UMNO dan bangsa Melayu.

Selamat Bertanding! Selamat Menjadi Perwakilan!

Sekian.

No comments: