Wednesday, April 8, 2009

Keputusan Pilihanraya & Hati Perasaan

Assalamualaikum.

Keputusan pilihanraya Bukit Selambau dan Bukit Gantang sudahpun diumumkan. Kepada yang menang sekalung tahniah dan yang kalah terimalah keputusan rakyat itu sebagai suatu pengajaran. Begitu juga diucapkan jutaan tahniah kepada kerajaan kerana telah menyokong pemilihan secara berhemah, adil dan saksama. Jika ada yang mengatakan kerajaan tidak adil dalam pilihanraya, inilah buktinya keadilan kerajaan BN dalam pilihanraya.

Apa-apapun, apabila BN kalah dalam pilihanraya di Bukit Selambau dan Bukit Gantang mengundang pelbagai andaian. Kadang kala andaian itu berdasarkan data kaji selidik. Sejauh mana kebenarannya, Allah S.W.T. sahaja yang maha mengetahui.

Saya telah memberikan suatu andaian berkaitan peluang BN/UMNO dalam pilihanraya. Andaian saya ini juga telah dikemukakan dalam blog ini lama dulu. Pada saya, isu PPSMI dan PTK adalah isu yang merobek peluang BN/UMNO untuk menang dalam pilihanraya. Hal ini jelas apabila keadaan BN/UMNO tidak kukuh dengan nisbah kekuatan 55%-60% ( BN/UMNO) dan 45%-40% ( Pembangkang), BN/UMNO kalah kerana isu PPSMI dan PTK ini. Jika isu PPSMI dan PTK ini menyumbang sebanyak 5 % sebagai faktor menolak BN/UMNO, peluang BN/UMNO dalam mana-mana pilihanraya akan tipis kerana faktor-faktor local yang hanya 3-5% sahaja sebagai faktor menolak BN/UMNO akan meningkatkan undian pembangkang.

Dua faktor, iaitu PPSMI dan PTK sebenarnya dua faktor yang menyeluruh dan bersangkutan dengan hati dan perasaan. Justeru kerajaan yang dipimpin oleh PM baru ini mesti segera menangani dua isu atau faktor ini. Penat blok kerajaan berkempen dan menunjukkan komitmen bagi membantu rakyat tetapi hati dan perasaan rakyat berkaitan dua faktor ini dengan mudah menidakkan usaha kerajaan itu. Lihatlah keadaan di Kuala Terengganu dahulu. Dua faktor ini secara senyap menyokong faktor local dalam memusnahkan harapan BN/UMNO dalam pilihanraya.

Dua faktor ini jugalah menjadi pegangan pengundi atas pagar. Oleh itu, apabila dua faktor ini menjadi isu hati dan perasaan pengundi atas pagar, pengundi yang tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap BN/UMNO lebih mudah menunjukkan ketidakpuasan hati dengan mengundi pembangkang.

PM baru harus mengambil keputusan tegas berkaitan dua faktor ini. Malah PM baru juga harus konsisten dan tegas dalam membuat apa-apapun keputusan kerajaan. Dengan memperlihatkan ketegasan, kerajaan yang dipimpin akan dilihat sebagai sebuah kerajaan yang ampuh / firm. Tentu sahaja ini akan menarik keyakinan rakyat, terutama rakyat yang tidak menganggotai mana-mana parti.

Tahniah kepada Y.A.B. Dato Seri Mohd Najib atas pelantikan sebagai PM Malaysia. Dato Seri dilihat sebagai tempat orang Melayu dan rakyat sandarkan harapan. Jangan musnahkan peluang ini. Inilah aset Dato Seri untuk mengangkat semula martabat UMNO, BN, dan kerajaan. Semoga maju jaya.

Sekian.

No comments: