Monday, March 23, 2009

UMNO Dulu dan UMNO Sekarang

Assalamualaikum...
Seminggu sebelum pemilihan UMNO heboh di sana-sini cerita pasal pemimpin ini dan pemimpin itu dilarang bertandinng dan didapati bersalah atas dakwaan terlibat secara langsung atau tidak dengan politik wang. Sekilas imbas, apabila disebut politik wang bermakna ahli UMNO kini telah kaya kerana banyak wang. Tentu semua itu adalah atas perjuangan UMNO yang tak henti-henti. Malangnya, kekayaan ahli UMNO kini telah disalah guna sehingga meletakkan UMNO, iaitu sebuah parti yang amat berjasa kepada agama Islam dan Melayu berada dalam lingkaran kehancuran. Oleh itu, elok kiranya ahli-ahli UMNO yang kini kaya-raya menerobos sejarah perjuangan ahli UMNO dulu-dulu, iaitu semasa awal-awal penubuhan UMNO.
Ikut cerita nenek saya, orang Melayu dahulu takut nak sertai UMNO kerana takut ditangkap oleh penjajah Inggeris. Jadi ada dua tiga orang di kampung yang berani mengadakan kempen dengan berjumpa orang-orang kampung agar menyertai UMNO. Nenek kata susahnya nak dapat ahli UMNO pada ketika itu kerana orang Melayu takut-takut. Selepas berjaya menubuhkan UMNO dan perjuangan UMNO diteruskan lagi selepas merdeka. Sebagai lambang kekuatan UMNO dan Melayu, UMNO ingin mendirikan Rumah UMNO. Hajat ini besar tetapi duit tak ada. Jadi ahli-ahli UMNO terpaksa mengadakan jerayawara menjual bunga popi untuk mengutip sumbangan. Sumbangan yang diperoleh dikumpul dan diserahkan kepada UMNO bulat-bulat sehinggalah Rumah UMNO dapat dibina.
Jelas daripada sejarah ringkas UMNO ini, kelihatan dua keadaan bertentangan antara ahli UMNO dulu dan kini. Ahli UMNO dulu-dulu cari duit untuk kukuhkan UMNO tetapi ahli UMNO kini (bukan semua ahli) pula banyak duit tapi dibuang dan ditabur sehingga meruntuhkan UMNO.
Ahli UMNO dulu-dulu hendak berhimpun sanggup bergadai dan berhutang demi dapat berhimpun dalam Konvension UMNO tetapi ahli UMNO kini (bukan semua ahli) bersungguh-sungguh ke Perhimpunan Agung UMNO sebab di sana nanti banyak dapat duit (kalau 24-28 Mac ini masih tak hiraukan tindakan dan amaran yang sudah diberi)
Justeru, sempena Perhimpunan Agung UMNO ini, marilah para perwakilan merenung sejarah UMNO dulu-dulu, sejarah UMNO mencari ahli semasa penjajahan Inggeris dan sejarah ahli UMNO menjual bunga popi. Kalau tak malu dengan ahli-ahli UMNO dulu, biarlah malu dengan diri sendiri apabila perjuangan UMNO yang suci itu hendak dinodai.
Selamat Bersidang !!!!
Sekian.

No comments: