Tuesday, April 7, 2009

Cikgu Boleh Pegang Jawatan Politik

Assalamualaikum.

Baru-baru ini, iaitu dalam Perhimpunan Agung UMNO, Y.B. Menteri Pelajaran Malaysia telah melontarkan idea agar golongan cikgu / guru boleh memegang jawatan politik atau aktif dalam politik. Pada dasarnya, saya mengucapkan terima kasih atas cadangan tersebut kerana mengokhtiraf peranan guru. Sebenarnya, cadangan ini telah lama saya bawa dalam persidangan UMNO cawangan, iaitu sejak 1999 lagi. Tapi siapa mahu mendengar cadangan ini kerana ia lahir daripada ahli UMNO yang biasa.

Namun begitu, pada hari ini dan melihat keadaan politik di negara ini yang agak berbeza dengan tahun-tahun sebelum 2004, amat baik cadangan untuk membenarkan guru aktif dan memegang jawatan politik tidak diterima. Hal ini kerana politik di negara kita telah memperlihatkan dua institusi politik yang besar, iaiatu BN dan PR. Oleh hal demikian, jika cadangan ini diterima, tentu perbahasan politik juga besar di sekolah-sekolah.

Selain itu, politik pada hari juga telah memperlihatkan orang politik sanggup mencabar kedudukan dan martabat sultan dan ketetapan perlembagaan. Justeru jika guru-guru dibenarkan aktif dan memegang jawatan dalam parti, tentu semua ini juga akan menjadi isu dalam perbahasan di bilik guru atau di sekolah. Bayangkan keadaan yang akan dan boleh berlaku pada guru, murid dan sekolah apabila isu-isu dalam kontrak sosial menjadi perbahasan hangat dalam kalangan guru. Tentu sahaja keadaan yang tidak kondusif pada persekitaran sekolah.

Memandangkan dua keadaan tersebut, saya tidak bersetuju guru dibenarkan memegang jawatan dalam politik dan aktif dalam politik. Hal ini kerana apabila hati guru sentiasa panas, tentu sahaja kesan negatif akan diterima oleh murid-murid. Keadaan ini tidak membawa apa-apa manfaat kepada modal insan yang sedang dibentuk di bilik darjah.

Bagaimanapun, guru-guru boleh diberikan tempat dan ruang yang lebih luas dalam JKKK dan Lembaga Masjid. Menerusi dua institusi ini, peranan guru sebagai agen perubahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan baik.

Sekian.

No comments: