Monday, March 9, 2009

Pemilihan UMNO...Pesanan Ahli Biasa UMNO

Assalamualaikum...

Pemilihan UMNO akan berlangsung pada Mac 2009 ini. Calon-calon sudahpun mendapat nombor masing-masing. Cadangan agar calon diberikan kesempatan bertemu dengan perwakilan di atas satu pentas yang sama pun sudah berlaku. Jadi tahniah kepada perubahan ini.

Sekarang ini tanggungjawab perwakilan pula untuk menentukan pemimpin terbaik untuk UMNO dan bangsa Melayu. Sebenarnya, persidangan UMNO yang akan berlangsung adalah sebuah Majlis Tahkim. Justeru setiap perwakilan yang akan berada dalam majlis tahkim adalah golongan yang cerdik, berilmu, bijaksana dan jujur. Oleh itu, pemilihan yang akan dibuat oleh perwakilan adalah berdasarkan kecerdikan, ilmu, kebijaksanaan dan kejujuran. Inilah taraf perwakilan dan pemilihan itu. Berdasarkan taraf ini, tentunya UMNO akan dipimpin oleh pemimpin yang terbaik. Lantaran itu nanti UMNO dan bangsa Melayu akan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Pemilihan oleh perwakilan yang berdasarkan ciri-ciri lain daripada kecerdikan, ilmu, kebijaksanaan dan kejujuran merupakan pengkhianatan kepada UMNO dan bangsa Melayu. Hal ini kerana UMNO akan mendapat pemimpin yang tiada kualiti. Justeru sebagai perwakilan, iaitu orang yang terbaik dari aspek kecerdikan, keilmuan kebijaksanaan dan kejujuran, tentu sahaja takut membuat pilihan yang salah. Justeru, daripada sekarang hendaklah perwakilan mendirikan solat istikharah agar pemimpin yang dipilih untuk UMNO nanti adalah pemimpin yang baik untuk bangsa Melayu bagi hari ini dan hari esok serta baik untuk agama Islam pada hari ini dan akan datang. Perwakilan mesti ingat selalu bahawa bangsa Melayu hari ini sanggup berpatah arang dan berkerat rotan. Dengan ini, berilah ahli-ahli UMNO pemimpin yang terbaik untuk bangsa Melayu dan agama Islam.

Perwakilan yang akan mengundi bukan boleh suka-suka undi. Perwakilan akan bertanggungjawab pada ahli UMNO yang tak berkesempatan menjadi perwakilan walaupun ada kalangan mereka yang lebih layak menjadi ahli Majlis Tahkim itu. Oleh hal demikian, pengundian yang dibuat berdasarkan suka-suka atau sentimen, insyaallah akan bersoaljawab dan dituntut di padang Mahsyar kelak kerana perbuatan itu satu pengkhianatan amanah.

Dirikanlah istikharah dan mohonlah bimbingan serta petunjuk Allah S.W.T. dalam membuat pilihan tepat. Menerusi cara ini sahaja perwakilan dapat membuat pilihan tepat dan terlepas daripada mengkhianati amanah ahli-ahli UMNO yang tidak menjadi perwakilan, bangsa Melayu dan agama Islam.

Pesanan Ikhlas daripada saya ahli UMNO biasa. Selamat Bersidang dan Mengundi !

No comments: