Thursday, April 16, 2009

Jangan biarkan seperti yang sudah-sudah

Assalamualaikum.

Sebenarnya perkara yang ingin ditulis ini sudah lama ingin disampaikan. Tapi masa itu tak pandai main blog lagi. Jadi apabila sudah pandai sikit-sikit, teringat nak tulis perkara yang dahulu itu. Jadi saya tulislah di bawah tajuk Jangan biarkan seperti yang sudah-sudah.

Yang sudah-sudah rakyat dengan mudah melihat menerusi kaca televisyen tentang beberapa Ahli Parlimen UMNO/ BN dengan bebas menghentam kementerian dan jabatan kerajaan yang mereka sendiri dukung. Perbuatan menghentam kementerian dan jabatan yang mereka sendiri dukung seolah-olah untuk menunjukkan ketelusan dan kebebasan. Sebaliknya, menerusi perbuatan menghentam kementerian dan jabatan kerajaan secara terbuka dan meluas itu membolehkan rakyat mengetahui dan melihat banyak kesalahan dan kelemahan kerajaan. Contoh yang masih diingati ialah isu kastam diraja dan isu AP. Tanpa disedari, perbuatan menghentam kementerian dan jabatan kerajaan itu oleh ahli parlimen kerajaan secara perlahan-lahan telah :
a. menjauhkan rakyat pada kerajaan,
b. memberikan satu contoh terbaik pada pembangkang untuk membantai kerajaan cukup-cukup.

Pada hemat saya, ahli parlimen kerajaan hendaklah menyatakan rasa tidak puas hati masing-masing pada Perdana Menteri secara terus dan bukannya main suka dan di mana-mana sahaja. Mungkin pada satu aspek ia dilihat amat baik kerana bebas. Tapi apa kesannya daripada kebebasan tersebut. Adakah dengan memberikan maklumat atau menyatakan rasa tidak puas hati terus kepada Perdana Menteri itu bukan juga satu kebebasan?

Seharusnya ahli parlimen kerajaan hendaklah selektif dalam menyampaikan rasa tak puas hati masing-masing. Dalam mana-mana komunikasi pun, ada perkara yang boleh dibincang secara terbuka tapi ada perkara yang mesti dibincang secara tertutup. Pada pihak pembangkang memanglah semua perkara akan dibuka seluas-luasnya.

Sekarang apa sudah jadi? Rakyat meluat dengan kerajaan? Buktinya, tsunami PRU 12 dan kalah 3-1 dalam empat pilihanraya kecil. Apakah pula tindakan yang boleh dilakukan oleh ahli parlimen kerajaan yang dahulunya menghentam kementerian dan jabatan kerajaan yang mereka sendiri dukung?

Satu sahaja pesanan, iaitu PM baru jangan biarkan seperti yang sudah-sudah. Nasihatkan mereka agar terus sampaikan segala rasa tak puas hati kepada PM dan TPM.

Untuk konteks secara terbuka, lebih elok ahli parlimen kerajaan mengambil tindakan menyatakan pandangan dan cadangan tentang kaedah, cara dan pendekatan yang terbaik untuk menteri dan pegawai-pegawai kerajaan jayakan peruntukan atau rancangan kerajaan sehingga penduduk di kawasan yang diwakili mendapat manfaat. Tanyalah menteri dan kementerian tentang cara peruntukan yang ada disalurkan. Jika peruntukan tak sampai ke kawasan masing-masing, sarankan kaedah terbaik pada menteri dan kementerian.

Kerajaan yang ada, ahli parlimen kerajaanlah orang di barisan hadapan yang akan menjaganya. Tapi kalau ahli parlimen kerajaan pun dah macam pembangkang, sudah patutlah kerajaan menghadapi tsunami PRU 12 itu.

No comments: