Sunday, March 8, 2009

PPSMI Lagi ... ! Mengapakah begini ?

Assalamualaikum......

Sabtu, 7 Mac 2009 telah berlaku demontrasi dalam kalangan mereka yang mahu memansuhkan PPSMI. Berikutan demontarsi itu, Perdana Menteri sendiri sedar bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia mesti membuat keputusan segera bagi menangani isu PPSMI ini. Ini mungkin satu signal yang positif daripada Perdana Menteri sendiri berkaitan isu PPSMI ini.

Apa-apapun, rakyat Malaysia harus bergerak atas landasan prinsip, iaitu demontrasi bukan budaya kita. Demontrasi bukan membawa kebaikan tetapi akan menimbulkan banyak masalah. Justeru dalam usaha memansuhkan PPSMI ini adalah lebih elok penggerak utama gerakan memansuhkan PPSMI ini menghadiri perhimpunan Agung UMNO sama ada di peringkat bahagian atau kebangsaan bagi meluahkan rasional pemansuhan PPSMI ini. Malangnya, berapa kerat sahaja penggerak tersebut yang hadir dalam persidangan UMNO itu bagi membahaskan isu PPSMI ini?

Kita sudah lihat gerakan secara berdemontrasi telah dieksploitasi oleh kumpulan tertentu untuk kepentingan sendiri. Hal ini telah membina kerumitan dalam perjuangan pemansuhan PPSMI ini. Apakah kita sanggup menerima kerumitan lain berhubung dengan isu PPSMI yang sebenarnya mudah diselesaikan menerusi jalan yang bijaksana? Justeru saya sendiri yang sacara peribadi tidak bersetuju dengan PPSMI tidak bersama-sama dengan demontrasi tersebut walaupun telah diundang oleh rakan dari K.L. Saya sebenarnya telah membawa isu PPSMI ini sejak 2003 dalam persidangan UMNO peringkat cawangan. Tetapi oleh sebab suara saya adalah suara ahli UMNO yang kecil, mungkin tak sampai pun ke peringkat bahagian, apatah lagi di peringkat kebangsaan. Itulah dilema ahli biasa UMNO , iaitu hal-hal yang tak membawa keuntungan kepada pemimpinnya walaupun disuarakan tetapi suara itu tak diberikan tempat untuk perbincangan. Sejak 2003 lagi telah disebutkan oleh saya dalam persidangan UMNO cawangan bahawa PPSMI ini hanya sebagai tiada beban, batu digalas sahaja. Lihat sahaja mereka yang mendapat insentif atau mereka yang seakan-akan menyokong PPSMI, mereka tidak ambil tahu akan undi UMNO dalam pilihanraya. Mereka tak pernah fikirpun tentang undi UMNO. Malah, undi UMNO bukan penting bagi mereka. Kalangan mereka yang mendapat keuntungan darpada PPSMI ini juga ada yang tak mengundi UMNO pun dan menjadikan PPSMI ini sebagai dakyah menghentam kerajaan.

PPSMI memang isu dan mungkin akan menjadi isu lebih besar lagi jika kerajaan masih terkial-kial dalam membuat keputusan. Kerajaan mesti mengeksploitasi keadaan yang telah berlaku ini. Apabila isu PPSMI ini disokong oleh pembangkang untuk dimansuhkan, kerajaan mempunyai kekuatan untuk memansuhkannya. Hal ini kerana pemansuhan PPSMI akan melepaskan kerajaan daripada isu. Pembangkang tidak boleh menghentam kerajaan apabila PPSMI dimansuhkan.

Kerajaan hendaklah segera memansuhkan PPSMI ini kerana PPSMI ini memang ditentang oleh majoriti rakyat Malaysia. Kebanyakan yang menentang PPSMI ini bukan ahli parti pembangkang dan ramai mereka adalah golongan atas pagar. Justeru kerajaan mesti mengambil kesempatan memansuhkan PPSMI ini agar golongan atas pagar ini khususnya untuk bersama-sama dengan kerajaan. Kerajaan mesti segera memansuhkan PPSMI ini sebelum golongan ini dieksploitasi oleh pembangkang.

Kerajaan boleh dengan mudah memansuhkan PPSMI ini kerana mereka yang menentang PPSMI ini tidak sesekali menafikan pengajaran bahasa Inggeris. Mereka hanya mahukan masalah penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda ditangani dengan subjek bahasa Inggeris. Jadi tiada isu yang akan timbul bersangkutan pengajaran bahasa Inggeris apabila PPSMI dimansuhkan. Jadi kalau masa belajar bahasa Inggeris tidak memadai, tambahkanlah lagi. Kalau tak lulus bahasa Melayu, tak layak mendapat sijil SPM, jadikanlah tak lulus bahasa Inggeris masih boleh terus belajar tetapi tak layak mengambil peperiksaan awam PMR atau SPM. Kaedah ini lebih menggerunkan murid-murid dan ibu bapa.

Dalam usaha mempertahankan PPSMI ini, pemimpin kerajaan janganlah membuat kenyataan yang bodoh dan mengelirukan. Misalnya, ada pemimpin kerajaan sama ada dia sedar atau tidak telah mengatakan bahawa PPSMI ini adalah untuk membolehkan generasi muda berupaya menghadapi cabaran dunia. Kalau kenytaaan ini benar dan betul, tentulah program seperti PPSMI ini dilaksanakan sejak merdeka lagi. Persoalannya, kenapa pemimpin dahulu menghapuskan sekolah aliran Inggeris? Sanggupkah kita menidakkan usaha pemimpin terdahulu itu dan mengatakan bahawa angkara merekaLah generasi Malaysia pada hari ini tidak ada upaya sehingga PPSMI mesti digubal? Kalau kenyataan pemimpin itu diterima, maknanya secara tidak sedar kita melihat pemimpin terdahulu yang menghapuskan sekolah aliran Inggeris sebagai pengkhianat bangsa dan negara. Adakah ini sanggup kita katakan? Jawapannya, tentulah tidak. Jadi pemimpin kerajaan pada hari ini harus berhati-hati dalam berhujah untuk menyokong PPSMI ini.

Kerajaan tidak perlu risau memansuhkan PPSMI ini kerana golongan yang akan menjadi barisan hadapan dalam Sains dan Matematik serta hebat berbahasa Inggeris telahpun kerajaan wujudkan mekanismenya, iaitu menerusi Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MARA). Jadi kerajaan usah bimbang tentang upaya negara dalam menghadapi cabaran dunia globalisasi yang digundah-gulanakan selama ini. Apakah kerajaan sendiri tidak yakin dengan mekanisme yang telah diwujudkan ini?

PPSMI memang isu tetapi biarlah isu ini diselesaikan secara bijaksana oleh kerajaan dan golongan yang benar-benar disebut sebagai pencinta bahasa Melayu. Berbincanglah dengan berlapang dada. Memang diakui kerajaan telah mengadakan persidangan meja bulat tetapi kalau persidangan itu benar-benar sebuah persidangan yang ikhlas dan jujur, tentu tidak jadi begini. Jadi, bersatunya NGO dan pejuang bahasa dalam sebuah gerakan yang konkrit memberikan gambaran bahawa persidangan meja bulat itu ada masalah. Jadi semua pihak usah berkeras kepala dan berhati batu. Kata-kata agar semua pihak berhenti sejenak dan berfikir amat wajar diambil pedoman sama ada pemimpin kerajaan dan pejuang pemansuhan PPSMI ini.

Apa-apapun diharapkan agar sejarah yang terjadi pada akhbar Utusan Melayu bertulisan Jawi yang kini hanya sisipan dalam Utusan Malaysia pada setiap Isnin tidak berlaku pada akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian, iaitu hanya sisipan dalam NST pula pada suatu hari. Fikirkan kata-kata bahawa Sejarah Akan Berulang Kembali !

Akhir sekali, catatan ini nampak tidak senada tetapi lebih baik daripada sokong membawa rebah......!

Sekian.

No comments: